Saturday, October 13, 2012

Himpunan Hijau peringkat Temerloh esok

TEMERLOH: PAS kawasan ini meneruskan komitmen program Himpunan Hijau ke Putrajaya di Alor Setar (peringkat kebangsaan) dan Kerdau (peringkat negeri) dengan mengadakannya pula di peringkat kawasan pada 14 Oktober ini.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh, Haji Jusoh Darus, himpunan tersebut akan bermula dengan edaran risalah di Pekan Sehari Temerloh pada sebelah pagi.

“Pada sebelah petangnya iaitu jam dua petang pemuda akan berkonvoi motosikal dan kereta bermula dari KFC Taman Chengal mengelilingi bandar Temerloh.

“Pada waktu yang sama akan diadakan ceramah kelompok, motivasi dan minum petang di Kampung Belengu,” katanya.

Tambahnya, Solat Maghrib berjamaah, zikir munajat dan Solat Hajat akan diadakan di perkarangan Markas Darul Amin Sungai Gau.

Selepas itu ceramah perdana akan disampaikan oleh Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Dr Hamzah Jaafar, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan bekas Naib Presiden Felcra Datuk Ramli Buyong.

“Pada malam tersebut juga akan diumumkan tokoh-tokoh bekas pegawai kerajaan dan Umno menyertai PAS.

“Justeru kami menyeru semua ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat agar sama-sama turun bagi sama-sama menggembeleng tenaga dan semangat menjelang PRU ke 13 yang tidak lama lagi,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment