Wednesday, November 21, 2012

Anti Lynas bergerak dari Bentong

BENTONG: Kumpulan Hijau Anti Lynas yang berjalan kaki sejauh 300 kilometer dari Kuantan untuk ke Dataran Merdeka dan parlimen, hari ini meneruskan perjalanan sejauh kira-kira 12 kilometer lagi dari bandar ini ke Kolam Air Panas, jalan Kuala Lumpur lama.

Ini bermakna hanya tinggal kurang lebih 45 kilometer sahaja lagi dalam masa empat hari, untuk mencapai sasaran.

Rombongan asal 100 orang itu memulakan perjalanan pagi Selasa dari Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, sebelum berhenti dan bermalam di beberapa lokasi iaitu Gambang, Sri Jaya, Maran, Mentakab, Lanchang, Karak dan Bentong.

Jumlah mereka bertambah sehingga 200 ke 400 orang apabila tiba di beberapa perhentian dengan disertai penduduk setempat.

Perjalanan tersebut dianjurkan oleh beberapa buah pertubuhan (NGO) anti Lynas berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan 8 November lalu yang menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) sekali gus memutuskan kilang tersebut dibenarkan beroperasi di Gebeng.

Menurut pengerusi Himpunan Hijau, Wong Tuck, yang mengetuai kempen berjalan kaki itu berharap, kempen akan berlangsung selama 10 ke 13 hari dengan sasaran jarak perjalanan ditetapkan sekitar 30 kilometer sehari untuk sampai ke Dataran Merdeka pada 25 November ini.

“Kami mendapat sokongan padu sepanjang perjalanan setakat ini termasuk disediakan makan minum, penginapan dan penyokong setempat yang sanggup memberi sokongan moral berjalan sama. Setiap malam dianjurkan ceramah dan forum anti Lynas.

“Pagi esok kami akan meneruskan berjalan kaki ke Karak dan lusa ke Bentong hinggalah sampai ke Dataran Merdeka dan bangunan parlimen untuk menyampaikan bantahan,” katanya.

Semalam mereka disambut di hadapan Masjid Ketari. Turut menyambut Yang Dipertua PAS Bentong Ustaz Hamid bahatim.

Turut menyertai kempen jalan kaki itu ialah NGO anti Rapid Pengerang, anti Sinida Raub, 12 orang Pribumi Sarawak yang membantah projek Hidroelektrik di negeri itu, ahli jawatankuasa Pemandu BERSIH dan wakil dari Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang.

Dua belas ahli PAS Lanchang turut menyertai rombongan dari Lanchang ke Bentong.

GAMBAR

GAGAH... Peserta jalan kaki anti Lynas sedang berjalan kaki dari Karak ke Lanchang

Disambut meriah oleh penduduk Bentong di hadapan Masjid Ketari

Raja Bob dari PKR Temerloh bertugas mengawal lalu lintas

Ustaz Hamid yang menyambut rombongan anti Lynas, sedang ditemuramah oleh sebuah stesen televisyen



No comments:

Post a Comment