Dengan izin Allah, hanya berbaki beberapa hari saja lagi, kita akan bersua dalam muktamar terakhir ini sebelum meletusnya ‘ibu segala pilihan raya’. Kita bertemu dalam suasana mood rakyat sudah berada di landasan mahukan perubahan. Kita juga berhimpun dalam senario pihak kerajaan Umno/BN sendiri sedang teraba-raba mencari tarikh pilihan raya umum (PRU).
‘Tsunami’ politik dirasakan hampir pasti akan berlaku berdasarkan negeri “fixed deposit” BN, Sabah pun sudah mula kehilangan pemimpin yang berbondong-bondong meninggalkan partinya, sehinggakan pemimpin tertinggi BN kelihatan cemas menguruskannya.
Ada yang menganalisis bahawa Pahang akan kekal di bawah Umno/BN walaupun kepimpinan Putrajaya bertukar tangan. Sudah tentu antara alasannya ialah komposisi peratusan Melayu luar bandar yang tinggi, tanah rancangan Felda yang jumlah pengundinya merangkumi 60 % keseluruhan dan Perdana Menteri sendiri datang dari negeri ini.
Namun saya harapkan analogi tersebut disambut sebagai cabaran oleh para pendokong kebenaran kerana Pahang tidak mustahil akan menerima limpahan perubahan. Jangan lupa, Pahang juga bersempadan dengan negeri-negeri yang dikuasai PR iaitu Selangor, Kelantan dan Perak (pada satu ketika dulu). Juga bersempadan dengan dengan negeri-negeri yang dianggap bakal dilanda ‘tsunami’ iaitu Negeri Sembilan, Terengganu dan Johor.
Pahang juga memiliki generasi kedua Felda yang telah berjaya dan kini berada di kota-kota besar yang sedar dan sentiasa mengamat-amati trend perubahan global. Mereka ini tahu dan arif membezakan pencapaian prestasi negeri di bawah PR dan BN. Mereka juga punyai pengaruh.
Najib pula secantik manapun imejnya yang disolekkan, tidak akan dapat lari daripada isu pengundi import dan memasukkan daerah pengundian Kuantan ke Parlimen Pekan.
Pun begitu, saya percaya kejayaan PRU 13 tidak akan berupaya diraih dengan enteng kerana BN yang terdesak sudah mulai meningkatkan tindakan tidak demokratik malah sanggup melakukan perkara di luar batasan perlembagaan negara demi survival mereka.
Sehubungan dengan itu saya menyeru semua anggota parti agar kian mendekatkan diri kepada Robbul Jalil, sekali gus meninggikan kualiti diri dalam semua aspek bagi menghadapi tentangan getir yang mendatang.
Sekian, selamat bermuktamar. Semoga amal jihad kita mendapat anugerah dan kemuliaan daripadaNYA.
No comments:
Post a Comment