BERA: PAS menganggap Menteri Besar Pahang tertipu jika percaya seramai 86 orang ahli parti-parti Pakatan Rakyat dari Cawangan Bukit Mendi menyertai Umno dalam ‘Majlis Pemimpin Turun Padang’ kelmarin.
Ketua Pemuda PAS Cawangan Bukit Mendi, Hasan Abdul Latif yang mendakwa mengikuti program yang dihadiri Datuk Seri Adnan Yaakub itu secara dekat, hampir semua yang hadir bukannya datang dari Felda berkenaan.
“Saya pasti kebanyakan yang hadir didatangkan dari Kampung Baris, Felda Sungai Kemahal, Jawi-jawi yang semuanya dari Dun Menteri Besar sendiri (Dun Pelangai).
“Memang ada seorang penduduk Bukit Mendi iaitu Ismail Yusoff yang mengetuai kumpulan masuk Umno dan majlis tersebut diadakan di perkarangan kedainya sendiri, tetapi dia hanya bekas penyokong DAP” jelasnya.
Media massa, elektronik dan portal berita internet semalam menyiarkan berita kononnya lebih 80 anggota PKR, PAS dan DAP cawangan Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong menyertai Umno dan menyerahkan borang kepada Adnan pada majlis 'Pemimpin Turun Padang dan Kenduri Rakyat' di Felda Bukit Mendi, kelmarin.
Turut hadir menyaksikan ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Bera Mohd Fadzil Othman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan dan Adun Guai, Norol Azali Sulaiman.
Felda bukit Mendi berada dalam Dun Triang yang dimenangi wakil DAP Leong Ngah Ngah.
Sementara itu Hasan berkata, beliau mengsyaki kemungkinan orang Umno sendiri yang masuk Umno pada majlis berkenaan bagi mengambil hati Menteri Besar yang pertama kali datang ke Bukit Mendi walau pun berada bersebelahan dengan Dun Pelangai.
“Saya terpaksa tampil untuk menjelaskan kekeliruan ini setelah menerima banyak panggilan telefon bertanyakan keadaan sebenar,” katanya kepada Harakahdaily.
Dalam pada itu Yang Dipertua PAS Kawasan Bera, Sulaiman Mohamad pula berkata, propaganda isu PAS masuk Umno merupakan fenomena biasa menjelang pilihan raya.
Beliau turut mengesahkan, tidak ada ahli PAS di Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong yang keluar menyertai Umno.
“Berdasarkan gambar yang kita perolehi, tiada seorang pun yang kita kenali sebagai ahli PAS. Malah dengan hanya seorang saja (Ismail) yang tampil mengesahkan dia mennyertai Umno, itu bukan membuktikan ada penyokong PAS turut sama menyertai Umno.
“Mungkin yang mahu masuk Umno itu hanya penyokong atas pagar ataupun penyokong Umno sendiri yang berlakon sebagai ahli Umno baru. Propaganda itu biasa menjelang PRU,” katanya.
Leong Ngah Ngah pula ketika dihubungi, mengesahkan Ismail pernah menjadi penyokong DAP pada satu ketika dulu tetapi sudah tidak aktif.
“Bagi saya keputusan Ismail untuk menyertai Umno itu haknya dan beliau bebas menentukan haknya untuk berpolitik dalam sebuah negara demokrasi, DAP tiada hak untuk menghalang,” ujarnya.
Gambar
1.Hasan menunjukkan berita kononnya 86 ahli PR sertai Umno
2.Sulaiman
~ Harakahdaily
No comments:
Post a Comment