Thursday, December 27, 2012

PAS Maran nafi berita Sinar Harian



MCA main isu perkauman macam Umno – Leong

TEMERLOH: Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah mendesak MCA berhenti meniru cara Umno dengan memainkan isu perkauman dan fitnah iaitu DAP diperkuda oleh PAS.

Dalam sidang medianya di pejabat PAS Pahang semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Triang berkata, MCA ternyata kehabisan modal politik walaupun terpaksa meniru Umno sehingga memecahbelahkan masyarakat Cina.

Beliau mengulas satu isu majlis makan malam di Telemong, Bentong yang sudah tiga minggu dimainkan oleh MCA dalam akhbar berbahasa Cina dan Inggeris.

Majlis makan malam itu dianjurkan DAP Bentong pada 17 November lalu.

Menurut Leong, seorang ahli DAP telah menaja majlis nyanyian dengan dua orang penyanyi dan pada masa itu Setiausaha PAS Kawasan Bentong Junaidi Ishak, hadir mewakili PAS.

“Apa yang berlaku ialah penyanyi pertama telah mengambil masa yang lama sehingga 20 minit membuat persembahan. Oleh kerana banyak acara lagi selepas itu, penganjur telah membatalkan persembahan penyanyi kedua.

“Akibatnya, seorang penyokong MCA yang hadir pada malam itu tidak puas hati lalu membuat cerita kononnya DAP tunduk kepada PAS kerana terpaksa membatalkan nyanyian berikutan kehadiran wakil PAS.

“Cerita itu kemudiannya dispin oleh Ketua Kampung Baru Manchis dengan mengatakan DAP meletakkan kepentingan PAS melebihi masyarakat Cina,” ujarnya.

Leong berkata, akibat peristiwa tersebut MCA telah mempergunakan isu itu termasuk mencabar DAP ‘potong ayam’ di gereja Guan Di di Telemong sebagai sumpah membuktikan siapa berbohong dalam isu itu dan difokuskan dalam akhbar.

“Orang yang paling faham isu itu ialah orang Telemong tetapi Ketua Kampung Baru (Cina) Manchis pula yang mereka-reka cerita. Sebab itu DAP meminta beliau letak jawatan kerana dia tidak layak menjadi ketua masyarakat Cina kerana memecahbelahkan masyarakat tempatan di situ.

Leong menambah, beliau sedar oleh kerana pilihan raya umum (PRU) sudah dekat kerana itulah MCA terpaksa menggunakan taktik seperti Umno memainkan isu perkauman.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang turut hadir dalam sidang media berkata PAS tidak pernah masuk campur program DAP.

Katanya, tidak timbul langsung soal DAP tunduk kepada PAS sebagaimana PAS tidak pernah tunduk atau dimasuk campur oleh DAP.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hasan yang turut hadir menambah, isu tersebut sengaja dirancang dan diperbesarkan kerana ia merupakan strategi terancang untuk melemahkan PR.

“Di tempat majoriti Cina, MCA mainkan isu DAP tunduk kepada PAS. Manakala di kalangan masyarakat Melayu, Umno pula menyebarkan dakyah PAS tunduk kepada DAP.

“Sekarang siapa yang tundukkan siapa? Jadi kita harap rakyat sedar permainan politik kotor dan perkauman ini demi untuk mereka mengekalkan kuasa,” katanya.


Isu yang telah tiga minggu dimainkan dalam akhbar kononnya DAP tunduk kepada PAS



Thursday, December 20, 2012

Jelajah Anak Muda Menuju KL112 – 1 juta rakyat


JELAJAH ANAK MUDA MENUJU #KL112 – 1 JUTA RAKYAT!


Bagi menggandakan momentum mobilisasi ke arah Hari Kebangkitan Rakyat #KL112, satu inisiatif besar telah disusun oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan kerjasama sekutu anak muda terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia dan dengan sokongan seketreriat HKR, satu roadshow Jelajah Anak Muda Menuju #KL112 akan menjengah ke seluruh Negara.

Pihak secretariat Jelajah Mobilisasi Menuju #KL112 juga menjemput semua NGO yang mempunyai tuntutan rakyat untuk hadir ke pentas jelajah ini bagi terus menghasut orang ramai hadir ke Kuala Lumpur pada tarikh yang dimaksudkan. NGO diberi keutamaan dan setakat ini, hampir semua venue jelajah akan dihiasi oleh warna-warna NGO bertuntutan.

Harapan secretariat Jelajah Mobilisasi Menuju #KL112 agar maklumat jelajah bersifat ‘countdown HKR’ ini dapat dihebahkan sebaik yang mungkin bagi memberikan impak terbesar menjelang perhimpunan paling besar dalam sejarah negara – yang menampilkan… 1 Juta Rakyat!

Bermula di Kelantan pada 26 Disember, iaitu 16 hari menjelang #KL112, seterusnya Jelajah Anak Muda akan menjengah semua negeri di semenanjung dengan 12 lokasi dan kemuncak jelajah ‘Final Countdown’ akan berlangsung di lokasi bersejarah negara iaitu Padang Kelab Sultan Sulaiman Kg Baru, Kuala Lumpur pada 11 Januari 2013 mengira detik 12 Januari 2012

DISEMBER 26 – TAPAK EXPO, MACHANG, KELANTAN (pertanyaan 019-9317608)

DISEMBER 28 – TAMAN RIA MESRA, GURUN, KEDAH (pertanyaan 017-5568557)

DISEMBER 29 – BUKIT GEDONG, BAYAN BARU P.PINANG (pertanyaan 017-4760274)

DISEMBER 30 – DATARAN DSAI, TAMBUN TULANG, PERLIS (pertanyaan 019-4342244)

JANUARI 1 - KG BUKIT PULAU, BUKIT KATIL MELAKA (pertanyaan 012-2478016)

JANUARI 2 - TAMAN TASEK JAYA, PAROI N.SEMBILAN (pertanyaan 0123696474)

JANUARI 4 - DEWAN DATO FAUZI, SEKINCHAN SELANGOR (pertanyaan 012-3312364)

JANUARI 5 - PADANG PPR, KEMPAS JOHOR (pertanyaan 012-7030747)

JANUARI 6 - TAMAN MUHIBBAH, TEMERLOH PAHANG (pertanyaan 017-9573855)

JANUARI 8 - MARKAS PAS MASJID TINGGI, BAGAN SERAI PERAK (ptnyn 012-5595258)

JANUARI 9 - DEPAN MYDIN KUALA IBAI, K.TERENGGANU (pertanyaan 019-9809974)

JANUARI 11 - KELAB SULTAN SULAIMAN, KG BARU KUALA LUMPUR (pertanyaan 0123696474)

Antara tuntutan yang bersama;

ANAK : Perjuangan menuntut hak dan kebajikan Generasi kedua FELDA

KASE : Menuntut proses saman dan pendidikan trafik yang telus, menuntut pemansuhan AES

Anti Lynas : Himpunan hijau perjuangan menyelamatkan alam sekitar demi masa depan

Royalti : Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas

SMM : Mansuhkan PTPTN dan Menuntut pendidikan percuma

BERSIH : Menuntut 8 perkara asas demi sebuah pilihanraya telus dan adil

Program jelajah mengandungi beberapa aktiviti penting seperti

§ Ceramah Perdana – Rapat Umum menampilkan pimpinan muda dari perbagai latar belakang

§ Pengedaran risalah dan penerangan dalam kumpulan – kumpulan kecil. Sebanyak 250,000 risalah kenapa anak muda harus bersama jayakan #KL112 akan diedarkan ke seluruh negara

§ Perjumpaan dengan ormas dan pimpinan muda di perbagai peringkat bagi memaksimakan impak #KL112


Dibacakan oleh

Edy Noor Reduan

wakil SAMM



Safwan Anang

Wakil SMM



Adam Adli

Pengarah Bersama Jelajah Mobilisasi Ke Arah 1 Juta #KL112

Yasir Sheikh Abd Rahman
Pengarah Bersama Jelajah Mobilisasi ke Arah 1 juta #KL112


Selepas ini, semua orang boleh ucap 'haram jadah' - peguam

TEMERLOH: Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh Datuk Akhtar Tahir hari ini membuat keputusan menolak saman yang difailkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh 8 peneroka dari sekitar Jengka kerana ungkapan menghina ‘haram jadah’ terhadap mereka.

Peguam peneroka berkenaan, Mohd Harris Abdullah, berkata hakim berpendapat ungkapan ‘haram jadah’ oleh Najib hanyalah bersifat umum, tidak ditujukan kepada 8 peneroka, tidak mengaibkan dan hanya sindiran.

Menurut Harris, hakim juga memutuskan setiap plaintif (peneroka) diarahkan membayar sebanyak RM3,000 seorang bagi kos penghakiman.

“Bagaimanapun pihak kita agak terkilan kerana dengan keputusan hari ini seolah-olah sudah ada satu nas bahawa sesiapa sahaja boleh menggunakan perkataan haram jadah kepada sesiapa yang dia suka dan kesannya besar,” katanya dalam sidang media selepas keputusan.

Turut hadir memberi sokongan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Yusof Embong, Timbalan Presiden Anak Aris Faizul Ismail, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka PAS Pahang Md Jusoh Darus dan para penyokong.

Harris berkata, jika perkataan lucah, kotor dan menghina dibenarkan diucap oleh pemimpin, ia bertentangan dengan dasar kerajaan sendiri iaitu meminta rakyat berbudi bahasa dan bersopan santun sebagaimana kempen dalam televisyen.

Mengenai keputusan kes hari ini, beliau mempunyai tempoh dua minggu untuk merayu dan akan berbincang dengan plaintif.

Ogos lalu Samat Yusof, Alias Ibrahim, Idris Mat Sah, Syed Jamaluddin Muhamed, Abdul Rahim Abdul Rahman, Rosdi Ismail, Abdullah Mohd dan Rakiah Sulong selaku plaintif memfailkan saman terhadap Najib berikutan mengeluarkan perkataan menghina itu pada 8 Mei tahun ini dalam satu program di Jengka 8.

Saman tersebut difailkan setelah notis tuntutan maaf dan minta ditarik balik perkataan tersebut yang telah diserahkan kepada Najib selaku defendan, tidak diindahkan dan tiada sebarang respons.

Sedangkan Najib mengetahui ungkapan menghina yang dibuat di hadapan lebih 40 ribu yang hadir di majlis mengumumkan durian runtuh itu dan liputan media boleh mempengaruhi memandangkan beliau pemimpin tertinggi negara.

Bagi mereka ungkapan haram jadah itu amat mengaibkan kerana membawa maksud mereka anak luar nikah, pengkhianat dan tidak bermaruah sehingga dianggap tidak layak menerima durian runtuh.

Sementara itu, di hadapan mahkamah hari ini penuh sesak dengan kira-kira 300 penyokong Umno dari beberapa Felda sekitar Wilayah Jengka dan Mempaga yang berdemonstrasi menyokong Najib.

Dalam tinjauan, mereka mengakui diarahkan sendiri oleh Felda untuk hadir bagi menyokong Najib dan didatangkan dengan beberapa buah bas.

Mereka membuat bising dan riuh rendah sambil mengangkat sepanduk di hadapan jalan raya sehingga memaksa tidak kurang 50 orang petugas polis mengawal lalu lintas.

