Wednesday, October 23, 2019

Bajet 2020 tidak mesra tanpa perumahan rakyat, pembangunan belia



PAS Pahang berpendapat secara keseluruhannya Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan baru-baru ini tidak membuatkan rakyat rasa teruja atau boleh menaruh satu harapan besar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Andansura Rabu berkata, ini kerana ianya hampir sama dengan bajet yang dibentangkan oleh kerajaan yang sama pada tahun lepas, malah perkara yang benar-benar mendesak dan dinanti-natikan rakyat pula tidak disentuh.


“Yang pertama dari sudut kehendak rakyat dan juga kedudukan semasa. Tidak ada disentuh secara mendalam tentang soal perumahan rakyat. Kita dapati bahawa ini isu yang besar dan mendesak di mana rakyat hari ini tidak mampu memiliki rumah.

“Bilangan Rumah yang mampu dimiliki pula semakin berkurangan yang dibina oleh pemaju. Maka makin ramailah rakyat yang tidak mampu untuk memiliki rumah dan terpaksa meneruskan kehidupan dengan menyewa. Ini meningkatkan lagi kos sara hidup mereka. Dalam masa yang sama memberi kesan langsung masa depan semakin mengurangkankan lagi pemilikan hartanah bumiputera,” ujarnya seusai program Munakasyah Ucapan Dasar Presiden di Darul Amin Sungai Gau baru-baru ini.

Beliau yang juga Adun Beserah berkata, paling menakjubkan, selepas sahaja pembentangan bajet tersebut didapati ada percanggahan pandangan apabila kerajaan umum orang asing boleh membeli harta bernilai RM600 ribu yang diturunkan dari sejuta ringgit, tidak dibincangkan di peringkat Kemeterian Perumahan.

Tambahnya, jika Menteri Perumahan sendiri tidak tahu bermakna keputusan dibuat kerajaan tidak dibincangkan dengan terperinci selain impaknya memberi kesan jangka panjang kepada rakyat.

“Dan minggu lepas juga pihak kerajaan telah membatalkan 56 projek PRIMA yang telah diluluskan sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak sensitif dengan kehendak rakyat dan keadaan semasa di mana rakyat memerlukan bantuan dan sokongan padu daripada pihak kerajaan bagi menyelesaikan masalah perumahan mereka.”

Menurutnya lagi, persoalan kedua yang timbul daripada pembentangan bajet baru-baru ini ialah pembangunan belia di peringkat luar bandar.

“Kita tidak nampak satu usaha yang holistik dan menyeluruh untuk membantu belia-belia luar bandar untuk keluar daripada keadaan mereka hari ini apabila insentif-insentif yang sepatutnya boleh diberikan kepada mereka supaya boleh membaiki kehidupan dan taraf hidup mereka juga tidak disentuh dalam belanjawan ini.  Maka belanjawan ini tidak sensitif kepada kehendak rakyat terutama kepada belia-belia luar bandar yang duduk di luar bandar.

“Soal sosio-ekonomi anak muda dan belia juga tidak ditekankan secara menyeluruh.   Hanya mereka mengadakan  satu program yang dipanggil  Mywork Malaysia iaitu guna tenaga Malaysia iaitu dengan usaha untuk mempastikan graduan-graduan mendapatkan pekerjaaan setelah  keluar universiti.

“Bagaimana mereka yang tidak keluar daripada universiti, yang jumlahnya lebih ramai duduk di luar bandar? Yang terpaksa bergantung kepada sumber tradisi? Tidak ada sokongan untuk menjadikan mereka satu kelompok untuk memajukan diri dan masyarakat setempat, kenapa tidak mendapat peruntukan?,” soalnya.

Andansura turut mengulas bahawa lebih 80 peratus daripada perbelanjaaan yang dibentang adalah untuk perbelanjaan mengurus. Selebihnya  18 peratus adalah untuk perbelanjaan pembangunan.

Tambahnya, ini menunjukkan bahawa rakyat tidak boleh menaruh harapan kepada sebarang  projek baharu kerana tiada peruntukan untuknya. Akibatnya, sudah pasti tidak ada limpahan kepada rakyat atau peniaga-peniaga kecil, para usahawan industri hiliran dan sebagainya.

“Ini bermakna kita akan dapati negara kita pada 2020 tidak ada pembangunan, perkembangan dari sudut aktiviti ekonomi. Kita jangka dengan peruntukan yang ada ini bakal menyaksikan rakyat akan terus tertekan dalam kehidupan mereka pada 2020 kerana tiada pembangunan.

“Yang kedua kos sara hidup akan terus kekal seperti mana hari ini ataupun akan menjadi semakin  meningkat nilai mata wang kita sudah semakin terus menyusut  

“Maka secara kasarnya saya simpulkan bajet 2020 tidak banyak yang boleh kita raikan atau tidak dapat disambut secara menyeluruh melainkan merekan akan kekalkan SST dengan melebarkan lagi asas percukaian untuk menampung kehilangan akibat daripada pembatalan GST,” tegasnya.

Andansura turut membangkitkan, bagaimana kerajaan hendak menjayakan empat perkara utama yang dibentangkan iaitu memperkasakan ekonomi digital, memberi kesaksamaan kepada rakyat, meningkatkan kebolehan modal insan dan   pertumbuhan ekonomi yang berdaya saing.

“Dengan bajet yang ada saya jangkakan ianya masih lagi berada berada di takuk yang lama.”

No comments:

Post a Comment