Sunday, July 15, 2012

Pelakon, pengarah Adam Hamid pula sertai PAS

KUALA LUMPUR: PAS terus menjadi wadah pilihan utama artis berhijrah apabila pelakon dan pengarah muda berbakat besar Adam Hamid menyertai PAS sempena Himpunan Hijau ke Putrajaya Peringkat Wilayah Persekutuan malam tadi.

Penerbit filem ‘Cinta Terakhir’ itu pernah berlakon di dalam lebih 30 buah drama antaranya Kipas Angin, Anak Teruna, Kalau Itu Takdirnya dan Rahsia Demi Rahsia. Juga membintangi filem-filem seperti Pontianak Harum Sundal Malam 1, Aku No 1 dan Bujang Senang.

Malam tadi pemuda kacukan Kelantan-Pakistan itu meneruskan fenomena artis tanah air berhijrah ke dalam PAS. Borang keahliannya diserahkan kepada Ketua Penerangan PAS Malaysia Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim pula selepas itu menyarungkan baju T kepada Adam.

Yang menariknya beliau yang menjadi ahli PAS seumur hidup memberitahu media, berazam untuk mengubah dunia seni tanah air ke arah yang lebih baik dan berpaksikan kepada syariat termasuk mahu pelakon-pelakon menutup aurat.

Menurutnya, dunia seni kini semakin lalai dan ramai penggiat seni tidak menghiraukan perintah-Nya ketika berkecimpung dalam dunia seni.

"Ramai yang leka dengan perintah-Nya dan melakukan yang terlarang. Jadi saya berasa terpanggil untuk mengajak mereka ke arah yang lebih baik dan berkongsi ilmu yang saya ada walaupun sedikit," ujarnya seperti yang dilaporkan media.

Berkenaan peluang dan kerjayanya selepas menyertai PAS, beliau berkata tidak gentar jika disenaraihitamkan kerana hanya menyerahkan segalanya kepada takdir namun usaha dalam bidang lakonan tetap akan diteruskan kerana ia sudah sebati dalam jiwa.


Sementara itu Adam yang memulakan kariernya sebagai pelakon di dalam drama sitkom Sayang Di Sayang, di bawah Serangkai Filem pada usia 18 tahun, berkata beliau telah menjadi penyokong Pakatan Rakyat sejak lama dan pernah bermandi air kimia dan bom asap kerana menyertai demonstrasi.

"Saya tidak pernah terikut-ikut dengan langkah artis lain menyertai politik. Saya mula bergiat aktif dalam arena politik sudah lama tetapi baru kali ini saya meyerahkan borang keahlian secara rasmi dan saya merupakan pengikut setia Pakatan Rakyat," tegasnya.

Ketabahan dan keazaman yang kuat membuat Adam mengharungi apa juga badai yang mendatang di dalam perjalanan seninya. Adam yang juga bekas handyman ini menguasai kebanyakan bidang seni lakon termasuk pernah menjadi pengurus produksi, penulis skrip dan akhirnya menjadi pengarah.

Kini beliau sudah mengarahkan lebih daripada 50 buah drama televisyen. Telemovie pertama arahannya ialah Cinta Penyair utk slot RTM pada tahun 2001.


No comments:

Post a Comment