Manakala lebih 200 penyokong peneroka yang hadir terus duduk tenang dan sabar sementara menunggu keputusan mahkamah.


~ Gelagat penyong Umno di hadapan Mahkamah Temerloh


Wednesday, December 19, 2012

Apa tujuan Muslimat PAS panggil Hasan Ali, Dato' Nan?

Amat memeranjatkan. Barang dijauhkan Allah, apakah seorang tokoh muslimat PAS Pahang benar-benar akan menyeberang ke Umno?

Sekurang-kurangnya itulah cerita-ceriti yang sedang berlegar hangat dan kecur diperkatakan sekarang.

Cerita bermula, apabila muslimat yang pernah bertaraf Pusat itu memanggil Presiden Jati yang dipecat daripada PAS iaitu Datuk Dr Hasan Ali berceramah kepada pelajar-pelajar kem cuti sekolah di sekolah agamanya.

Manakala Pengerusi Umno Pahang Datiuk Seri Adnan Yaakob pula dijemput dan diberi penghormatan berucap pada majlis penutup kem (kursus) tersebut.

Buat masa ini, semua tidak percaya Ketua Muslimat Kawasan itu akan mengisi borang Umno. Malah, masih belum timbul cerita itu. Tetapi motif beliau yang sebenar tidak diketahui.

Beliau dikatakan tidak pernah merujuk kepimpinan PAS untuk memanggil ‘musuh’ PAS itu apatah lagi menjelang PRU ini.

Beliau pernah bertanding atas tiket PAS dalam PRU lalu, tetapi dipercayai aktivitinya agak perlahan selepas kalah dalam pertandingan peringkat negeri.

Melihat kepada kefahaman bekas guru kerajaan itu, saya tidak percaya beliau akan keluar PAS dan masuk Umno. Saya percaya, kefahamannya tentang dakwah, perjuangan, pengorbanan, uslub, hikmah, siyasah dan sebagainya jauh lebih tinggi dari saya. Lagipun, beliau orang lama dan bertaraf pemimpin.

Akan tetapi suasana semasa, kondisi seseorang dan perhitungan politik masing-masing tidak boleh dibaca. Faktor makan budi dan terdesak juga, mungkin tidak pernah diambil tahu oleh kepimpinan negeri serta sahabat-sahabatnya. Kita tidak tahu kerana kita tidak berada di tempatnya.

Pada hemat saya, amat tidak sesuai beliau memanggil tokoh-tokoh berkenaan. Mungkin ada orang boleh berhujah, kita kena berfikiran terbuka, berlapang dada dan sebagainya. Tapi, pernahkah kita terfikir, mahukah Umno atau gerakan belia atau GPMS memanggil penceramah-penceramah kita?

Pada hemat saya, pintu fitnah lebih baik ditutup awal-awal sebelum melukai hati sahabat serta rakan sejamaah.

Apa-apapun, mudah-mudahan hatinya tidak terbuka untuk menyertai parti syaitan dikenali itu.

Kita mendoakan yang baik-baik sahaja!


Lagi artis sokong PR


Seorang demi seorang penghibur tanah air tampil secara terang-terangan menyokong perjuangan Pakatan Rakyat.

Terbaru, pelakon terkenal iaitu hero filem Melayu sekitar tahun 1990-an, Mustapha Kamal Mohd Daud telah berada di pentas ceramah PKR.

Pelakon kelahiran Kota Bharu, Kelantan pada 1962 itu, telah muncul dalam Program Anak-anak Kelantan di Taman Dagang (Pandan) Santai bersama Rafizi Ramli.

Program yang diadakan pada jam 9 malam, 18 Disember 2012 di Restoran Number One, Taman Dagang itu telah dihadiri oleh pelakon terkenal tanahair itu bersama rakan-rakannya.

Dalam program berkenaan, Mustapha turut diberi peluang menyampaikan sepatah dua kata kepada anak-anak Kelantan yang bermastautin di Pandan supaya meninggalkan perjuangan Umno yang sia-sia.

Pelakon yang dipercayai memiliki anatar paling ramai peminat itu, sebelum ini, pernah hadir pada program pelancaran ‘Anak Seni Pemuda PAS Pusat’ di Kuala Lumpur sebelum.

Bekas pemenang anugerah pelakon terbaik ini, kini masih aktif berlakin drama televisyen.

Antara filem lakonannya ialah:
Dendang Remaja 1988
Adik 1990
Mira Edora 1991
Pening-pening Lalat 1991
Sahabat 1992
Rimba Panas 1992
Cikgu Romantik 1993
Sembilu - (Pelakon Pembantu) 1993
Sembilu 2 - (Pelakon Pembantu) 1994
Senario Lagi - (Pelakon Pembantu) 1995
Syurga Cinta Syukur 21 2000
Kayangan - (Pelakon Pembantu) 2000
KAMI The Movie 2008
2 Hati 1 Jiwa - (Pelakon Utama) 2009
Hooperz - (Pelakon Pembantu) 2010
3,2,1 CINTA - (Pelakon Pembantu) 2010
Bujang Terlajak - (Pelakon Pembantu) 2011
3 Temujanji - (Pelakon Pembantu) 2012


Friday, December 14, 2012

Inilah mentaliti MB Pahang

Politik bodoh seorang menteri besar menjadi mentaliti semua pemimpin Umno. Tolong rakyat hancurkan negara. Sedangkan rasuah, salah guna kuasa serta pembaziran dianggap tuntutan kemajuan. Hakikatnya negara dan negeri Pahang sedang menuju kehancuran selepas 55 tahun Umno diberi mandat. PRU 12 bila kita tawarkan air percuma kepada rakyat Selangor, Umno kata hancur negeri. Komen ini melambangkan kebimbangan Adnan, rakyat akan tertarik untuk buat perubahan sekal gus Adnan akan kalah dalam pertaruhan yang melibatkan telinganya.

Tidak ada mana-mana negara yang menolong rakyatnya menuju kehancuran. Tetapi terlalu banyak negara yang hancur akibat keangkuhan penguasa yang terus selesa dengan rasuah dan salah guna kuasa.

- Suhaimi Saad
Ketua Penerangan PAS Pahang



Wednesday, December 12, 2012

Kadir sertai PAS bulan depan

Bekas menteri yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Dato' Seri Panglima Abdul Kadir Syeikh Fadzir, yang mengisytiharkan keluar Umno pada 19 Mac 2012, dijangka akan menyertai PAS bulan depan.

Menurut sumber, beliau dijangka mengumumkan kemasukannya itu dalam satu himpunan besar Januari ini di ibu negara.

Lulusan undang-undang anak kelahiran Kulim, Kedah itu merupakan anggota kabinet kerajaan Malaysia selama 30 tahun dan 26 tahun berada dalam MT Umno.

Menurut catatan, Kadir bin Sheikh Fadzir yang lahir pada 4 Jun 1939, terlibat dalam Umno sejak 1969 lagi. Jawatan terakhir dalam kabinet ialah Menteri Penerangan (2004 - 2006) di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menang bertanding kawasan parlimen P18 Kulim-Bandar Baharu, Kedah sejak Pilihan raya 1978, 1982, 1986, 1999, 2004 dan tidak bertanding pada 2008.

Selepas tidak tahan melihat rasuah dan penyelewengan oleh pimpinan Umno, Kadir menubuhkan Angkatan Amanah Merdeka (Amanah). Amanah dilancarkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 22 Julai 2011.

Kadir keluar daripada Umno setelah bergelumang dengan parti itu selama 56 tahun.

Seorang lagi bekas pemimpin Umno yang dijangka menyertai PR ialah Dato’ Tamrin Ghafar Baba.

Penghijrahan bekas Umno ke dalam PAS kini dianggap sabagai ternd baru. Sebelum ini bekas CEO Media Prima Dato' Seri Abdul Rahman Maidin telah menyertai PAS.

Kelmarin, Kadir hadir berceramah dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang di Kerdau. Beliau mendedahkan kebobrokan dalam Umno terutama di bawah era Najib. Yang katanya, di zaman beliau empat tahun menjadi PM sahaja, sudah RM300 bilion jumlah hutang. Ini menjadikan hutang negara sudah menjangkau lebih setengah trilion ringgit.

Indeks rasuah negara juga buat pertama kali mencecah hingga ke tangga lebih 50.




Monday, December 10, 2012

Seorang lagi artis naik ke pentas dakwah

Pelakon dan pengarah muda terkenal, Pierre Andre, menjejaki teman artis yang lain naik ke pentas dakwah.

Beliau baru-baru ini muncul dalam Anugerah Skrin 2012 dan memenangi Anugerah Yasmin Ahmad. Anak kepada pelakon wanita, Katijah Tan itu, muncul dengan perwatakan dan peribadi yang sudah berubah ke arah kebaikan juga membuka mata ramai pihak.

Ucapannya di atas kemenangan itu juga merangkumi kata-kata dia teramat bersyukur dengan nikmat yang Allah S.W.T berikan kepada dirinya.

Pierre yang mengakui semakin mencuba untuk mendalami ilmu agama dan mendekatkan diri kepada Tuhan mengatakan kehidupan di dunia perlulah seimbang dengan kehidupan di akhirat kelak.

Oleh itu, anak muda itu mempunyai niat untuk berdakwah melalui hiburan dan berharap cara itu dapat menyampaikan mesej tentang agama Islam dengan jelas lagi.

Beliau yang juga terkenal dalam lakonan drama-drama Melayu, mengakui menurut jejak rakan-rakan seperti Bob Lokman, Abby Abadi, Dayangku Intan, Haire Othman dan lain-lain yang kini berpidato di pentas dakwah.

“Bila orang mencari agama mereka akan mula menolak dunia. Saya fikir pada mulanya saya begitu tapi sebenarnya kita ada keperluan lain di dalam dunia ini jadi kita harus seimbangkannya.

“Inilah sebab kenapa saya datang hari anugerah ini, bukan sebab saya menang tapi sebab apa yang ingin saya katakan tadi kerana ‘kita sudah jauh’. Dan Alhamdulillah Allah permudahkan urusan saya dan dapat saya sampaikan di atas pentas,” kata Pierre yang dipetik dari laporan Buahmulut.com.

Hilang seketika dari dunia seni seolah-olah menunjukkan Pierre merajuk untuk terus berkarya sebagai pengarah filem Malaysia.

Selain itu, Pierre sendiri juga menyatakan dia pernah hilang keyakinan untuk meneruskan usaha menjadi seorang pengarah yang tersohor.

Namun, selepas menerima anugerah itu, Pierre semakin bersemangat untuk terus berdiri dalam industri seni Malaysia dan tidak mahu hilang keyakinan sekali lagi.

“Apabila saya diberitahu memenangi Anugerah Yasmin Ahmad saya sangat terkejut dan saya rasa itu merupakan satu pentunjuk yang mengatakan saya patut berada di dalam bidang ini lagi.

“Sebab ada satu ketika saya hampir hilang keyakinan sebagai seorang pengarah dan anak seni, tapi ada benda lain yang buat saya kemballi ke bidang ini dan hari ini anugerah pertama yang saya terima setelah hampir 10 tahun berada dalam kitaran bidang ini dan ianya memberi saya lebih motivasi,” katanya.

