Wednesday, November 28, 2012

Penduduk tagih jambatan janji PRU

BERA: Lebih 5,000 penduduk dari enam perkampungan Melayu sepanjang Sungai Pahang di sini, menagih janji setiap kali pilihan raya umum (PRU) membina segera sebuah jambatan bagi mengurangkan jarak perhubungan untuk pelbagai urusan.

Penduduk-penduduk kampung Guai, Tok Biah, Jelam Seberang, Selindang, Charok Puting dan Batu Bor mendakwa dengan ketiadaan jambatan menyebabkan kampung mereka yang dipisahkan oleh Sungai Pahang, menyukarkan untuk ke bandar Bera bagi urusan rasmi.

Menurut mereka, tanpa perhubungan tersebut juga menyulitkan aktiviti seharian seperti mengeluarkan hasil pertanian, persekolahan anak-anak, urusan ke pejabat tanah dan daerah serta hal-hal kekeluargaan yang berada di kiri kanan Sungai Pahang.

Kekesalan penduduk berhubung perkara tersebut disuarakan menerusi memorandum yang diserahkan penduduk kepada Konvoi Cakna Rakyat diketuai Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini.

Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun Guai, Musaniff Abdul Rahman, berkata dengan ketiadaan jambatan penduduk terpaksa keluar ke bandar Bera melalui Temerloh atau Maran yang jaraknya lebih lima kali ganda berbanding sekiranya terdapat jambatan yang menghubungkan kampung-kampung berkenaan ke destinasi.

Menurutnya, bukan sahaja menghadapi kerumitan untuk berurusan ke pusat pentadbiran daerah Bera kerana jarak yang jauh, penduduk yang mempunyai kebun di kampung berkenaan sebagai sumber ekonomi juga berdepan masalah.

“Bayangkan mereka terpaksa menanggung kos pengangkutan dan input bahan pertanian termasuk kos buruh yang mahal kerana jarak jauh.

“Malah, keadaan ini turut dirasai ibu bapa dari seberang sana yang menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah Agama Al-Ittifqiah di kampung Guai, yang merupakan satu-satunya sekolah menengah agama di sini. Begitu juga penduduk seberang sini yang mahu menghantar anak ke sekolah menengah kebangsaan di seberang sana,” katanya.

Musaniff berkata, jika jambatan dibina pasti memudahkan perhubungan penduduk yang tinggal di kedua-dua belah tebing Sungai Pahang itu sekali gus mampu meningkatkan ekonomi penduduk dan pendapatan majlis daerah.

Tambahnya, bukan sahaja penduduk Bera malah pengguna jalan raya dari Pantai Timur juga boleh menggunakannya untuk memendekkan jarak perjalanan ke selatan tanah air dan Singapura.

Labur projek lain boleh, kenapa jambatan tak boleh?

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan, Sulaiman Mohamad pula berkata, keadaan itu sebenarnya merugikan pendapatan daerah kerana hasil ekonomi dari tiga kampung terbabit disalurkan ke Temerloh atau Maran kerana kedudukannya yang lebih dekat.

Katanya, selama lebih 55 tahun atau sejak zaman dahulu penduduk terpisah, tiada jalan penyelesaian diadakan sedangkan pemimpin parti kerajaan berkempen untuk membina jambatan setiap kali PRU.

“Jika dulu, mungkin tidak menimbulkan masalah kerana masing-masing menggunakan bot sendiri untuk menyeberang. Tetapi sekarang, bukan semua orang ada bot atau perahu melainkan mereka yang mencari rezeki di sungai itu.

“Jadi sudah tiba masanya penduduk di enam kampung dan seberangnya mendapat perhatian terutamanya dari aspek kebajikan dan kemudahan infrastruktur. Apa lagi Ahli Parlimen Bera sekarang (Datuk Seri Ismail Sabri) merupakan seorang menteri,” tegasnya.

Menurutnya, Bera adalah satu-satunya daerah di negeri ini yang masih belum mempunyai jambatan merentangi Sungai Pahang bagi menghubungkan warganya daerah ini sendiri.

“Kalau projek lain kerajaan boleh melabur atau menyediakan berjuta-juta ringgit, kenapa tidak untuk pembinaan jambatan ini?

“Saya percaya kosnya tidak mungkin mencecah RM10 juta sedangkan manfaatnya tidak mustahil boleh digunakan berjuta-juta rakyat sebagai laluan berulang alik,” katanya.

Pada penghujung program berkenaan, wakil penduduk Ahmad Chik, menyerahkan memorandum kepada Tuan Ibrahim dengan harapan agar PAS Pahang dapat memanjangkan memorandum berkenaan kepada pihak berkuasa.


GAMBAR

1.Ahmad Chik menyerahkan memorandum penduduk kepada Tuan Ibrahim, turut kelihatan Musaniff dan Sulaiman

2.Penduduk bergambar bersama Tuan Ibrahim, di hadapan jeti yang digunakan penduduk setiap hari.



No comments:

Post a Comment