Oleh DR KAMARUZAMAN YUSOF
Kesenyapan pemimpin tertinggi DAP dalam isu desakan
supaya Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan mengundang spekulasi
Seperti diketahui, ramai sekali pemimpin BERSATU yang
menunjukkan kemarahan mereka ke atas ke atas kenyataan Ahli Jawatankuasa DAP
Negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau, yang mendesak supaya Tun Dr Mahathir Mohamad
meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Agak terkehadapan dalam menyuarakan kemarahan mereka
adalah Ahli-Ahli Jawatankuasa ARMADA BERSATU Malaysia, iaitu Mohd Ashraf
Mustaqim Badrul Munir dan Mohd Fahim Mohd Farid, serta Ketua Armada BERSATU
Terengganu, Mohd Syaiful Irfan Anang.
Mewakili ARMADA Bersatu Malaysia adalah Ketua
Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin, yang menyatakan tuntutan dari ARMADA
Bersatu Malaysia supaya Dr Boo Cheng Hau meminta maaf kepada Tun Dr Mahathir di
atas kenyataan beliau itu.
Mewakili Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU pula adalah
Dr Muhammad Faiz Na'aman yang menuntut Dr Boo Cheng Hau meminta maaf secara
terbuka terhadap Tun Dr Mahathir dan menarik balik kecaman beliau terhadap Tun
Dr Mahathir tersebut.
Permintaan ini diikuti oleh tiga permintaan pemimpin
BERSATU yang lebih senior, iaitu Wan Saiful Wan Jan dan Abu Bakar Yahya selaku
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU serta Tan Sri Dr Rais Yatim selaku
Pengerusi BERSATU Negeri Sembilan.
Permintaan Tan Sri Dr Rais Yatim adalah lebih khusus
kepada pemimpin tertinggi DAP, iaitu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dan
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, supaya mereka “‘cilikan’ mulut si celupar
ini”, yang merujuk kepada tindakan ke atas Dr Boo Cheng Hau.
Permintaan Wan Saiful Wan Jan pula adalah berupa
pilihan sama ada supaya Dr Boo Cheng Hau “letak jawatan dalam DAP” atau supaya
“partinya sendiri (DAP) buang beliau kerana nyata beliau hanya tahu mengeruhkan
keadaan dan bukannya membantu”.
Satu lagi permintaan, yang perlu dipandang lebih serius
oleh DAP kerana datang daripada Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir, iaitu Abu
Bakar Yahya, adalah supaya pemimpin DAP “memberikan teguran serta peringatan
tegas terhadap Dr Boo Cheng Hau”.
Malangnya, sehingga kini tiada seorang pun pemimpin
tertinggi DAP yang memberikan maklum balas kepada permintaan pemimpin BERSATU
ini, sama ada memberikan teguran serta peringatan tegas atau mengarahkan Dr Boo
Cheng Hau meminta maaf.
Malah, sehingga kini kenyataan Dr Boo Cheng Hau, yang
menuntut perletakan jawatan pemimpin Pakatan Harapan yang mengeluarkan
kenyataan yang bertentangan dengan janji-janji pilihan rayanya dan yang
mendakwa pemimpin tertinggi BERSATU telah selalu sangat melanggari janji, masih
lagi terpampang megah dalam laman web rasmi DAP.
Susah sangatkah untuk pemimpin tertinggi DAP memberikan
teguran serta peringatan tegas kepada Dr Boo Cheng Hau atau mengarahkan Dr Boo
Cheng Hau meminta maaf seperti yang diminta, kalaupun tidak mengambil tindakan
yang lebih keras kepada beliau?
Pastinya kesenyapan pemimpin tertinggi DAP ini akan
mengundang spekulasi.
No comments:
Post a Comment