Tengku Azlan keluar Umno

Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kerdau semalam, menerima kejutan apabila Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Ahli Parlimen Jerantut YM Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar meninggalkan Umno hari ini.

Pengumuman tersebut diambil berdasarkan laporan oleh akhbar Tamil ... MAKKAL OSAI.

Ketua Umno Bahagian Jerantut itu ialah adinda kepada Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah.

Beliau sebelum ini merupakan seorang imbalan menteri semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi menolak jawatan yang sama semasa Najib menjadi Perdana Menteri. Tahun lalu beliau mengumumkan tidak akan bertanding lagi di Parlimen Jerantut.

Tengku Azlan ialah bekas Ketua Perhubungan Parti Semangat 46, pernah bertanding pilihan raya di Temerloh dan dikatakan masih rapat dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Pada PRU yang lalu beliau menang tipis iaitu 1,000 undi lebih mengalahkan calon PAS DR Hamzah Jaafar.

Friday, December 7, 2012

Umno bantah tambahan bajet untuk Islam P.Pinang

Kenyataan Terbuka
7 Disember 2012

Pertikai Peruntukkan Islam P.Pinang Meningkat 300%: Umno Perguna Parti Gerakan?

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pulau Pinang mengutuk pandangan serong pemimpin Gerakan yang juga Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang mempertikai langkah kerajaan PR menaikkan peruntukkan Hal Ehwal Islam P.Pinang sebanyak 300%. SAMM juga melihat ada muslihat di sebalik kenyataan Teng Chang.

Sekiranya kerajaan campuran BN yang diketuai Gerakan suatu ketika dulu tidak mengendahkan peruntukkan hal ehwal Islam kerana tidak mendapat nasihat dari Umno, maka tiada sebab untuk Teng Chang cemburu dan iri hati terhadap kepedulian kerajaan PR pilihan rakyat hari ini yang banyak mengambil berat terhadap pembangunan dan perkembangan Islam di Pulau Pinang.

SAMM P.Pinang berpendapat bahawa Umno sememangnya tidak boleh diharap untuk menjaga perihal Islam tidak kira di Pulau Pinang atau di mana jua. Umno bukan sahaja gagal memimpin dan mendidik parti komponan bersama dalam Barisan Nasional tentang Islam malah Umno tidak berbunyi sepatah haram untuk pertahan Islam apabila hukum menutup aurat dipersenda oleh Tan Keng Liang, juga dari Gerakan tidak lama dulu. Hari ini pula, sekali lagi Umno diam membisu apabila Gerakan pertikai peruntukkan untuk hal ehwal Islam di P.Pinang yang meningkat jauh lebih besar dari negeri yang dipimpin Umno. Apakah Umno tidak lagi peduli tentang Islam? Apakah ada komplot antara Umno dan Gerakan?

Ternyata parti Gerakan yang retak menanti belah ini seolah-olah telah dipergunakan oleh Umno bagi mencetus suasana tegang antara kaum dan agama. Taktik serampang dua mata ini mungkin digunakan Umno dengan harapan parti Gerakan kembali disokong oleh kaum bukan melayu dan dalam masa yang sama, Umno menadah tangan menanti sokongan sekiranya pergaduhan antara kaum atau agama benar-benar berlaku. Itu adalah kelebihan parti berasaskan kaum atau parti perkauman seperti Umno.

Justeru itu, SAMM P.Pinang memberi amaran kepada Umno supaya tidak cuba untuk bermain api dengan menjadikan parti Gerakan sebagai pemetiknya. Sentimen perkauman dan ketegangan agama harus dihindar khususnya di Pulau Pinang. Rakyat negeri P.Pinang juga harus sedar perencanaan jahat yang disusun ini setelah Umno dan Gerakan menemui jalan buntu untuk merampas semula P.Pinang secara demokrasi.

Akhir sekali SAMM P.Pinang percaya kenyataan Teng Chang Yeow tidak akan berlegar di dada akhbar dan media perdana kerana ia pasti akan menyebabkan Barisan Nasional kehilangan lebih banyak sokongan dari masyarakat Islam seluruh negara. Namun begitu, SAMM P.Pinang lebih percaya kenyataan Teng Chang tetap akan menjadi pedoman kepada orang ramai melalui media alternatif dan kerja jahat berbentuk hasutan ini tetap akan mendapat penilaian umum.

Sekian,

Aidil Ibrahim
Penyelaras SAMM P.Pinang

Thursday, December 6, 2012

Inilah punca 'ceramah berdarah' di Gombak!



Satu lagi institusi Melayu akan lingkup

KPF BAKAL LINGKUP?

Oleh MAZLAN ALIMAN

Isa Samad semakin terdesak. Saham FGVH berada dalam keadaan yang tidak stabil.
PRU 13 makin dekat. Peneroka Felda marah kena bayar pinjaman
saham FGVH. Kakitangan Felda yang buat loan puluh ribu lagi marah. Tanggung rugi dan kena bayar pinjaman kpd Bank tiap bulan. harga sawit jatuh teruk, penoreh getah pun merungut juga.

Tiada pilihan lain, KPF mesti diambilalih sebelum pilihanraya. Harapnya, jika FGVH kuasai KPF, harga saham FGVH akan naik semula. Pengundi Felda akan kekal setia bersama BN.

Konspirasi tertinggi dengan restu PM dimulakan. Ismail Sabri Yaakob, Menteri yang jaga Koperasi hantar sms kpd Datuk Hj Md Yusof Samsudin, Pengerusi Eksekutif SKM; agar keluar surat kepada KPF, Mesyuarat Agung Perwakilan KPF pada 20 Jun 2012 lalu tidak sah.

Alasannya, Mesyuarat Agung 20 Jun ada pertikaian oleh perwakilan mengenai isu laporan kewangan. Alasan tidak masuk aqal, semata2 atas kehendak Ismail Sabri dan Isa Samad. SKM keluarkan surat kepada Pengerusi dan ALP KPF bertarikh 4 Dis, perintah mengadakan semula Mesyuarat Agung KPF pada 27 Dis 2012.

Mesyuarat Agung akan dikendalikan sepenuhnya oleh SKM. Lobi dan sogokkan melalui Pengurus Felda kepada Perwakilan telah mula dilakukan agar menurunkan tandatangan untuk suatu memorandum yang dihantar kpd SKM agar Isa Samad menerajui KPF.

Sebaik Isa Samad terajui KPF, perancangan melalui cadangan FGVH yang juga diketuai Isa Samad; ekuiti KPF dlm Felda Holdings dikurangkan 22% dan diambilalih oleh Felda. KPF yang menguasai 51% kepentingan dlm Felda Holdings, hanya tinggal 29% sahaja. Felda akan pindahkan syer 22% kpd FGVH. ini berarti FGVH menjadi majoriti shareholder dan bukan lagi KPF.

Sebagai balasan, KPF ditawarkan pegangan saham 10%, itupun melalui pegangan Felda Asset Holding yang juga diterajui Isa Samad!

KPF bakal hilang kuasa atas Felda Holding. Perkembangan pelaburan dan perancangan KPF akan terencat. Semua ditentukan oleh Isa Samad dari A sampai Z. 1.6 juta warga Felda hanya jadi penonton apa pun yang dibuat oleh Isa Samad dan kuncu2nya.

Kesan terbesar, operasi KPF akan menguncup. Dividen tinggi antara 12-15% tidak akan dirasai lagi. Teramat buruk, kemasukan KPF dalam FGVH jika gagal menaikkan saham FGVH; membawa isyarat KPF akan lingkup bersama2 FGVH!

Saya ditaklimatkan senario ini oleh pegawai2 kanan Felda dan beberapa orang ALP KPF sendiri. Mereka sudah mengadu kepada pemimpin Umno termasuk waktu Perhimpunan Agung Umno yang baru lalu.

Tidak ada pemimpin dan perwakilan Umno yang berani bersuara. Semuanya nak jaga periuk nasi. Bahkan ada pemimpin Umno sendiri cadangkan agar isu KPF ini diajukan kepada saya!

Belum reda isu jual minyak sawit Felda kepada Syarikat Yahudi, datang pula isu KPF.

Gegak gempita PWTC, menjerit jerit; hidup melayu, hidup melayu.....institusi orang melayu, Felda; sedang ditalqinkan oleh pemimpin Umno sendiri!


Tuesday, December 4, 2012

"Gunting telinga Nan"

Tuan Ibrahim menunjukkan lambang ‘gunting’ sebagai respons kepada cabaran Menteri Besar Pahang Dato' Sri Adnan Yaakob yang sanggup dipotong telinga jika DAP menang di Bentong.

Bagaimanapun 'tawaran' Adnan itu dianggap sebagai satu cabaran oleh Pakatan Rakyat, kata Tuan Ibrahim dalam sidang media tengahari tadi di pejabat PAS Pahang, Temerloh.

PR mensasarkan kehadiran 40,000 rakyat dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP) pada 9 Disember ini di Kerdau.

Katanya, komitmen ini penting bagi merealisasikan perubahan rakyat di negeri ini ke arah pemerintahan yang lebih baik dan membela rakyat.

Turut hadir Ketua PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Tengku Puji serta pimpinan negeri ketiga-tiga parti.

Umno tipu sentimen ahlinya

Anak Kecil Main Api: Silap Mata dan Silat Lidah Terhebat

Bukan main hiba wakil Kelab UMNO Luar Negara sewaktu Perhimpunan Agung UMNO tempohari sewaktu menyanyikan lagu "Anak Kecil Main Api". Bercucuranlah air mata perwakilan kononnya jika UMNO tewas dalam Pilihanraya Umum ke 13 nanti maka, hilanglah Melayu, merempatlah Melayu di bumi bertuah ini.

"Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang"

Inilah dia silap mata dan silat lidah terhebat abad ini. Terus menerus berlagak angkuh seolah bangsa Melayu ini dungu semuanya. Saya dengan sukacitanya memperingatkan kepada graduan Luar Negara tersebut dan seluruh anak muda Malaysia mengenai beberapa jasa teragung UMNO sepanjang memerintah Tanahair ini.

1. Tahun 1957, sewaktu British memberikan kemerdekaan, mereka telah meninggalkan 3 billion hektar Tanah Rezab Melayu. Tahun 1995, di bawah kepimpinan UMNO yang memperjuangkan bangsa Melayu, Tanah Rezab Melayu menyusut sehingga tinggal lebih kurang 1.7 juts hektar sahaja. Hidup Melayu!!!

2. Tahun 1993 menyaksikan maruah Raja-Raja Melayu direntap Pemerintah dibawah kepimpinan UMNO apabila Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi membolehkan Raja-Raja dibawa ke mahkamah. Banyak lagi jasa UMNO dalam melondehkan maruah dan kredibiliti institusi kesultanan Melayu. Daulat Tuanku!!!

3. Dasar Ekonomi Baru, sebuah dasar yang baik untuk memacu perkembangan ekonomi Melayu dipergunakan oleh UMNO bagi melahirkan beberapa kerat konglomerat UMNOputera yang rapat dengan koridor kuasa sahaja. Di mana taraf ekonomi Melayu ketika ini? Siapa yang mengkhianati Melayu disebalik Dasar Ekonomi Baru? Realitinya, objektif DEB tersasar jauh. Demi Ketuanan Melayu!!!

