Thursday, December 20, 2012

Selepas ini, semua orang boleh ucap 'haram jadah' - peguam

TEMERLOH: Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh Datuk Akhtar Tahir hari ini membuat keputusan menolak saman yang difailkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak oleh 8 peneroka dari sekitar Jengka kerana ungkapan menghina ‘haram jadah’ terhadap mereka.

Peguam peneroka berkenaan, Mohd Harris Abdullah, berkata hakim berpendapat ungkapan ‘haram jadah’ oleh Najib hanyalah bersifat umum, tidak ditujukan kepada 8 peneroka, tidak mengaibkan dan hanya sindiran.

Menurut Harris, hakim juga memutuskan setiap plaintif (peneroka) diarahkan membayar sebanyak RM3,000 seorang bagi kos penghakiman.

“Bagaimanapun pihak kita agak terkilan kerana dengan keputusan hari ini seolah-olah sudah ada satu nas bahawa sesiapa sahaja boleh menggunakan perkataan haram jadah kepada sesiapa yang dia suka dan kesannya besar,” katanya dalam sidang media selepas keputusan.

Turut hadir memberi sokongan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang Ustaz Yusof Embong, Timbalan Presiden Anak Aris Faizul Ismail, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Peneroka PAS Pahang Md Jusoh Darus dan para penyokong.

Harris berkata, jika perkataan lucah, kotor dan menghina dibenarkan diucap oleh pemimpin, ia bertentangan dengan dasar kerajaan sendiri iaitu meminta rakyat berbudi bahasa dan bersopan santun sebagaimana kempen dalam televisyen.

Mengenai keputusan kes hari ini, beliau mempunyai tempoh dua minggu untuk merayu dan akan berbincang dengan plaintif.

Ogos lalu Samat Yusof, Alias Ibrahim, Idris Mat Sah, Syed Jamaluddin Muhamed, Abdul Rahim Abdul Rahman, Rosdi Ismail, Abdullah Mohd dan Rakiah Sulong selaku plaintif memfailkan saman terhadap Najib berikutan mengeluarkan perkataan menghina itu pada 8 Mei tahun ini dalam satu program di Jengka 8.

Saman tersebut difailkan setelah notis tuntutan maaf dan minta ditarik balik perkataan tersebut yang telah diserahkan kepada Najib selaku defendan, tidak diindahkan dan tiada sebarang respons.

Sedangkan Najib mengetahui ungkapan menghina yang dibuat di hadapan lebih 40 ribu yang hadir di majlis mengumumkan durian runtuh itu dan liputan media boleh mempengaruhi memandangkan beliau pemimpin tertinggi negara.

Bagi mereka ungkapan haram jadah itu amat mengaibkan kerana membawa maksud mereka anak luar nikah, pengkhianat dan tidak bermaruah sehingga dianggap tidak layak menerima durian runtuh.

Sementara itu, di hadapan mahkamah hari ini penuh sesak dengan kira-kira 300 penyokong Umno dari beberapa Felda sekitar Wilayah Jengka dan Mempaga yang berdemonstrasi menyokong Najib.

Dalam tinjauan, mereka mengakui diarahkan sendiri oleh Felda untuk hadir bagi menyokong Najib dan didatangkan dengan beberapa buah bas.

Mereka membuat bising dan riuh rendah sambil mengangkat sepanduk di hadapan jalan raya sehingga memaksa tidak kurang 50 orang petugas polis mengawal lalu lintas.

Manakala lebih 200 penyokong peneroka yang hadir terus duduk tenang dan sabar sementara menunggu keputusan mahkamah.


~ Gelagat penyong Umno di hadapan Mahkamah Temerloh


No comments:

Post a Comment