Pengumuman Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk
menarik balik moratorium aktiviti bauksit di Kuantan akhir bulan Mac ini
melahirkan kebimbangan penduduk.
Adun Beserah Andansura Rabu berkata, ini kerana
terdapat beberapa kemusykilan yang masih belum terjawap sekali gus masalah yang
sama akan berulang semula.
“Kebimbangan di pihak saya masih ada. Pertama bila saya
tengok kenyataan Timbalan Menteri Fuziah Salleh sendiri yang mempertikaikan tindakan
kementerian tidak memaklumkan apa SOP baharu yang telah perkenalkan.
“Kedua, apa yang kerajaan telah dilakukan dalam tempoh
tiga tahun moratorium ini dilaksanakan. Apa pembaharuan yang dibuat, apa jaminan
pihak kerajaan tidak akan berlaku lagi pencemaran seperti sebelum ini?” soalnya.
Andansura yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang,
berkata masih banyak perkara yang perlukan penjelasan kerajaan supaya tidak
berulang cerita lama.
“Bagi saya dan penduduk di kawasan Beserah yang
terlibat secara langsung, kita nak tengok dulu apa jaminan pihak kerajaan dan
apa pembaharuan dibuat sebelum moratorium ditarik balik.
“Adakah isu-isu yang berlaku sebelum ini seperti kekurangan
penguatkuasa, ketiadaan kakitangan dan sebagainya telah diatasi sebelum
aktiviti bauksit dibenarkan semula. Kita tidak mahu alasan yang sama digunapakai...
tak cukup orang, tiada kakitangan, tiada
aset untuk buat pemantauan. Akhirnya masalah sama akan berulang.
“Kita juga nak tengok dan nak tahu bahawa tidak ada
percanggahan dari segi bidang tugas antara agensi-agensi kerajaan. Kita tidak
mahu ada nanti pihak agensi menuding jari antara satu sama lain kerana tidak
jelas tentang tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Kita harap penarikan moratarium ini dan dibenarkan semula
aktiviti bauksit adalah selepas dapat penjelasan yang memuaskan hati semua
pihak,” katanya kepada media.
No comments:
Post a Comment