4. Berapa ramai anak muda Malaysia tiada peluang pekerjaan ketika ini dibawah pemerintahan hebat Najib Razak dan UMNO? Ramai pula yang sekadar bersandar kepada jawatan kontrak yang boleh dipecat pada bila-bila masa. Termasuk juga dalam pelbagai agensi kerajaan, ramai anak muda ditawarkan jawatan kontrak sahaja. Mengapa UMNO sebagai pemerintah pilihan Tuhan dan mendahulukan rakyat tidak melaksanakan satu pelan jangka panjang bagi mengatasi masalah ini termasuklah menetap tempoh masa maksimum pergantungan tenaga kerja asing untuk sesuatu industri itu? Syabas PM!!!

5. Di kotaraya, tahap kemiskinan kota terus memuncak walau cuba dinafi oleh statistik pemerintah. Ramai rakyat yang tidak mampu membeli rumah tetapi ada pemimpin-pemimpin UMNO mampu beli hartanah di United Kingdom atau negara luar. Anak muda yang baru membina keluarga dan tinggal di kotaraya terpaksa menghuni rumah pangsa yang tinggi dan sesak. Hidup UMNO!!!

6. Rakyat terus bergelut mengatasi masalah kenaikan harga barang keperluan. Keluar pagi, balik lewat malam mencari rezeki untuk keluarga. Institusi keluarga menjadi longgar ekoran dari ibu bapa yang terpaksa bekerja keras terutama di kotaraya. Impaknya, membiak keruntuhan moral di kalangan muda mudi negara. Nama Rihanna mengalir deras di mulut anak muda berbanding Nabi Muhammad S.A.W. Muda mudi lebih mengingati lirik lagu Justin Bieber dari lagu Negaraku. Gemilang UMNO!!!

7. UMNO terus bersedia untuk menyedut kantung rakyat melalui pengenalan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST). Rang undang-undang GST tidak pernah ditarik balik tetapi menunggu untuk dibentangkan dan diluluskan sebaik PRU 13 selesai. Segala gula-gula Bajet 2013 akan direnggut dari nurani rakyat. Syukur UMNO!!!

8. UMNO telah mengheret kadar hutang negara melepasi 50% dari kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Warisan pentadbiran Najib Razak buat pewaris masa depan Negara nanti. Terima kasih PM dan UMNO!!!

9. UMNO telah mengheret kredibiliti dan integriti pelbagai agensi perlaksanaan Kerajaan merudum teruk dengan pelbagai skandal korupsi yang melingkari setiap agensi Kerajaan. Duit kopi bukanlah satu fenomena asing. Satu lagi kejayaan UMNO!!!

10. Apakah yang UMNO telah lakukan dalam pengisian dan penghayatan maksud sebenar Islam dalam kehidupan setiap warga Muslim? UMNO terus mendiamkan diri tatkala MCA terus menerus memfitnah Islam. Tidak kedengaran langsung suara-suara lantang dalam Perhimpunan Agung UMNO menegur MCA yang sudah tidak menghormati Muslim. Apakah ini kepimpinan yang kita ingin letakkan impian dan harapan untuk terus memayungi Islam dan Melayu? Syabas UMNO!!!

Ini baru sedikit daripada jutaan jasa UMNO dalam memundurkan pemikiran dan kehidupan Melayu. Pemikiran Melayu terus dicabar dengan idea-idea sempit yang sekadar membuncitkan perut sekelompok pemimpin UMNO baik di peringkat nasional mahupun di peringkat kampung-kampung. Melayu terus diciptakan wajahnya oleh UMNO sebagai sebuah bangsa yang memerlukan tongkat subsidi. Hilang jatidiri sebagai bangsa bermaruah hingga terpaksa melukut di tangga Pejabat Kebajikan Masyarakat dan program BERSAMAMU.

Sudah sampai masanya, bangsa Melayu harus bangkit. Menolak hegemoni UMNO yang tidak pernah memerdekakakan minda. UMNO wajar direhatkan dari terus memegang tampuk pemerintahan negara sekiranya bangsa Melayu ingin mendapatkan kembali kegemilangan maruah Melayu sepertimana zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Cukuplah segala bentuk pengkhianatan, korupsi, salahguna kuasa dan rompakan kekayaan negara yang telah dilakukan UMNO dengan bersembunyi di sebalik slogan Hidup Melayu. UMNO yang ada hari ini telah jauh tersasar dari UMNO tahun 1946. UMNO yang ada hari ni adalah UMNO "lintah darat" yang menghisap kantung rakyat di waktu siang dan malam. Bangkitlah Melayu.

Siapa sebenarnya yang menyebabkan Melayu terhina di bumi bertuah ini? Jawapannya adalah UMNO yang bertanggungjawab mengheret Melayu menjadi begitu lemah ketika ini. TERIMA KASIH UMNO. Jasamu memang banyak dan tidak terbalas. Kerana itu, kami tidak akan mengundi kamu lagi.


Ahmad Anwar Asyraf
Penyelaras SAMM Johor

Friday, November 30, 2012

Netbook tak boleh guna, surat saman pula sampai

TEMERLOH: “Harapkan apabila dapat netbook daripada kerajaan dapatlah membantu pelajaran anak, tetapi rupa-rupanya langsung tidak boleh digunakan kerana ketiadaan internet.

“Sudahlah begitu, kini sampai pula surat saman minta dijelaskan walhal netbook itu tidak pernah digunakan,” demikian keluh seorang pesara kerajaan ketika mengadu di pejabat PAS Pahang di sini hari ini.

Rameli Kassim, 57, berkata pada April tahun lalu anaknya Raida Syahiza menerima netbook percuma melalui Sekolah Menengah Dato Bahaman Lanchang, tetapi tidak boleh digunakan kerana kawasan internet percuma hanya berada 60 kilometer dari rumahnya di Taman Bunga Raya.

Menurutnya, kira-kira sebulan selepas anaknya menerima netbook, telah sampai bil menuntut bayaran caj internet sebanyak RM25 (sebulan) sedangkan ia tidak pernah digunakan.

“Saya kemudian pergi ke pejabat TM di Mentakab mengadu hal berkenaan dan minta ditamatkan perkhidmatan kerana tidak pernah sekalipun menggunakan internet,” jelasnya.

Tambahnya, bil tuntutan tetap sampai setiap bulan sehinggalah beliau menerima notis tuntutan daripada peguam TM yang meminta dijelaskan tunggakan sebanyak RM302.05 dalam masa tujuh hari.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, yang beliau kesalkan ialah tidak ada pihak sekolah ataupun TM sendiri yang menerangkan kepadanya tentang pakej atau syarat tertentu semasa menerima netbook itu dulu.

Tegasnya lagi, beliau sudah mengadu kepada unit aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tetapi tiada sebarang respons.

“Apa yang saya harapkan ialah keadilan kepada saya. Wang RM300 itu mungkin dianggap kecil oleh sesetengah orang, tetapi dalam keadaan kos hidup yang melambung tinggi ini tentulah tidak patut untuk saya bayar apa yang saya tidak pernah guna,” tegasnya.



Rameli menunjukkan surat tuntutan tunggakan bil internet yang tidak pernah beliau gunakan


Thursday, November 29, 2012

Ibu mufti Pahang kembali ke rahmatullah

Ibu mufti Pahang Dato' Abdul Rahman Othman, kembali ke rahmatullah seawal jam dua pagi semalam (Rabu) di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Dikenali sebagai "Makcik Minah" di kalangan penduduk kampungnya Lebak, Temerloh meninggal dunia dipercayai sakit tua. Beliau sempat dimasukkan ke hospital berkenaan dikatakan berkaitan sesak nafas.

Beliau sebelum itu tinggal di rumah mufti dan seorang lagi anaknya Ustaz Sarafuddin Aisa, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam Pahang, yang tinggal bersebelahan di Sungai Isap Damai, Kuantan.

Seorang lagi anaknya tinggal di sebelah kediamannya di Lebak iaitu Madani.

Makcik Minah juga ialah balu kepada bekas Tuan Kadhi Daerah Temerloh Tuan Haji Othman.

Arwah mempunyai pertalian keluarga dengan isteri saya.

Kali terakhir keluarga kami bertemu Allahyarhamah ialah ketika menziarahinya pada hari raya pertama Eidilfitri tahun ini.

Jenazah dimandikan di masjid Lebak dan siap disemadikan tanah perkuburan kampung berkenaan sekitar jam dua petang.

Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan bersama-sama para solehin.... amin.


Ugutan Shahrizat standard JKKK

Kenyataan Terbuka
29 November 2012

Ucapan emosi Shahrizat penuh perang saraf bertaraf JKKK Umno

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Segmentasi Wanita Muda berasa terkejut dengan ucapan ketua wanita Umno yang merupakan bekas menteri wanita yang terlepas jawatan kerana kes skandal RM250j melibatkan keluarganya.

Wanita Muda SAMM menegaskan ucapan tersebut penuh pembohongan, propaganda jahat yang mencetus sentimen perkauman dan juga memperbodohkan pendengar. Ini mendedahkan hakikat sebenar cara pemikiran pemimpin Umno dulu, kini dan selamanya.

Antara pembohongan Sharizat ialah kononnya kuasa politik melayu ibarat telur hujung tanduk selepas PRU-12 tahun 2008, kononnya kuasa atau suara melayu dalam Parlimen Malaysia mengecil. Sama ada sharizat berbohong atau dibohong oleh penulis ucapanya, nyata ia bercanggah dengan kedudukan sebenar.

Untuk pengetahuan Sharizat, tahun 2004 ketika BN dan Umno kuat hingga meraih kemenangan terbesar dalam sejarah PRU negara, jumlah ahli parlimen Melayu ialah 123 orang manakala pasca PRU 2008 ketika Umno Bn lemah menyaksikan jumlah ahli parlimen Melayu meningkat kepada 130 orang. Jumlah MP melayu ini meningkat kerana Pakatan Rakyat telah meletakkan lebih banyak calon melayu. Calon melayu PR juga diakui dan diterima baik oleh pengundi bukan melayu.

Satu fakta lagi, kerusi MP Melayu berkurangan apabila Pilihanraya kecil Hulu Selangor berlaku selepas kematian Datuk Zainal (PKR) merekodkan calon MIC BN menang hasil bantuan Umno yang bersungguh-sungguh menewaskan calon melayu PKR.

Maka apa yang disebut Sharizat itu ternyata meleset. Tiada masalah komposisi kaum dari kalangan PR walaupun melayu dominasi, PR tetap mendapat sokongan bukan melayu dan kuasa melayu terpelihara. Apa yang lebih diutamakan ialah ketelusan dan kecekapan dalam pentadbiran, tidak rasuah, dan rakyat diutamakan dalam erti kata sebenar, bukan retorik.

Wanita Muda SAMM tidak menafikan Melayu banyak tercicir dan hilang hak seperti bahasa Melayu yang diminimakan dan Tanah Rizab Melayu yang menyusut banyak. Siapakah yang menjadi dalang penyusutan kuasa melayu yang sebenar dari aspek penguasaan hartanah?

Contohnya, kehilangan besar tanah rezab melayu yang tidak berganti di Johor dan Negeri Sembilan. Tanah Rezab Melayu di bawah kuasa kerajaan negeri, jadi apakah kedua-dua negeri yang paling banyak kehilangan Tanah Rezab Melayu itu dikuasai oleh Pakatan Rakyat? dikuasai DAP atau PAS? Atau Umno yang gadai tanah dan bangsa melayu!

