Friday, November 30, 2012

Netbook tak boleh guna, surat saman pula sampai

TEMERLOH: “Harapkan apabila dapat netbook daripada kerajaan dapatlah membantu pelajaran anak, tetapi rupa-rupanya langsung tidak boleh digunakan kerana ketiadaan internet.

“Sudahlah begitu, kini sampai pula surat saman minta dijelaskan walhal netbook itu tidak pernah digunakan,” demikian keluh seorang pesara kerajaan ketika mengadu di pejabat PAS Pahang di sini hari ini.

Rameli Kassim, 57, berkata pada April tahun lalu anaknya Raida Syahiza menerima netbook percuma melalui Sekolah Menengah Dato Bahaman Lanchang, tetapi tidak boleh digunakan kerana kawasan internet percuma hanya berada 60 kilometer dari rumahnya di Taman Bunga Raya.

Menurutnya, kira-kira sebulan selepas anaknya menerima netbook, telah sampai bil menuntut bayaran caj internet sebanyak RM25 (sebulan) sedangkan ia tidak pernah digunakan.

“Saya kemudian pergi ke pejabat TM di Mentakab mengadu hal berkenaan dan minta ditamatkan perkhidmatan kerana tidak pernah sekalipun menggunakan internet,” jelasnya.

Tambahnya, bil tuntutan tetap sampai setiap bulan sehinggalah beliau menerima notis tuntutan daripada peguam TM yang meminta dijelaskan tunggakan sebanyak RM302.05 dalam masa tujuh hari.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, yang beliau kesalkan ialah tidak ada pihak sekolah ataupun TM sendiri yang menerangkan kepadanya tentang pakej atau syarat tertentu semasa menerima netbook itu dulu.

Tegasnya lagi, beliau sudah mengadu kepada unit aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tetapi tiada sebarang respons.

“Apa yang saya harapkan ialah keadilan kepada saya. Wang RM300 itu mungkin dianggap kecil oleh sesetengah orang, tetapi dalam keadaan kos hidup yang melambung tinggi ini tentulah tidak patut untuk saya bayar apa yang saya tidak pernah guna,” tegasnya.



Rameli menunjukkan surat tuntutan tunggakan bil internet yang tidak pernah beliau gunakan


No comments:

Post a Comment