Thursday, March 22, 2012

PAS lapor SPRM pemimpin Umno, kerajaan khianat Tanah Rizab Melayu

KUANTAN: PAS Kawasan kelmarin membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang dekat sini, berhubung satu penyelewengan tanah yang dilakukan oleh pemimpin Umno negeri ini.

Laporan dibuat oleh Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuantan Sulaiman Md Derus bersama Naib Yang DiPertuanya Syed Anis Syed Hussin.

Dalam laporan tersebut, didedahkan satu penyelewengan tanah (No Hak Milik 7793, Lot 468 Seksyen 39) yang dilakukan oleh bekas Pengerusi Perhubungan Umno Pahang yang juga bekas Menteri Besar (MB) Tun Khalil Yaakob dan barisan exconya (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang).

Turut disebut, Khalil selaku MB ketika itu dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (MMK) telah berkerjasama memecah Tanah Simpanan (Rizab) Melayu Tok Sira kepada 14 lot perumahan yang masing-masing mempunyai pajakan 99 tahun dengan menggunakan Pasdec Corporation Sdn Bhd (Pasdec) bagi mengaburi mata rakyat atas tindakan ini.

Laporan menyebut, tanah berstatus Rizab Melayu di Tok Sira itu masih dirujuk atau dikategorikan sebagai Tanah Rizab Melayu sehingga ke hari ini berdasarkan maklumat daripada Pejabat Tanah dan Daerah Kuantan serta Pejabat Ukur dan Pemetaan.

Sulaiman yang ditemui selepas ditemui selepas soal siasat SPRM berkata, permohonan telah diluluskan oleh MMK pada 2 April 1997 dan ia diberi milik kepada Pasdec pada 25 Oktober 1997.

"Antara yang menandatangani Borang 14A (pindah lot) tersebut pada 31 Disember 2001 ialah bekas Timbalan Menteri Besar Pahang Dato' Hassan Ariffin dengan harga RM76,499.

“Harga itu terlalu rendah jika dibanding dengan harga pasaran ketika itu iaitu RM213,000 seperti dinyatakan dalam surat pejabat duti setem bertarikh 23 Januari 2002)", katanya.

Sulaiman turut mendedahkan, antara MMK yang mendapat lot-lot tanah itu lagi ialah Rahadian Mahmud Mohd Khalil (anak bekas MB) bagi lot PN 7792, Lot 467, Seksyen 39; Datuk Omar Othman (Exco) bagi lot PN7800, Lot 475, Seksyen 39; Datuk Hamdan Jaafar (PKNP) bagi lot PN7803, Lot 478, Seksyen 39; Datuk Ibrahim bagi lot PN7804, Lot 479, Seksyen 39 serta ahli MMK lainnya.

Difahamkan, selepas lot-lot tersebut dipindahmilik kepada Exco terbabit, syarat tanah (Rizab Melayu) tersebut telah dilepaskan oleh MMK dipercayai bagi memudahkan urusan penjualan tanah tersebut kepada bukan Melayu.

Menurut Sulaiman, selepas syarat Rizab Melayu dibuang, tanah tersebut telah dijual kepada bukan Melayu dan ia bercanggah dengan dasar kerajaan sendiri sebenarnya.

"Seorang Exco telah menjual lot tanahnya kepada seorang bukan Melayu berbangsa Cina yang bernama Ti Lian Yeah pada 8 September 2004 dengan harga RM397,683.02 iaitu lebih daripada lima kali ganda daripada harga jualan Pasdec kepada beliau iaitu RM76,499.

"Yang aneh, lot tersebut masih dirujuk atau dikategorikan sebagai Tanah Rizab Melayu sehingga ke hari ini tetapi bagaimana ia boleh dipindahmilik kepada bukan Melayu?,” soal Sulaiman.

Malah, difahamkan Ti Lin Yeah telah menyerahkan semula pajakan lot tersebut untuk tujuan menukar pajakan 99 tahun kepada geran kekal (freehold).

"Saya rasa dalam isu ini, ia jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh Umno telah menyalahgunakan kuasa untuk merampas Tanah Rizab Melayu untuk dijual kepada bukan Melayu.

“Perniagaan itu menguntungkan individu terbabit tetapi jelas sekali mereka telah khianat kepada orang Melayu itu sendiri", tegas Sulaiman.

Sulaiman menambah, pendedahan tersebut hanya satu kes dan dan beliau akan membuat pendedahan bersiri berkaitan penyelewengan tanah oleh Umno negeri apabila tiba waktunya.

Turut mengiringi Sulaiman ialah NGO Pengerak Anti Rasuah Dan Salahguna Kuasa (PEDAS) Ram Ponnusamy dan Pang Jon Kong di

Sementara itu Syed Anis berkata, PAS Kuantan terpaksa mendedahkan siri penyelewengan Umno terhadap tanah-tanah di negeri ini bagi menampakkan wajah mereka yang sebenar.

“Di depan rakyat mereka kononnya menjuarai hak orang Melayu tetapi bila dibelakang mereka dulu yang sapu. Sikap dan perangai ini tidak habis disitu, bahkan tanah, hutan dan balak dijual kepada bukan Melayu.

“Malah bekas Setiausaha Umno Pahang satu ketika dulu mendedahkan ladang sawit dan tanah milik Umno Pahang serta ladang-ladang milik beberapa buah anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang sudah terjual kepada bukan Melayu,” ujarnya.

Syed Anis menambah, PAS Kuantan dalam sedikit masa lagi akan mendedahkan bagaimana tanah Rizab Melayu Transit Kuaters di di tengah bandar Kuantan dijual kepada bukan Melayu.


GAMBAR
Sulaiman (kiri) sedang menjelaskan laporan kepada pegawai penyiasat SPRM. Di sebelah beliau ialah Pang Jon Kong, Syed Anis dan Ram Ponnusamy.

1 comment:

  1. Pejuang Untuk Memartabatkan Orang Melayu... Jualkan sedikit tanah rezab Melayu kpd bukan Melayu, baru Melayu Umno kaya raya...

    ReplyDelete