Sudahlah Sharizat, anda sememangnya pemimpin yang 'contaminated' tetapi agak malang bagi Umno kerana masih mengangkat pemimpin sebegini. Ini mungkin bermakna Umno sudah teruk tahap tercemarnya.

Perhimpunan Umno saban tahun tidak lagi dianggap suara keramat, tetapi hanya menjadi bahan tertawa rakyat yang sudah jelak dengan retorika eksotik Umno.

Young Syefura Othman
Penyelaras
Wanita Muda SAMM

Wednesday, November 28, 2012

Penduduk tagih jambatan janji PRU

BERA: Lebih 5,000 penduduk dari enam perkampungan Melayu sepanjang Sungai Pahang di sini, menagih janji setiap kali pilihan raya umum (PRU) membina segera sebuah jambatan bagi mengurangkan jarak perhubungan untuk pelbagai urusan.

Penduduk-penduduk kampung Guai, Tok Biah, Jelam Seberang, Selindang, Charok Puting dan Batu Bor mendakwa dengan ketiadaan jambatan menyebabkan kampung mereka yang dipisahkan oleh Sungai Pahang, menyukarkan untuk ke bandar Bera bagi urusan rasmi.

Menurut mereka, tanpa perhubungan tersebut juga menyulitkan aktiviti seharian seperti mengeluarkan hasil pertanian, persekolahan anak-anak, urusan ke pejabat tanah dan daerah serta hal-hal kekeluargaan yang berada di kiri kanan Sungai Pahang.

Kekesalan penduduk berhubung perkara tersebut disuarakan menerusi memorandum yang diserahkan penduduk kepada Konvoi Cakna Rakyat diketuai Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun Guai, Musaniff Abdul Rahman, berkata dengan ketiadaan jambatan penduduk terpaksa keluar ke bandar Bera melalui Temerloh atau Maran yang jaraknya lebih lima kali ganda berbanding sekiranya terdapat jambatan yang menghubungkan kampung-kampung berkenaan ke destinasi.

Menurutnya, bukan sahaja menghadapi kerumitan untuk berurusan ke pusat pentadbiran daerah Bera kerana jarak yang jauh, penduduk yang mempunyai kebun di kampung berkenaan sebagai sumber ekonomi juga berdepan masalah.

“Bayangkan mereka terpaksa menanggung kos pengangkutan dan input bahan pertanian termasuk kos buruh yang mahal kerana jarak jauh.

“Malah, keadaan ini turut dirasai ibu bapa dari seberang sana yang menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah Agama Al-Ittifqiah di kampung Guai, yang merupakan satu-satunya sekolah menengah agama di sini. Begitu juga penduduk seberang sini yang mahu menghantar anak ke sekolah menengah kebangsaan di seberang sana,” katanya.

Musaniff berkata, jika jambatan dibina pasti memudahkan perhubungan penduduk yang tinggal di kedua-dua belah tebing Sungai Pahang itu sekali gus mampu meningkatkan ekonomi penduduk dan pendapatan majlis daerah.

Tambahnya, bukan sahaja penduduk Bera malah pengguna jalan raya dari Pantai Timur juga boleh menggunakannya untuk memendekkan jarak perjalanan ke selatan tanah air dan Singapura.

Labur projek lain boleh, kenapa jambatan tak boleh?

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan, Sulaiman Mohamad pula berkata, keadaan itu sebenarnya merugikan pendapatan daerah kerana hasil ekonomi dari tiga kampung terbabit disalurkan ke Temerloh atau Maran kerana kedudukannya yang lebih dekat.

Katanya, selama lebih 55 tahun atau sejak zaman dahulu penduduk terpisah, tiada jalan penyelesaian diadakan sedangkan pemimpin parti kerajaan berkempen untuk membina jambatan setiap kali PRU.

“Jika dulu, mungkin tidak menimbulkan masalah kerana masing-masing menggunakan bot sendiri untuk menyeberang. Tetapi sekarang, bukan semua orang ada bot atau perahu melainkan mereka yang mencari rezeki di sungai itu.

“Jadi sudah tiba masanya penduduk di enam kampung dan seberangnya mendapat perhatian terutamanya dari aspek kebajikan dan kemudahan infrastruktur. Apa lagi Ahli Parlimen Bera sekarang (Datuk Seri Ismail Sabri) merupakan seorang menteri,” tegasnya.

Menurutnya, Bera adalah satu-satunya daerah di negeri ini yang masih belum mempunyai jambatan merentangi Sungai Pahang bagi menghubungkan warganya daerah ini sendiri.

“Kalau projek lain kerajaan boleh melabur atau menyediakan berjuta-juta ringgit, kenapa tidak untuk pembinaan jambatan ini?

“Saya percaya kosnya tidak mungkin mencecah RM10 juta sedangkan manfaatnya tidak mustahil boleh digunakan berjuta-juta rakyat sebagai laluan berulang alik,” katanya.

Pada penghujung program berkenaan, wakil penduduk Ahmad Chik, menyerahkan memorandum kepada Tuan Ibrahim dengan harapan agar PAS Pahang dapat memanjangkan memorandum berkenaan kepada pihak berkuasa.


GAMBAR

1.Ahmad Chik menyerahkan memorandum penduduk kepada Tuan Ibrahim, turut kelihatan Musaniff dan Sulaiman

2.Penduduk bergambar bersama Tuan Ibrahim, di hadapan jeti yang digunakan penduduk setiap hari.



Tuesday, November 27, 2012

Cadangan ekstrim tangani longlai skuad bola kebangsaan

Kenyataan Terbuka
26 November 2012

Jika Skuad Kebangsaan Gagal ke Separuh Akhir, Presiden FAM dan Timbalan Wajar Undur

Atas rasa tanggungjawab sebagai penggerak dan pelopor anak muda tanahair, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merasakan sudah tiba masanya keputusan drastik harus dibuat bagi menyelamatkan bolasepak negara dari terus merundum.

Bolasepak merupakan sukan nombor satu negara, sukan yang paling diminati dari puluhan jenis sukan popular. Mustahil rakyat Malaysia tidak nampak apakah kelemahan dan kekurangan sebenar dan mustahil rakyat tidak tahu apakah faktor yang menyebabkan bolasepak negara tidak bermaya. Benarkah negara ini ketandusan bakat pemain sehingga gagal menyerlah dalam peringkat antarabangsa?

Percayalah bahawa negara ini tidak ketandusan pemain berbakat dan tidak juga ketandusan kepimpinan yang sebenarnya mampu membawa bolasepak negara ke tahap yang lebih baik. Cuma badan sukan bolasepak negara gagal menjalankan tanggungjawab tetapi tidak pula mengambil tanggungjawab dalam setiap kegagalan tersebut.

Puluhan tahun masa telah diberi, ratusan juta malah bilion ringgit telah dihabiskan, namun prestasi pemain kebangsaan bukan sahaja berada di takuk lama malah kini lebih jauh ketinggalan. Harus diingat, duit yang digunakan untuk pembangunan bolasepak itu adalah duit rakyat maka hasrat rakyat terbanyak harus diambil kira.

Sebagai sukan nombor satu di Malaysia, pastinya majoriti peminat mahukan prestasi terbaik mengikut kadar peruntukkan yang telah dilaburkan. Jika prestasi merosot pasti menimbulkan khuatir di kalangan peminat kerana telah banyak kali peluang telah diberikan untuk pasukan kebangsaan bangkit semula.

Bukan kali pertama bolasepak negara dilihat jatuh merundum, ia telah berlaku banyak kali termasuklah kemuncaknya pada tahun 2007 apabila Malaysia dibelasah teruk dalam ketiga-tiga perlawanan Piala Asia 2007. Malaysia tewas 0-5 kepada China, 0-5 kepada Uzbezkistan dan 0-2 kepada Iran walaupun ketika itu Malaysia sebagai tuan rumah bersama. Siri kekalahan memalukan itu berakhir dengan perletakkan jawatan Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah pada akhir Julai 2007. Ia juga kemuncak kedudukan tercorot pada awal 2008 apabila Malaysia menduduki tangga ke 170 dunia.

Perletakkan jawatan Tengku Abdullah merupakan satu keputusan yang tepat kerana bolasepak negara selepas itu kembali bersinar apabila bukan sahaja berjaya memperolehi pingat emas bolasepak sukan SEA kali pertama selepas dua dekad, malah pasukan Harimau Malaya turut berjaya menjuarai piala AFF edisi 2010 buat kali pertama dalam sejarah. Bolasepak negara kembali rancak, penyokong kembali memenuhi stadium dan Harimau Malaya kembali digeruni.

Namun sinar kebangkitan bolasepak tanahair dilihat tidak bertahan lama, tidak terus bangkit sepertimana yang diharapkan. Bolasepak negara hari ini disaksikan semakin tidak bermaya dengan permainan yang longgar tidak menunjukkan kegarangan.

Dalam beberapa perlawanan persahabatan kita tewas ditangan pasukan Vietnam dan Thailand. Pasukan malaysia juga hanya mampu seri dengan Hongkong, hampir tewas ditangan pasukan Filipina yang pernah kita tumbangkan dengan jaringan super besar 15-1. Baru-baru ini juga Kita gagal melepasi pasukan bolasepak Bangladesh sedangkan Thailand membelasah pasukan yang sama dengan jaringan lima gol tidak berbalas. Di manakah tahap sebenar permainan kita hari ini?

Semalam, Harimau Malaya bagaikan patah kaki apabila dibelasah tiga gol tidak berbalas oleh pasukan Singapura. Ini satu petunjuk jelas, bolasepak negara sekali lagi dalam bahaya. Persoalannya sampai bila? Wang berjuta diperuntukkan bukan untuk dihabis dengan hasil sebegini rupa?

Apakah yang sebenarnya perlu dilakukan? Presiden dan Timbalan Presiden FAM harus berundur?

Walaubagaimanapun, SAMM tetap optimis untuk melihat kejuaraan Piala AFF Suzuki dipertahankan oleh pasukan kebangsaan. Malaysia masih mempunyai peluang yang baik untuk mara ke separuh akhir setelah dibantu keputusan seri di antara Indonesia dan Laos. Terlebih dahulu Malaysia perlu membenam Laos sebelum membenam Indonesia dalam baki perlawanan kumpulan. Keputusan seri tidak banyak membantu dan jika kalah, maka ucapan selamat tinggal Piala AFF boleh dilafazkan.

Kita anak muda harus bersikap adil dalam perkara ini, peluang terakhir harus diberi sebelum sebarang keputusan drastik didesak. SAMM tetap menyokong pasukan kebangsaan sedia ada hingga ke wisel penamat dan menggesa orang ramai turun ke Bukit Jalil memberi sokongan mengambil kesempatan sebagai tuan rumah kejohanan. Sekurang-kurangnya peringkat separuh akhir kejohanan harus dijejak dan kejuaraan Piala AFF harus dipertahankan.

Namun sekiranya pasukan negara gagal melangkah ke peringkat separuh akhir, ia suatu perkara yang sukar diterima. Maka dengan keputusan seperti ini SAMM merafak sembah memohon supaya YM Presiden dan juga Timbalan Presiden FAM, memberi pertimbangan untuk melepaskan jawatan masing-masing, demi bolasepak negara.

