Kita tidak tahu apakah yang difikirkan oleh peneroka-peneroka Umno di tanah-tanah rancangan Felda apabila Yang Dipertuan Agong berkenan menerima memorandum daripada Gerakan Selamatkan Felda (GSF) petang tadi di Istana Negara.
Sebab sebelum ini pada perkiraan mereka, yang berjuang untuk selamatkan Felda daripada menjadi mangsa kerakusan pemimpin tertentu adalah pengkhianat.
Kita juga tidak pasti apakah yang terlintas di minda peneroka-peneroka Umno ini pada saat pihak polis sendiri membenarkan himpunan tersebut.
Sebab mereka sering merasakan pejuang hak-hak Felda adalah penentang yang mahu meruntuhkan agensi tersebut. Ini dibuktikan dengan demonstrasi diadakan di mana-mana mahu menghalang Himpunan Oren.
Mujurlah pihak polis dan pihak Istana Negara tidak sebodoh akal peneroka-peneroka Umno yang diracun pemikiran mereka itu.
Ada yang mengatakan persepsi buruk terhadap aktivis Felda didoktrinkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri apabila sanggup menggelar mereka yang berjuang menyelamatkan Koperasi Permodalan Felda (KPF) sebagai haramjadah pada satu majlis di Jengka.
Haramjadah bukanlah perkataan yang baik dalam kamus bahasa Melayu, kerana ia membawa maksud sebagai anak haram atau anak luar nikah. Tuduhan tersebut sudah tentu amat menyinggung peneroka kerana mereka tidak pernah mencabul anak orang termasuk dari Monggolia sekalipun. Mereka juga tidak pernah mengambil perempuan daripada isteri orang atau pernah ditangkap berkhalwat!
Begitu juga dengan caci nesta terbaru Najib ketika berucap di Pekan iaitu “muka tak malu” dan “pengkhianat”.
Kita percaya perkataan-perkataan kurang ajar daripada seorang pemimpin inilah antaranya membakar kemarahan dan merasuk peneroka-peneroka Umno itu yang sebenarnya tidak tahu ujung pangkal!
GSF berjuang untuk martabat peneroka sendiri. Umpamanya, halangan penyenaraian saham FGVH adalah jelas untuk menentang berlaku kronisme. Bayangkan, nama peneroka dan tanah Felda dipergunakan untuk penyenaraian tetapi setiap peneroka hanya mendapat 800 unit saham berhutang. Bagaikan langit nak runtuh diumumkan peneroka akan memasuki bidang baru dalam perniagaan dunia, iaitu dengan memasuki pasaran saham, tetapi hanya 800 unit saham hutang! Tan Sri Isa Samad pula, yang baru datang menyertai Felda mendapat 180,000 unit saham!
Siapa Isa Samad? Hanya pernah berbudi sedikit kepada Najib dulu, sudah menjadi jutawan melalui Felda!
Takkanlah sifir atau bandingan semudah itu peneroka-peneroka Umno tak reti? Tak pernah berfikirkah?
Antara penyenaraian juga ialah menyandarkan tanah Felda Plantation berstatus rizab Melayu seluas, jika tidak silap, 36,000 ekar. Semua itu mengundang risiko sedangkan pelaburan tanah jika diusahakan sendiri peneroka jauh lebih berbaloi kerana mempu menyara tuan punya hingga ke anak cucu.
Tetapi otak peneroka-peneroka Umno ini sudah rosak akibat diracun oleh pemimpin mereka. Walhal yang dituduh pengkhianat oleh mereka itulah yang memperjuangkan isu-isu dalam Felda umpama kadar perahan gred (KPG) kelapa sawit yang sudah sekian lama ditipu.
Macam-macam isu lagi, tidak mungkin habis dibicarakan di ruangan ini.
Kita percaya pemimpin Umno akan berbuat apa saja demi untuk mengekalkan pengaruh mereka di Felda kerana bagi mereka kawasan Felda adalah ‘simpanan tetap’ mereka ditaruh untuk pilihan raya.
Apa yang hanya kita boleh harapkan, agar mereka sedar bahawa jika pemerintahan negara ini diterajui Pakatan Rakyat, bahawa kehidupan mereka akan jauh lebih baik daripada sekarang kerana tidak ada lagi penipuan dan ambil kesempatan.
Bahkan bukan para peneroka saja, Pakatan juga menyediakan pelan untuk anak dan cucu peneroka juga kakitangan Felda termasuk jaminan rumah dan tanah ladang. Bukannya setakat wang tunai, yang boleh diperhabis hanya dalam masa beberapa hari, kemudian peneroka dan zuriatnya hidup susah semula!
No comments:
Post a Comment