MENTAKAB: Ketua Pembangkang Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan rakyat supaya bersedia dan waspada menghadapi taktik paling kotor oleh Umno dalam ‘ibu segala pilihan raya’ yang akan datang bagi mengekalkan kuasa mereka.
Bercakap dalam majlis petang bersama penduduk di sini petang semalam, Anwar berkata, beliau mendapat maklumat segala taktik jahat dan kotor itu akan didalangi oleh Ahli Parlimen Rompin Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.
“Tapi saya sendiri sudah mengingatkan Jamaluddin (JJ) agar jangan melakukan sesuatu di luar batas dalam PRU akan datang,” katanya dalam hujan lebat itu.
JJ yang juga duta negara bertaraf menteri ke Amerika Syarikat, sebelum ini dikaitkan sebagai sahabat karib Najib sejak dahulu dan disebut-sebut bakal MB Pahang jika BN menang pada PRU akan datang.
Anwar dalam rangka lawatan sehari ke Pahang dalam Jelajah rakyat. Pada sebelah paginya beliau bertemu rakyat di Kuantan termasuk di Tasik Paya Bungor, kemudiannya ke Maran dan Jengka 6 sebelum ke Mentakab.
Kira-kira 2,000 orang penyokong Pakatan menunggu Anwar di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Mentakab dan ramai yang pulang apabila hujan lebat turun serta angin kencang.
Namun begitu lebih ramai yang tidak berganjak menunggu Anwar sehingga tokoh kebanggaan mereka itu sampai sewaktu hujan lebat dengan bas dua tingkat. Beliau menceritakan sambutan hangat menandakan akan berlaku perubahan sepanjang jelajahnya termasuk di Kota Bharu dan Kemaman sebelum itu.
Turut berceramah Exco Selangor Elizabeth Wong dan ahli parlimen William Leong.
Sementara itu Anwar mendedahkan kejahatan SPR dengan menamakan seorang pengundi yang lahir pada tahun 1982 dan menjadi pengundi berdaftar sehari selepas hari kelahirannya.
Dalam pada itu, pendengar yang berhujan tidak bosan apabila Anwar banyak berseloka dalam ceramahnya. Beliau sempat menyampaikan dua buah lagi sambil diiringi orang ramai.
Belaiu mendendangkan lagu kebiasaannya: “Madu di tangan kananmu PR, racun di tangan kirimu BN. Aku dah tahu, dah tahu mana satu pilihan ku...”
Lagu kedua ialah: “Tanya sama Najib, apa sebab goyang, nanti jawab Najib Sabah dah goncang... tengok dalam air nampak bayang-bayang sekali pandang Sarawak pun hilang...”
Anwar selepas itu tidak melepaskan peluang bersalaman dengan semua yang hadir sebelum bertolak ke Penderas, Kuala Krau dan akhirnya berceramah di Simpang Felda Kepayang, Bera.
No comments:
Post a Comment