SAMM juga mencadangkan Tan Sri Annuar Musa dilepaskan dari hukuman gantung FAM yang dikenakan ke atas beliau, dan Anwar Musa juga merupakan susuk paling berkaliber untuk dilantik sebagai Presiden FAM berdasarkan prestasi beliau dalam pengurusan dan pembangunan bolasepak peringkat negeri dan kebangsaan.

Inilah menifestasi anak muda yang ingin melihat bolasepak negara diselamatkan selain mengekang pembaziran melampau duit rakyat ke atas sukan bolasepak jika hasilnya tidak berbaloi.

Edy Noor Reduan
Solidariti Anak Muda Malaysia

Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang 9 Disember

TEMERLOH: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pahang akan diadakan pada 9 Disember ini di Dataran Rakyat, Kerdau dengan tema “Ubah Sekarang Selamatkan Pahang”.

Menurut Pengarah Himpunan Dr Hamzah Jaafar, program disertai oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), STOP LYNAS, BERSIH, HIJAU MALAYSIA, KERABAT dan ROYALTI.

Katanya, program akan bermula pada jam 2 petang dengan acara konvoi bermotorsikal Pemuda Pakatan Rakyat. Kemudian diikuti dengan program santai anak muda yang melibatkan artis, golongan pemuda dan wanita serta kebudayaan Orang Asli.

“Pidato pada sebelah malamnya akan disampaikan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Kebangsaan Tuan Haji Mohammad Sabu.

“Himpunan ini mensasarkan kehadiran seramai 30,000 orang dan himpunan ini bakal mencatatkan sejarah kerana ia akan dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat yang berbilang kaum termasuk orang asal,” katanya dalam sidang media di pejabat PAS Pahang sebentar tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid dan Naib Pengerusi DAP Pahang Koh Boon Heng. Kedua-duanya merupakan timbalan-timbalan pengarah program tersebut.

Himpunan berkenaan merupakan yang keempat selepas diadakan di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan sebelum sampai ke kemuncaknya di Kuala Lumpur pada Januari akan datang.

Dr Hamzah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, di antara objektif diadakan himpunan ini ialah untuk menggembeleng kekuatan rakyat bersama Pakatan Rakyat dalam menentang Kezaliman BN.

“Himpunan ini juga bertujuan untuk menyedarkan rakyat mengenai kepentingan pilihan raya yang adil dan media bebas. Di samping memberikan maklumat sebenar terutama mengenai isu pemberian BRIM dan belanjawan rasuah BN.

“Justeru itu kami menyeru rakyat di segenap peringkat bagi penyertai program penting ini bagi menyatakan sokongan untuk melakukan perubahan dengan mendengar amanat terakhir sebelum pilihan raya daripada pimpinan,” tegasnya.


Tahniah pejalan kaki Lynas



Dalam pada itu Timbalan Ketua MPP Pahang Ahmad Nizam Hamid mewakili Pakatan Pahang merakamkan ucapan tahniah kepada pejalan-pejalan kaki anti Lynas dari Kuantan yang selamat sampai ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur semalam.

“Kami juga menyeru Kerajaan Pahang ambil serius tentang suara hati rakyat yang menolak Lynas. Masih belum terlambat untuk hentikan projek ini. Lagipun Kerajaan Pusat sudah umumkan Pahang akan mendapat royalti petroleum,” katanya.


~ Harakahdaily


Monday, November 26, 2012

Makan durian, main ular di pesta Dun Lanchang

Sambutan hari MTD Lanchang semalam disambut meriah.

Program yang diadakan sejak awal pagi di Darul Ansar, Chempaka tidak putus-putus dikunjungi oleh orang ramai.

Program diisi dengan program motivasi, pesta makan durian dan pertunjukan permainan ular oleh Abu Zarin, pakar yang dijemput dari Kuantan pada sebelah petangnya.

Kanak-kanak merupakan golongan paling gembira walaupun hujan tidak henti-henti, apabila diberi peluang mengusap ular tedong yang paling bisa di Asia Tenggara. Gula-gula turut disediakan.

Orang dewasa pula kelihatan asyik membaham durian dan rambutan.

Pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah perdana. Penceramahnya ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Haji Mohamad Sabu, Ahli Parlimen Baling Datuk Taib Azzamuddin dan Yang Dipertua PAS Temerloh Hj Jusoh Darus.



~ OKU sempat bergambar dengan memeluk ular bersama urusetia program.



Wednesday, November 21, 2012

Anti Lynas bergerak dari Bentong

BENTONG: Kumpulan Hijau Anti Lynas yang berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan untuk ke Dataran Merdeka dan parlimen, hari ini meneruskan perjalanan sejauh kira-kira 12 kilometer lagi dari bandar ini ke Kolam Air Panas, jalan Kuala Lumpur lama.

Ini bermakna hanya tinggal kurang lebih 45 kilometer sahaja lagi dalam masa empat hari, untuk mencapai sasaran.

Rombongan asal 100 orang itu memulakan perjalanan pagi Selasa dari Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, sebelum berhenti dan bermalam di beberapa lokasi iaitu Gambang, Sri Jaya, Maran, Mentakab, Lanchang, Karak dan Bentong.

Jumlah mereka bertambah sehingga 200 ke 400 orang apabila tiba di beberapa perhentian dengan disertai penduduk setempat.

Perjalanan tersebut dianjurkan oleh beberapa buah pertubuhan (NGO) anti Lynas berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan 8 November lalu yang menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) sekali gus memutuskan kilang tersebut dibenarkan beroperasi di Gebeng.

Menurut pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tuck, yang mengetuai kempen berjalan kaki itu berharap, kempen akan berlangsung selama 10 ke 13 hari dengan sasaran jarak perjalanan ditetapkan sekitar 30 kilometer sehari untuk sampai ke Dataran Merdeka pada 25 November ini.

“Kami mendapat sokongan padu sepanjang perjalanan setakat ini termasuk disediakan makan minum, penginapan dan penyokong setempat yang sanggup memberi sokongan moral berjalan sama. Setiap malam dianjurkan ceramah dan forum anti Lynas.

“Pagi esok kami akan meneruskan berjalan kaki ke Karak dan lusa ke Bentong hinggalah sampai ke Dataran Merdeka dan bangunan parlimen untuk menyampaikan bantahan,” katanya.

Semalam mereka disambut di hadapan Masjid Ketari. Turut menyambut Yang Dipertua PAS Bentong Ustaz Hamid bahatim.

Turut menyertai kempen jalan kaki itu ialah NGO anti Rapid Pengerang, anti Sinida Raub, 12 orang Pribumi Sarawak yang membantah projek Hidroelektrik di negeri itu, ahli jawatankuasa Pemandu BERSIH dan wakil dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang.

Dua belas ahli PAS Lanchang turut menyertai rombongan dari Lanchang ke Bentong.

GAMBAR

GAGAH... Peserta jalan kaki anti Lynas sedang berjalan kaki dari Karak ke Lanchang

Disambut meriah oleh penduduk Bentong di hadapan Masjid Ketari

Raja Bob dari PKR Temerloh bertugas mengawal lalu lintas

Ustaz Hamid yang menyambut rombongan anti Lynas, sedang ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen



Monday, November 19, 2012

JJ ketuai taktik kotor PRU?

MENTAKAB: Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan rakyat supaya bersedia dan waspada menghadapi taktik paling kotor oleh Umno dalam ‘ibu segala pilihan raya’ yang akan datang bagi mengekalkan kuasa mereka.


Bercakap dalam majlis petang bersama penduduk di sini petang semalam, Anwar berkata, beliau mendapat maklumat segala taktik jahat dan kotor itu akan didalangi oleh Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.

“Tapi saya sendiri sudah mengingatkan Jamaluddin (JJ) agar jangan melakukan sesuatu di luar batas dalam PRU akan datang,” katanya dalam hujan lebat itu.

JJ yang juga duta negara bertaraf menteri ke Amerika Syarikat, sebelum ini dikaitkan sebagai sahabat karib Najib sejak dahulu dan disebut-sebut bakal MB Pahang jika BN menang pada PRU akan datang.

Anwar dalam rangka lawatan sehari ke Pahang dalam Jelajah rakyat. Pada sebelah paginya beliau bertemu rakyat di Kuantan termasuk di Tasik Paya Bungor, kemudiannya ke Maran dan Jengka 6 sebelum ke Mentakab.


Kira-kira 2,000 orang penyokong Pakatan menunggu Anwar di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab dan ramai yang pulang apabila hujan lebat turun serta angin kencang.

Namun begitu lebih ramai yang tidak berganjak menunggu Anwar sehingga tokoh kebanggaan mereka itu sampai sewaktu hujan lebat dengan bas dua tingkat. Beliau menceritakan sambutan hangat menandakan akan berlaku perubahan sepanjang jelajahnya termasuk di Kota Bharu dan Kemaman sebelum itu.

Turut berceramah Exco Selangor Elizabeth Wong dan ahli parlimen William Leong.

Sementara itu Anwar mendedahkan kejahatan SPR dengan menamakan seorang pengundi yang lahir pada tahun 1982 dan menjadi pengundi berdaftar sehari selepas hari kelahirannya.

Dalam pada itu, pendengar yang berhujan tidak bosan apabila Anwar banyak berseloka dalam ceramahnya. Beliau sempat menyampaikan dua buah lagi sambil diiringi orang ramai.

Belaiu mendendangkan lagu kebiasaannya: “Madu di tangan kananmu PR, racun di tangan kirimu BN. Aku dah tahu, dah tahu mana satu pilihan ku...”

Lagu kedua ialah: “Tanya sama Najib, apa sebab goyang, nanti jawab Najib Sabah dah goncang... tengok dalam air nampak bayang-bayang sekali pandang Sarawak pun hilang...”

Anwar selepas itu tidak melepaskan peluang bersalaman dengan semua yang hadir sebelum bertolak ke Penderas, Kuala Krau dan akhirnya berceramah di Simpang Felda Kepayang, Bera.


Saturday, November 17, 2012

Ayuh, jayakan PAS ganti Umno!

Keputusan PAS memilih tema “Negara Berkebajikan Teras Perpaduan" dalam muktamarnya yang sedang berlangsung, saya rasakan amat tepat sekali menjelang pilihan raya umum (PRU) kian mampir.

Ini disebabkan, kebajikanlah yang menjadi harapan dan sedang ditunggu-tunggu rakyat pada masa kini dan akan datang.

Selama ini, kerajaan BN yang berkuasa tidaklah serius sangat memenuhi kepentingan rakyat kerana yang mereka pentingkan ialah bagaimana mereka boleh kekalkan berkuasa.

Dengan lain-lain perkataan, kebajikan kepada mereka pimpinan Umno BN ialah yang boleh membawa mereka kepada pengekalan kuasa.

Buktinya, terpampang di dada akhbar saban hari pelbagai kesengsaraan rakyat, kegetiran rakyat meneruskan kehidupan dan betapa terpinggirnya anak watan tanah air ini sendiri.

Jadi bagaimana caranya pemimpin Umno menipu rakyat untuk terus berkuasa? Carana ialah dengan membantu secara bertempel-tempel seperti BRIM, TRIM, KRIM, KRIM dan pelbagai 1M lagi yang digunakan untuk kempen-kempen politik. Sedangkan permasalahan rakyat sebenarnya tidak diselesaikan.

