TEMERLOH: Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mengingatkan Umno dan BN pada masa ini bersungguh-sungguh cuba memporak-perandakan rumah tangga Pakatan Rakyat (PR) dengan pelbagai cerita lama.
Katanya, media pro Umno dapat dilihat setiap hari memainkan propaganda kononnya ramai yang kecewa PAS bersatu dalam satu pakatan dengan DAP, juga disogokkan kononnya jika rakyat memilih selain BN akan berlaku huru hara, peristiwa berdarah 13 Mei akan berulang.
Namun, tambahnya, semuanya itu isu dan cerita lama yang mungkin terkesan kepada orang-orang lama tetapi tidak dipercayai orang-orang muda kerana capaian internet membantu mereka memahami isu sebenar.
“Ada yang kata kenapa PAS berkawan dengan DAP, termasuk ada di kalangan orang PAS sendiri melatah mempersoalkan kenapa tidak berkongsi kuasa dengan Umno.
“Tuan tuan, PAS ini dah dewasa dan berpengalaman. Bahtera ini sudah 60 tahun melalui badai dan gelombang besar, tetapi kapten kita tidak pernah panik walaupun ada anak kapal dah ramai yang terjun,” kiasnya.
Salahuddin berkata demikian dalam program Himpunan Hijau Ke Putrajaya Peringkat Parlimen Temerloh malam kelmarin di Darul Amin Sungai Gau, di sini.
Turut berceramah Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengerusi DAP Pahang Leong Ngah Ngah dan bekas Naib Presiden Kanan Felcra Datuk Ramli Buyung.
Sebelum itu Salahuddin menerima borang keahlian daripada bekas Pengurus Felda Nasaruddin Mohd Saleh bagi menyertai PAS.
Salahuddin berkata, ada di antara ahli PAS yang ketinggalan maklumat sehingga terpengaruh dengan propaganda media pro Umno tanpa merujuk kepada pimpinan sebarang keraguan yang berbangkit.
“Umno ini nak pujuk kita bercerai dengan DAP. Adakah bila kita bercerai dia nak ambil kita (kerana betul-betul sayang)? Pengalaman dulu pernah dia (Umno) ambil kita (semasa dia lemah). Bila dia kuat dia tendang kita. Itulah pengalaman PAS,” katanya.
Tambahnya, pada masa ini orang-orang Cina mempercayai PAS daripada Umno dan kepercayaan itu bukannya boleh dibeli. Justeru itulah yang menyebabkan jentera propaganda mereka berusaha memecahkan PAS dengan DAP.
Mengenai dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan Bajet 2013 PR sebagai janji bulan bintang sehingga negara boleh bankrap, itu sebenarnya pandangan cetek.
Katanya, umpamanya penghapusan PTPTN dalam bajet tersebut hanya berjumlah RM5 bilion daripada RM232 bilion daripada keseluruhan bajet PR.
“Saya percaya rakyat boleh menilai, undi BN anak belajar kena berhutang. Kalau undi PR pelajaran percuma dari darjah satu hingga ke tingkatan enam dan ke universiti. Kalau nak undi BN juga, terpulanglah, undilah BN sampai kiamat,” katanya sambil disambut dengan derai ketawa lebih 2,000 yang hadir.
Mengenai pencapaian ekonomi, Salahuddin berkata Malaysia satu masa dulu sebaris dengan Jepun, Korea dan Taiwan tetapi sekarang ini dah jauh ketinggalan.
“Kita ada minyak, ada kelapa sawit tetapi dari segi pencapaian sudah jauh ketinggalan. Kalau dibiarkan bimbang-bimbang Thailand, Vietnam, Kemboja dan Indonesia akan memintas pencapaian Malaysia.
“Jangan terperanjat jika satu hari nanti rakyat Malaysia pula menjadi pendatang ke negara-negara tersebut,” ujarnya.
Mengenai pilihan raya, Salahuddin sempat menyindir mengatakan jika ada yang kenal baik dengan Rosmah, cuba-cubalah tanyakan kepadanya bilakah tarikh PRU yang dibisikkan ke telinga suaminya.
GAMBAR
Salahuddin (di tengah) bergambar ramai dengan ahli PAS sebaik sampai di Sungai Gau selepas berkonvoi sekeliling Temerloh dalam program Himpunan Hijau.
No comments:
Post a Comment