Tuesday, November 27, 2012

Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang 9 Disember

TEMERLOH: Himpunan Kebangkitan Rakyat peringkat negeri Pahang akan diadakan pada 9 Disember ini di Dataran Rakyat, Kerdau dengan tema “Ubah Sekarang Selamatkan Pahang”.

Menurut Pengarah Himpunan Dr Hamzah Jaafar, program disertai oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK), STOP LYNAS, BERSIH, HIJAU MALAYSIA, KERABAT dan ROYALTI.

Katanya, program akan bermula pada jam 2 petang dengan acara konvoi bermotorsikal Pemuda Pakatan Rakyat. Kemudian diikuti dengan program santai anak muda yang melibatkan artis, golongan pemuda dan wanita serta kebudayaan Orang Asli.

“Pidato pada sebelah malamnya akan disampaikan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP Kebangsaan Lim Kit Siang, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat Peringkat Kebangsaan Tuan Haji Mohammad Sabu.

“Himpunan ini mensasarkan kehadiran seramai 30,000 orang dan himpunan ini bakal mencatatkan sejarah kerana ia akan dihadiri oleh segenap lapisan masyarakat yang berbilang kaum termasuk orang asal,” katanya dalam sidang media di pejabat PAS Pahang sebentar tadi.

Turut hadir Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid dan Naib Pengerusi DAP Pahang Koh Boon Heng. Kedua-duanya merupakan timbalan-timbalan pengarah program tersebut.

Himpunan berkenaan merupakan yang keempat selepas diadakan di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan sebelum sampai ke kemuncaknya di Kuala Lumpur pada Januari akan datang.

Dr Hamzah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, di antara objektif diadakan himpunan ini ialah untuk menggembeleng kekuatan rakyat bersama Pakatan Rakyat dalam menentang Kezaliman BN.

“Himpunan ini juga bertujuan untuk menyedarkan rakyat mengenai kepentingan pilihan raya yang adil dan media bebas. Di samping memberikan maklumat sebenar terutama mengenai isu pemberian BRIM dan belanjawan rasuah BN.

“Justeru itu kami menyeru rakyat di segenap peringkat bagi penyertai program penting ini bagi menyatakan sokongan untuk melakukan perubahan dengan mendengar amanat terakhir sebelum pilihan raya daripada pimpinan,” tegasnya.


Tahniah pejalan kaki Lynas



Dalam pada itu Timbalan Ketua MPP Pahang Ahmad Nizam Hamid mewakili Pakatan Pahang merakamkan ucapan tahniah kepada pejalan-pejalan kaki anti Lynas dari Kuantan yang selamat sampai ke Dataran Merdeka Kuala Lumpur semalam.

“Kami juga menyeru Kerajaan Pahang ambil serius tentang suara hati rakyat yang menolak Lynas. Masih belum terlambat untuk hentikan projek ini. Lagipun Kerajaan Pusat sudah umumkan Pahang akan mendapat royalti petroleum,” katanya.


~ Harakahdaily


No comments:

Post a Comment