Justeru tak salah jika dikatakan, jurang hidup miskin - kaya semakin melebar. Yang miskin di negara ini terus bertambah miskin papa kedana dan yang kaya pula terus mewah, jika diukur daripada kos kehidupan semasa. Sedangkan negara sudah 55 tahun mencapai kemerdekaan. Apa yang mereka buat di atas sana selama ini?

Pengalaman di Pahang, ketika pimpinan PAS turun menjelajah ke kawasan-kawasan melalui program Konvoi Cakna Rakyat, membuktikan terlalu banyak permasalahan rakyat yang tidak diselesaikan , termasuk kemudahan asas.

Di Lipis, ada projek yang dijanjikan pendapatan bulanan rakyat melalui pertanian, tetapi gagal sedangkan wang khazanah rakyat sudah berjuta dilaburkan. Ada rompakan bijih besi sehingga menyusahkan kehidupan seharian rakyat. Ada kelompok rakyat dari warganegara ini yang terpinggir di tanah air sendiri.

Di Jerantut pula, masalah perhubungan jalan yang tak siap-siap daripada mula sentiasa menjadi rungutan penduduk. Wang amanah sudah dicurahkan berjuta-juta kepada kontraktor kroni, masalah perhubungan rakyat tidak pernah selesai.

Di Temerloh, juga diadukan penduduk mereka terpaksa melalui jambatan gantung yang sudah ketinggalan zaman sedangkan mereka hanya berada dua kilometer dari pusat bandar. Di Lanchang, penduduk dianiaya Felda sendiri. Pasar yang sepatutnya dapat menampung keperluan penduduk, dibiarkan terbengkalai dan wang rakyat pun hangus.

Sampai bila rakyat mahu diperbodohkan?

Di Bera, penduduk yang tinggal sejak beratus tahun di pinggir Sungai Pahang, berurusan seberang menyeberang masih kempunan dambakan sebuah jambatan sedangkan projek water front yang banyak membazirkan wang rakyat. Ada yang sudah 20 tahun tidak mendapat wang MPOB yang mereka layak dan ada warga negeri Pahang yang terpaksa berurusan di Negeri Sembilan termasuk anak-anak yang bersalin.

Sebelum ini, penulis sudah dibawa melihat kerakusan kapitalis-kapitalis Umno yang mengaut dan mengukut kekayaan bijih besi di Bukit Ibam.

Berbalik kepada muktamar yang sedang berlangsung, tepatlah kehendak perwakilan mahu tumpukan usaha ke arah pnguasaan ke Putrajaya.

Kaitannya ialah, penguasaan ke Putrajaya sangat penting bagi bagi PAS dan PR bagi memenuhi kebajikan rakyat yang sudah diabaikan Umno BN selama ini.

PAS perlu terus menyerlah untuk menggantikan Umno.

Justeru, pulanglah para perwakilan selepas berakhir muktamar ini dan bekerjalah sesungguhnya untuk memenangkan perjuangan ini. Kita memegang amanah Allah. Kita bertanggungjawab memajukan bumi yang kita pijak dan memakmurkan sekelian isi-isinya!

Friday, November 9, 2012

Renungan menjelang muktamar

Dengan izin Allah, hanya berbaki beberapa hari saja lagi, kita akan bersua dalam muktamar terakhir ini sebelum meletusnya ‘ibu segala pilihan raya’. Kita bertemu dalam suasana mood rakyat sudah berada di landasan mahukan perubahan. Kita juga berhimpun dalam senario pihak kerajaan Umno/BN sendiri sedang teraba-raba mencari tarikh pilihan raya umum (PRU).

‘Tsunami’ politik dirasakan hampir pasti akan berlaku berdasarkan negeri “fixed deposit” BN, Sabah pun sudah mula kehilangan pemimpin yang berbondong-bondong meninggalkan partinya, sehinggakan pemimpin tertinggi BN kelihatan cemas menguruskannya.

Ada yang menganalisis bahawa Pahang akan kekal di bawah Umno/BN walaupun kepimpinan Putrajaya bertukar tangan. Sudah tentu antara alasannya ialah komposisi peratusan Melayu luar bandar yang tinggi, tanah rancangan Felda yang jumlah pengundinya merangkumi 60 % keseluruhan dan Perdana Menteri sendiri datang dari negeri ini.

Namun saya harapkan analogi tersebut disambut sebagai cabaran oleh para pendokong kebenaran kerana Pahang tidak mustahil akan menerima limpahan perubahan. Jangan lupa, Pahang juga bersempadan dengan negeri-negeri yang dikuasai PR iaitu Selangor, Kelantan dan Perak (pada satu ketika dulu). Juga bersempadan dengan dengan negeri-negeri yang dianggap bakal dilanda ‘tsunami’ iaitu Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor.

Pahang juga memiliki generasi kedua Felda yang telah berjaya dan kini berada di kota-kota besar yang sedar dan sentiasa mengamat-amati trend perubahan global. Mereka ini tahu dan arif membezakan pencapaian prestasi negeri di bawah PR dan BN. Mereka juga punyai pengaruh.

Najib pula secantik manapun imejnya yang disolekkan, tidak akan dapat lari daripada isu pengundi import dan memasukkan daerah pengundian Kuantan ke Parlimen Pekan.

Pun begitu, saya percaya kejayaan PRU 13 tidak akan berupaya diraih dengan enteng kerana BN yang terdesak sudah mulai meningkatkan tindakan tidak demokratik malah sanggup melakukan perkara di luar batasan perlembagaan negara demi survival mereka.

Sehubungan dengan itu saya menyeru semua anggota parti agar kian mendekatkan diri kepada Robbul Jalil, sekali gus meninggikan kualiti diri dalam semua aspek bagi menghadapi tentangan getir yang mendatang.

Sekian, selamat bermuktamar. Semoga amal jihad kita mendapat anugerah dan kemuliaan daripadaNYA.

Tuesday, November 6, 2012

Janji dicapati jalan Maran - Jerantut

JERANTUT: Kegagalan berkali-kali kerajaan BN menyiapkan projek jalan dari Maran ke Jerantut melalui Simpang Jengka 8 yang terbengkalai sejak lima tahun, membuktikan mereka gagal mengotakan slogan mereka sendiri ‘janji ditepati’.

Akibatnya, lebih 5,000 penduduk tiga daerah terbabit yang menggunakan laluan tersebut setiap hari mendakwa mereka terus dihantui ketakutan lantaran kerosakan jalan tersebut yang bahaya dan sering mengundang kemalangan.

Projek jalan yang menjadi penghubung utama kepada penduduk Sungai Tekam Getah, Sungai Tekam Utara, Sungai Siam, Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak, Tekam (PPTR), Kampung Perak dan Jengka 8 itu dimulakan pada 2007.

Dalam aduan kepada Konvoi Cakna Rakyat PAS Pahang dipimpin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Yohanis Ahmad yang menyerahkan memorandum mewakili penduduk, berkata projek tersebut bagaimana pun ditinggalkan terbengkalai oleh kontraktor.

“Akibatnya bukan saja penduduk gagal menikmati jalan baru, malah jalan sedia ada pula yang rosak dan berserabut dengan barang yang ditinggalkan. Sehinggalah pada 10 Oktober 2011 pihak kerajaan telah melantik kontraktor baru iaitu Roadcare (M) Sdn Bhd. dengan kos RM10 juta dibahagikan kepada lima pakej.

“Kerja-kerja telah bermula dengan sedikit sebanyak mula menampakkan hasil perubahan. Namun projek menaiktaraf itu yang dijadualkan siap pada 30 April 2012 sekali lagi telah gagal disiapkan seperti yang dirancang.

“Kemudian Adun Pulau tawar mengumumkan projek tersebut ditenderkan sekali lagi dengan kos RM36 juta, tetapi hasilnya tetap terbengkalai,” katanya.

Menurut Yohanis, penduduk setempat telah acap kali menyuarakan kepada pihak kerajaan supaya menyelesaikan masalah jalan terbengkalai itu malangnya keluhan penduduk tidak dihiraukan.

Katanya, hal ini telah mengecewakan penduduk setempat kerana akibat kegagalan kerajaan menyiapkan projek tersebut menyebabkan kerap berlaku kemalangan jalan raya disebabkan jalan yang sempit, gelap dan mengelirukan.

Sementara itu, di lokasi masih terpampang papan tanda projek berkenaan masih tersergam
‘Kerja-kerja membaik pulih Jalan Persekutuan di laluan FT 064, Seksyen 83.80 – Seksyen 100.00 & Seksyen 111.650 – Seksyen 135.500 Jalan Jerantut – Maran’.

Yohanis berkata pemandangan kon berselerak yang diletakkan di bahu jalan, jalan yang tidak terurus di sepanjang jalan yang terbengkalai itu boleh memalukan negeri Pahang sedang PPTR yang terdapat di situ merupakan lokasi yang selalu dikunjungi pegawai-pegawai Felda dan kerajaan yang berkursus.

Tambahnya, jalan tersebut turut dilalui pengguna-pengguna jalan raya dari Kuantan menuju Pahang Barat dan ke negeri Kelantan.

“Kalbat yang terbiar juga mengakibatkan Sungai Siam menjadi semakin sempit dan ini sering menyebabkan banjir besar berlaku kerana aliran air tersekat. Hal ini bakal membawa lebih kerugian kepada wang rakyat kerana kos membaik pulih nanti sudah pasti melambung tinggi akibat kelewatan menyiapkan projek tersebut.

“Sebab itu kami mewakili penduduk setempat mendesak perkara ini diajukan kepada Prlimen Malaysia melalui Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi dijalankan satu siasatan menyeluruh oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah berkaitan berapa kos sebenar projek ini.

“Kerajaan Negeri Pahang pula melalui satu jawatan kuasa khas hendaklah ditubuhkan untuk menyiasat kenapakah berlaku kegagalan dalam menyiapkan projek ini,” katanya.

Sementara itu bagi menangani keluhan penduduk yang menganggap jalan tersebut berbahaya, beliau menyarankan agar jabatan Kerja Raya (JKR) mesti mengambil tindakan segera meletakkan tanda keselamatan di setiap selekoh jalan ini dan meletakkan lampu jalan pada setiap 100 meter.

GAMBAR

1.Satu lagi projek kerajaan BN ‘janji dicapati’. Sepatutnya siap April tahun ini.
2.Yohanis menunjukkan bukti projek terbengkalai
3. Jalan mengelirukan, menyempitkan yang sudah sedia sempit



Thursday, October 25, 2012

PAS tuntut Malaysia Nanban mohon maaf

TEMERLOH: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menuntut akhbar harian berbahasa Tamil Malaysia Nanban, supaya memohon maaf serta menarik balik sebuah berita yang memfitnah Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya, dalam berita berkenaan disiarkan kononnya Menteri Besar Kelantan itu sudah kecewa dengan DAP dan PKR yang banyak masalah justeru mahu bertemu dengan BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“PAS amat kesal dan serentak dengan itu juga kita minta akhbar berkenaan segera mohon maaf atau berhadapan dengan saman kerana mengada-adakan cerita yang tidak benar ini.

