Sinar Harian
TEMERLOH: Pas Pahang menganggap peneroka di negeri ini yang memendam rasa kecewa kepada kerajaan umpama ‘bom jangka’ yang akan meletup pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ramai peneroka kecewa apabila saham ditawarkan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) kepada mereka hanya 800 unit yang sepatutnya lebih daripada itu.
Bagaimanapun beliau tetap berpendirian penyenaraian tersebut satu risiko besar yang perlu ditanggung peneroka jika ia mengalami kerugian.
“Kita percaya ramai peneroka yang tidak yakin dengan penyenaraian ini akan bertindak menyokong Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihan raya umum akan datang.
“Kita anggap ia umpama bom jangka, kerana kerajaan menganggap peneroka sebagai penyelamat mereka tetapi akan berlaku sebaliknya,” katanya sewaktu ditemui pada Himpunan Hijau Pas Peringkat Negeri Pahang, dekat Kerdau, di sini, kelmarin.
Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim berkata, momentum sokongan golongan muda yang semakin kuat kepada Pas pada masa sekarang akan terus dikekalkan.
Menurutnya, walaupun jika BN memerintah hingga hujung penggal antara Mac dan April nanti, Pas tetap yakin sokongan pengundi muda akan berterusan.
“Kita dapat lihat persaingan antara PR dan BN yang semakin hebat sekarang dan ini satu perkembangan sihat dari segi demokrasi.
“Bagi pihak Pas, kita akan kekalkan gelombang kebangkitan anak-anak muda ini yang semakin cenderung dan yakin dengan perjuangan kita,” katanya.
Sidang media oleh Tuan Ibrahim bersama (dari kiri) Ketua Pemuda Nasruddin Hassan, Timbalan Pesuruhjaya Yusof Embong, Setiausaha Perhubungan Roslan Zainal dan Bendahari PAS Pahang Musaniff Abdul Rahman
No comments:
Post a Comment