Thursday, March 22, 2012

OKU sekolah agama dapat 6 A SPM

Sinar Harian TEMERLOH: Bagi sesetengah orang, mendapat keputusan 6 A dalam peperiksaan SPM mungkin perkara biasa sahaja. Namun oleh kerana yang mendapat keputusan tersebut seorang pelajar kelainan upaya (OKU), maka sudah tentu ia diterima dengan penuh bangga terutama keluarganya.

Keputusan 6 A SPM 2011 inilah yang diterima oleh Muhammad Badiuzzaman Khairil penuntut Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah di sini hari ini.

Badiuzzaman yang kini menuntut dalam Tingkatan 6 Bukhari Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di sekolah tersebut merupakan penghidap penyakit kecacatan otot atau lebih tepatnya Congenital Fiber Type Disproportion Myopathy.

Akibatnya, anak sulung kepada lima beradik ini terpaksa ke sekolah dan belajar di atas kerusi rodanya sejak daripada Tingkatan 1 lagi. Pada masa ini beliau masih menerima rawatan lanjut iaitu sekali dalam masa tiga ke enam bulan di Hospital Kuala Lumpur.

Dalam keputusan SPM yang diumumkan seluruh negara hari ini, Badiuzzaman mendapat enam A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (A +), Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Ekonomi dan Pendidikan Al-Quran.

Ibunya, Rafeah Rasu yang turut ditemui bersama, berkata beliau sekeluarga menyambut dengan gembira keputusan peperiksaan yang diterima Badiuzzaman.

“Kami sekeluarga bersyukur dan sangat bangga dengan keputusan yang diperolehi Along (nama panggilan Badiuzzaman) apatah lagi dia tidak mengikuti mana-mana kelas tuisyen.

“Mudah-mudahan keputusan itu dapat mendorong adik-adiknya untuk mencapai keputusan yang lebih baik,” katanya yang merupakan seorang guru.

Badiuzzaman mempunyai seorang lagi adik lelaki yang menghidap penyakit sepertinya.

Bagi Badiuzzaman pula, beliau sendiri tidak menjangka mendapat keputusan seperti itu kerana katanya soalan peperiksaan SPM yang lepas memang susah dan menganggapnya anugerah Allah.

“Saya tidak ada cara-cara khusus atau strategi untuk belajar melainkan memberi tumpuan pada ketika cikgu mengajar dalam kelas dan selebihnya berserah kepada Allah,” katanya.

Bercakap tentang masa depan dan kerjaya pula, Badiuzzaman bertekad untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang ICT dan Multimedia kerana minat yang mendalam dengan bidang tersebut.

Sementara itu, peratus kelulusan pelajar dalam peperiksaan SPM bagi Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah telah meningkat hampir 30 peratus tahun ini.

3 comments:

  1. TAHNIAH ALONG!!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete
  2. Berbanyak2 tima kasih bang... doakan Along supaya tercapai segala hasratnya!
    (bagi pihak Along)

    ReplyDelete
  3. Ye..sama sama...
    Harap Kerajaan Negeri Pahang terutama Kementerian Pendidikan san Yayasan Pahang ambil perhatian terhadap 2 beradik yang gigih dan pintar ini.
    Baru baru ini Angah mendapat kejayaan yang cemerlang dalam PMR.Sekarang Along pula mengikuti jejak Angah beroleh kejayaan yang cemerlang dalam SPM.
    Semoga dua beradik yang tabah ini berjaya mencapai impian masing masing.Amin..........

    ReplyDelete