Kenyataan Terbuka
26 November 2012
Jika Skuad Kebangsaan Gagal ke Separuh Akhir, Presiden FAM dan Timbalan Wajar Undur
Atas rasa tanggungjawab sebagai penggerak dan pelopor anak muda tanahair, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merasakan sudah tiba masanya keputusan drastik harus dibuat bagi menyelamatkan bolasepak negara dari terus merundum.
Bolasepak merupakan sukan nombor satu negara, sukan yang paling diminati dari puluhan jenis sukan popular. Mustahil rakyat Malaysia tidak nampak apakah kelemahan dan kekurangan sebenar dan mustahil rakyat tidak tahu apakah faktor yang menyebabkan bolasepak negara tidak bermaya. Benarkah negara ini ketandusan bakat pemain sehingga gagal menyerlah dalam peringkat antarabangsa?
Percayalah bahawa negara ini tidak ketandusan pemain berbakat dan tidak juga ketandusan kepimpinan yang sebenarnya mampu membawa bolasepak negara ke tahap yang lebih baik. Cuma badan sukan bolasepak negara gagal menjalankan tanggungjawab tetapi tidak pula mengambil tanggungjawab dalam setiap kegagalan tersebut.
Puluhan tahun masa telah diberi, ratusan juta malah bilion ringgit telah dihabiskan, namun prestasi pemain kebangsaan bukan sahaja berada di takuk lama malah kini lebih jauh ketinggalan. Harus diingat, duit yang digunakan untuk pembangunan bolasepak itu adalah duit rakyat maka hasrat rakyat terbanyak harus diambil kira.
Sebagai sukan nombor satu di Malaysia, pastinya majoriti peminat mahukan prestasi terbaik mengikut kadar peruntukkan yang telah dilaburkan. Jika prestasi merosot pasti menimbulkan khuatir di kalangan peminat kerana telah banyak kali peluang telah diberikan untuk pasukan kebangsaan bangkit semula.
Bukan kali pertama bolasepak negara dilihat jatuh merundum, ia telah berlaku banyak kali termasuklah kemuncaknya pada tahun 2007 apabila Malaysia dibelasah teruk dalam ketiga-tiga perlawanan Piala Asia 2007. Malaysia tewas 0-5 kepada China, 0-5 kepada Uzbezkistan dan 0-2 kepada Iran walaupun ketika itu Malaysia sebagai tuan rumah bersama. Siri kekalahan memalukan itu berakhir dengan perletakkan jawatan Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah pada akhir Julai 2007. Ia juga kemuncak kedudukan tercorot pada awal 2008 apabila Malaysia menduduki tangga ke 170 dunia.
Perletakkan jawatan Tengku Abdullah merupakan satu keputusan yang tepat kerana bolasepak negara selepas itu kembali bersinar apabila bukan sahaja berjaya memperolehi pingat emas bolasepak sukan SEA kali pertama selepas dua dekad, malah pasukan Harimau Malaya turut berjaya menjuarai piala AFF edisi 2010 buat kali pertama dalam sejarah. Bolasepak negara kembali rancak, penyokong kembali memenuhi stadium dan Harimau Malaya kembali digeruni.
Namun sinar kebangkitan bolasepak tanahair dilihat tidak bertahan lama, tidak terus bangkit sepertimana yang diharapkan. Bolasepak negara hari ini disaksikan semakin tidak bermaya dengan permainan yang longgar tidak menunjukkan kegarangan.
Dalam beberapa perlawanan persahabatan kita tewas ditangan pasukan Vietnam dan Thailand. Pasukan malaysia juga hanya mampu seri dengan Hongkong, hampir tewas ditangan pasukan Filipina yang pernah kita tumbangkan dengan jaringan super besar 15-1. Baru-baru ini juga Kita gagal melepasi pasukan bolasepak Bangladesh sedangkan Thailand membelasah pasukan yang sama dengan jaringan lima gol tidak berbalas. Di manakah tahap sebenar permainan kita hari ini?
Semalam, Harimau Malaya bagaikan patah kaki apabila dibelasah tiga gol tidak berbalas oleh pasukan Singapura. Ini satu petunjuk jelas, bolasepak negara sekali lagi dalam bahaya. Persoalannya sampai bila? Wang berjuta diperuntukkan bukan untuk dihabis dengan hasil sebegini rupa?
Apakah yang sebenarnya perlu dilakukan? Presiden dan Timbalan Presiden FAM harus berundur?
Walaubagaimanapun, SAMM tetap optimis untuk melihat kejuaraan Piala AFF Suzuki dipertahankan oleh pasukan kebangsaan. Malaysia masih mempunyai peluang yang baik untuk mara ke separuh akhir setelah dibantu keputusan seri di antara Indonesia dan Laos. Terlebih dahulu Malaysia perlu membenam Laos sebelum membenam Indonesia dalam baki perlawanan kumpulan. Keputusan seri tidak banyak membantu dan jika kalah, maka ucapan selamat tinggal Piala AFF boleh dilafazkan.
Kita anak muda harus bersikap adil dalam perkara ini, peluang terakhir harus diberi sebelum sebarang keputusan drastik didesak. SAMM tetap menyokong pasukan kebangsaan sedia ada hingga ke wisel penamat dan menggesa orang ramai turun ke Bukit Jalil memberi sokongan mengambil kesempatan sebagai tuan rumah kejohanan. Sekurang-kurangnya peringkat separuh akhir kejohanan harus dijejak dan kejuaraan Piala AFF harus dipertahankan.
Namun sekiranya pasukan negara gagal melangkah ke peringkat separuh akhir, ia suatu perkara yang sukar diterima. Maka dengan keputusan seperti ini SAMM merafak sembah memohon supaya YM Presiden dan juga Timbalan Presiden FAM, memberi pertimbangan untuk melepaskan jawatan masing-masing, demi bolasepak negara.
SAMM juga mencadangkan Tan Sri Annuar Musa dilepaskan dari hukuman gantung FAM yang dikenakan ke atas beliau, dan Anwar Musa juga merupakan susuk paling berkaliber untuk dilantik sebagai Presiden FAM berdasarkan prestasi beliau dalam pengurusan dan pembangunan bolasepak peringkat negeri dan kebangsaan.
Inilah menifestasi anak muda yang ingin melihat bolasepak negara diselamatkan selain mengekang pembaziran melampau duit rakyat ke atas sukan bolasepak jika hasilnya tidak berbaloi.
Edy Noor Reduan
Solidariti Anak Muda Malaysia
No comments:
Post a Comment