Tuesday, October 8, 2019

Isu GST: Kerajaan PH patut pertimbang cadangan PAS

KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) disaran mempertimbangkan cadangan PAS supaya memperkenalkan sistem cukai simpanan korporat dan cukai pegangan saham bagi golongan kaya.

Ketua Penerangan PAS Pahang, Mohd Tarmizi Yahaya berkata, sistem cukai itu lebih baik bagi memastikan golongan miskin tidak terus terkesan dengan peningkatan kos sara hidup mereka.


Menurutnya, PAS masih tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan yang mahu melaksanakan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana tidak menyelesaikan yang berlaku sebelum ini.

"PAS masih dengan pendirian tidak menyokong mana-mana cukai yang akan diperkenalkan kepada rakyat," katanya ketika dihubungi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata, kerajaan sedia mengembalikan pelaksanaan GST jika rakyat bersetuju dan akan melakukan kajian semula.

Ketika ini kerajaan memerintah dilihat dilanda kecelaruan berikutan sumber kewangan yang menyusut lantaran ketiadaan sumber-sumber baharu dan cukai kepada rakyat dilihat sebagai jalan pintas.

GST iaitu cukai 6 peratus telah diperkenalkan oleh kerajaan BN terdahulu namun dihapuskan oleh kerajaan PH berdasarkan janji parti gabungan tersebut dalam manifesto pilihan raya.

Manakala PAS pula mencadangkan satu lagi bentuk cukai yang mana tidak mengenakan secara pukul rata kepada semua rakyat dan ini merupakan unjuran daripada sistem perekonomian Islam sendiri.

Mohd Tarmizi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching berkata, cukai sepatutnya dikenakan kepada individu yang layak sahaja.

"Kalau boleh cukai yang dikenakan hanya kepada mereka yang memiliki pendapatan dan kekayaan banyak berbanding cukai GST dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan pada hari ini," katanya.

No comments:

Post a Comment