“Mesej berita itu sangat mengelirukan masyarakat kaum India kerana Tuan Guru tidak pernah bertemu dengan Najib dalam masa terdekat ini apa lagi mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Gambar Tuan Guru, (Datuk Seri) Najib dan (Datuk Seri) Adnan yang dipaparkan dalam berita berkenaan diambil dari album lama iatu pada 30 September tahun lalu semasa pelancaran motosikal Modenas dan ECER di sebuah hotel di Kuantan,” katanya semasa bertemu penduduk sebuah taman perumahan di sini.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, beliau membuat penjelasan ini setelah banyak menerima panggilan daripada kaum India yang bertanyakan kedudukan sebenar dalam isu berkenaan yang disiarkan oleh akhbar itu edisi semalam.

Berita dari Kelang itu tersiar di muka surat dua dan ditulis oleh MR Balu.

“Kita kesal dengan cara penulisan berita itu yang membelakangkan etika kewartawanan kerana diambil tanpa sumber yang tepat dan bersifat rekaan,” kata Tuan Ibrahim.

Menurut Tuan Ibrahim, moral PAS dan Pakatan Rakyat boleh tercemar di mata masyarakat terutamanya kaum India yang berkemungkinan melihat pendirian PAS sebagai parti paling senior, tidak teguh dalam gabungan berkenaan.

Tambahnya, yang bermain isu perkauman adalah Umno dan parti lain dalam BN sedangkan Pakatan tidak terusik dengan pelbagai provokasi dan tidak akan melatah.


GAMBAR
Tuan Ibrahim bersama pimpinan PAS dan S Balakrishnan menunjukkan akhbar berkenaan yang menuduh Nik Aziz akan bertemu BN. Sedang gambar dipaparkan merupakan gambar lama.






Wednesday, October 17, 2012

Awas usaha porak-peranda PR

TEMERLOH: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengingatkan Umno dan BN pada masa ini bersungguh-sungguh cuba memporak-perandakan rumah tangga Pakatan Rakyat (PR) dengan pelbagai cerita lama.

Katanya, media pro Umno dapat dilihat setiap hari memainkan propaganda kononnya ramai yang kecewa PAS bersatu dalam satu pakatan dengan DAP, juga disogokkan kononnya jika rakyat memilih selain BN akan berlaku huru hara, peristiwa berdarah 13 Mei akan berulang.

Namun, tambahnya, semuanya itu isu dan cerita lama yang mungkin terkesan kepada orang-orang lama tetapi tidak dipercayai orang-orang muda kerana capaian internet membantu mereka memahami isu sebenar.

“Ada yang kata kenapa PAS berkawan dengan DAP, termasuk ada di kalangan orang PAS sendiri melatah mempersoalkan kenapa tidak berkongsi kuasa dengan Umno.

“Tuan tuan, PAS ini dah dewasa dan berpengalaman. Bahtera ini sudah 60 tahun melalui badai dan gelombang besar, tetapi kapten kita tidak pernah panik walaupun ada anak kapal dah ramai yang terjun,” kiasnya.

Salahuddin berkata demikian dalam program Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Parlimen Temerloh malam kelmarin di Darul Amin Sungai Gau, di sini.

Turut berceramah Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan bekas Naib Presiden Kanan Felcra Datuk Ramli Buyung.

Sebelum itu Salahuddin menerima borang keahlian daripada bekas Pengurus Felda Nasaruddin Mohd Saleh bagi menyertai PAS.

Salahuddin berkata, ada di antara ahli PAS yang ketinggalan maklumat sehingga terpengaruh dengan propaganda media pro Umno tanpa merujuk kepada pimpinan sebarang keraguan yang berbangkit.

“Umno ini nak pujuk kita bercerai dengan DAP. Adakah bila kita bercerai dia nak ambil kita (kerana betul-betul sayang)? Pengalaman dulu pernah dia (Umno) ambil kita (semasa dia lemah). Bila dia kuat dia tendang kita. Itulah pengalaman PAS,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini orang-orang Cina mempercayai PAS daripada Umno dan kepercayaan itu bukannya boleh dibeli. Justeru itulah yang menyebabkan jentera propaganda mereka berusaha memecahkan PAS dengan DAP.

Mengenai dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan Bajet 2013 PR sebagai janji bulan bintang sehingga negara boleh bankrap, itu sebenarnya pandangan cetek.

Katanya, umpamanya penghapusan PTPTN dalam bajet tersebut hanya berjumlah RM5 bilion daripada RM232 bilion daripada keseluruhan bajet PR.

“Saya percaya rakyat boleh menilai, undi BN anak belajar kena berhutang. Kalau undi PR pelajaran percuma dari darjah satu hingga ke tingkatan enam dan ke universiti. Kalau nak undi BN juga, terpulanglah, undilah BN sampai kiamat,” katanya sambil disambut dengan derai ketawa lebih 2,000 yang hadir.

Mengenai pencapaian ekonomi, Salahuddin berkata Malaysia satu masa dulu sebaris dengan Jepun, Korea dan Taiwan tetapi sekarang ini dah jauh ketinggalan.

“Kita ada minyak, ada kelapa sawit tetapi dari segi pencapaian sudah jauh ketinggalan. Kalau dibiarkan bimbang-bimbang Thailand, Vietnam, Kemboja dan Indonesia akan memintas pencapaian Malaysia.

“Jangan terperanjat jika satu hari nanti rakyat Malaysia pula menjadi pendatang ke negara-negara tersebut,” ujarnya.

Mengenai pilihan raya, Salahuddin sempat menyindir mengatakan jika ada yang kenal baik dengan Rosmah, cuba-cubalah tanyakan kepadanya bilakah tarikh PRU yang dibisikkan ke telinga suaminya.

GAMBAR
Salahuddin (di tengah) bergambar ramai dengan ahli PAS sebaik sampai di Sungai Gau selepas berkonvoi sekeliling Temerloh dalam program Himpunan Hijau.








Tuesday, October 16, 2012

Umno, MCA bersatu halang hukum Allah

Sepatutnya isu-isu seperti inilah yang wajar dibuka mata oleh individu seperti Hasan Ali dan Nasaruddin Mohd Isa.

Saban hari menghentam PAS dan DAP kononnya mengorbankan prinsip perjuangan menegakkan Islam.

Harap-harap janganlah dibutakan terus mata, sementara dikurniakan Tuhan boleh melihat antara yang hak dan batil.

Janganlah kerana perasaan dendam kesumat politk, memejamkan mata dengan realiti.

Sedarlah, sebelum kelak disumpah seranah oleh makhluk dan di bumi dan di langit!


Monday, October 15, 2012

86 masuk Umno: Menipu atau tertipu?

BERA: PAS menganggap Menteri Besar Pahang tertipu jika percaya seramai 86 orang ahli parti-parti Pakatan Rakyat dari Cawangan Bukit Mendi menyertai Umno dalam ‘Majlis Pemimpin Turun Padang’ kelmarin.

Ketua Pemuda PAS Cawangan Bukit Mendi, Hasan Abdul Latif yang mendakwa mengikuti program yang dihadiri Datuk Seri Adnan Yaakub itu secara dekat, hampir semua yang hadir bukannya datang dari Felda berkenaan.

“Saya pasti kebanyakan yang hadir didatangkan dari Kampung Baris, Felda Sungai Kemahal, Jawi-jawi yang semuanya dari Dun Menteri Besar sendiri (Dun Pelangai).

“Memang ada seorang penduduk Bukit Mendi iaitu Ismail Yusoff yang mengetuai kumpulan masuk Umno dan majlis tersebut diadakan di perkarangan kedainya sendiri, tetapi dia hanya bekas penyokong DAP” jelasnya.

Media massa, elektronik dan portal berita internet semalam menyiarkan berita kononnya lebih 80 anggota PKR, PAS dan DAP cawangan Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong menyertai Umno dan menyerahkan borang kepada Adnan pada majlis 'Pemimpin Turun Padang dan Kenduri Rakyat' di Felda Bukit Mendi, kelmarin.

Turut hadir menyaksikan ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Bera Mohd Fadzil Othman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan dan Adun Guai, Norol Azali Sulaiman.

Felda bukit Mendi berada dalam Dun Triang yang dimenangi wakil DAP Leong Ngah Ngah.

Sementara itu Hasan berkata, beliau mengsyaki kemungkinan orang Umno sendiri yang masuk Umno pada majlis berkenaan bagi mengambil hati Menteri Besar yang pertama kali datang ke Bukit Mendi walau pun berada bersebelahan dengan Dun Pelangai.

“Saya terpaksa tampil untuk menjelaskan kekeliruan ini setelah menerima banyak panggilan telefon bertanyakan keadaan sebenar,” katanya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu Yang Dipertua PAS Kawasan Bera, Sulaiman Mohamad pula berkata, propaganda isu PAS masuk Umno merupakan fenomena biasa menjelang pilihan raya.

Beliau turut mengesahkan, tidak ada ahli PAS di Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong yang keluar menyertai Umno.

“Berdasarkan gambar yang kita perolehi, tiada seorang pun yang kita kenali sebagai ahli PAS. Malah dengan hanya seorang saja (Ismail) yang tampil mengesahkan dia mennyertai Umno, itu bukan membuktikan ada penyokong PAS turut sama menyertai Umno.

“Mungkin yang mahu masuk Umno itu hanya penyokong atas pagar ataupun penyokong Umno sendiri yang berlakon sebagai ahli Umno baru. Propaganda itu biasa menjelang PRU,” katanya.

Leong Ngah Ngah pula ketika dihubungi, mengesahkan Ismail pernah menjadi penyokong DAP pada satu ketika dulu tetapi sudah tidak aktif.

“Bagi saya keputusan Ismail untuk menyertai Umno itu haknya dan beliau bebas menentukan haknya untuk berpolitik dalam sebuah negara demokrasi, DAP tiada hak untuk menghalang,” ujarnya.


Gambar
1.Hasan menunjukkan berita kononnya 86 ahli PR sertai Umno
2.Sulaiman


~ Harakahdaily

Saturday, October 13, 2012

Himpunan Hijau peringkat Temerloh esok

TEMERLOH: PAS kawasan ini meneruskan komitmen program Himpunan Hijau ke Putrajaya di Alor Setar (peringkat kebangsaan) dan Kerdau (peringkat negeri) dengan mengadakannya pula di peringkat kawasan pada 14 Oktober ini.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, Haji Jusoh Darus, himpunan tersebut akan bermula dengan edaran risalah di Pekan Sehari Temerloh pada sebelah pagi.

“Pada sebelah petangnya iaitu jam dua petang pemuda akan berkonvoi motosikal dan kereta bermula dari KFC Taman Chengal mengelilingi bandar Temerloh.

“Pada waktu yang sama akan diadakan ceramah kelompok, motivasi dan minum petang di Kampung Belengu,” katanya.

Tambahnya, Solat Maghrib berjamaah, zikir munajat dan Solat Hajat akan diadakan di perkarangan Markas Darul Amin Sungai Gau.

Selepas itu ceramah perdana akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan bekas Naib Presiden Felcra Datuk Ramli Buyong.

“Pada malam tersebut juga akan diumumkan tokoh-tokoh bekas pegawai kerajaan dan Umno menyertai PAS.

“Justeru kami menyeru semua ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat agar sama-sama turun bagi sama-sama menggembeleng tenaga dan semangat menjelang PRU ke 13 yang tidak lama lagi,” ujarnya.