JERANTUT: Kegagalan berkali-kali kerajaan BN menyiapkan projek jalan dari Maran ke Jerantut melalui Simpang Jengka 8 yang terbengkalai sejak lima tahun, membuktikan mereka gagal mengotakan slogan mereka sendiri ‘janji ditepati’.
Akibatnya, lebih 5,000 penduduk tiga daerah terbabit yang menggunakan laluan tersebut setiap hari mendakwa mereka terus dihantui ketakutan lantaran kerosakan jalan tersebut yang bahaya dan sering mengundang kemalangan.
Projek jalan yang menjadi penghubung utama kepada penduduk Sungai Tekam Getah, Sungai Tekam Utara, Sungai Siam, Pusat Perkhidmatan Pertanian Tun Razak, Tekam (PPTR), Kampung Perak dan Jengka 8 itu dimulakan pada 2007.
Dalam aduan kepada Konvoi Cakna Rakyat PAS Pahang dipimpin Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Yohanis Ahmad yang menyerahkan memorandum mewakili penduduk, berkata projek tersebut bagaimana pun ditinggalkan terbengkalai oleh kontraktor.
“Akibatnya bukan saja penduduk gagal menikmati jalan baru, malah jalan sedia ada pula yang rosak dan berserabut dengan barang yang ditinggalkan. Sehinggalah pada 10 Oktober 2011 pihak kerajaan telah melantik kontraktor baru iaitu Roadcare (M) Sdn Bhd. dengan kos RM10 juta dibahagikan kepada lima pakej.
“Kerja-kerja telah bermula dengan sedikit sebanyak mula menampakkan hasil perubahan. Namun projek menaiktaraf itu yang dijadualkan siap pada 30 April 2012 sekali lagi telah gagal disiapkan seperti yang dirancang.
“Kemudian Adun Pulau tawar mengumumkan projek tersebut ditenderkan sekali lagi dengan kos RM36 juta, tetapi hasilnya tetap terbengkalai,” katanya.
Menurut Yohanis, penduduk setempat telah acap kali menyuarakan kepada pihak kerajaan supaya menyelesaikan masalah jalan terbengkalai itu malangnya keluhan penduduk tidak dihiraukan.
Katanya, hal ini telah mengecewakan penduduk setempat kerana akibat kegagalan kerajaan menyiapkan projek tersebut menyebabkan kerap berlaku kemalangan jalan raya disebabkan jalan yang sempit, gelap dan mengelirukan.
Sementara itu, di lokasi masih terpampang papan tanda projek berkenaan masih tersergam
‘Kerja-kerja membaik pulih Jalan Persekutuan di laluan FT 064, Seksyen 83.80 – Seksyen 100.00 & Seksyen 111.650 – Seksyen 135.500 Jalan Jerantut – Maran’.
Yohanis berkata pemandangan kon berselerak yang diletakkan di bahu jalan, jalan yang tidak terurus di sepanjang jalan yang terbengkalai itu boleh memalukan negeri Pahang sedang PPTR yang terdapat di situ merupakan lokasi yang selalu dikunjungi pegawai-pegawai Felda dan kerajaan yang berkursus.
Tambahnya, jalan tersebut turut dilalui pengguna-pengguna jalan raya dari Kuantan menuju Pahang Barat dan ke negeri Kelantan.
“Kalbat yang terbiar juga mengakibatkan Sungai Siam menjadi semakin sempit dan ini sering menyebabkan banjir besar berlaku kerana aliran air tersekat. Hal ini bakal membawa lebih kerugian kepada wang rakyat kerana kos membaik pulih nanti sudah pasti melambung tinggi akibat kelewatan menyiapkan projek tersebut.
“Sebab itu kami mewakili penduduk setempat mendesak perkara ini diajukan kepada Prlimen Malaysia melalui Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bagi dijalankan satu siasatan menyeluruh oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah berkaitan berapa kos sebenar projek ini.
“Kerajaan Negeri Pahang pula melalui satu jawatan kuasa khas hendaklah ditubuhkan untuk menyiasat kenapakah berlaku kegagalan dalam menyiapkan projek ini,” katanya.
Sementara itu bagi menangani keluhan penduduk yang menganggap jalan tersebut berbahaya, beliau menyarankan agar jabatan Kerja Raya (JKR) mesti mengambil tindakan segera meletakkan tanda keselamatan di setiap selekoh jalan ini dan meletakkan lampu jalan pada setiap 100 meter.
GAMBAR
1.Satu lagi projek kerajaan BN ‘janji dicapati’. Sepatutnya siap April tahun ini.
2.Yohanis menunjukkan bukti projek terbengkalai
3. Jalan mengelirukan, menyempitkan yang sudah sedia sempit
No comments:
Post a Comment