Sunday, July 31, 2011

Pemuda sahkan video polis, RTM tipu

TEMERLOH, 30 Julai: Seorang pemuda tampil menyangkal video polis disiarkan sebuah televisyen yang menggambarkan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, membuat provokasi terhadap polis ketika perhimpunan Bersih 9 Julai lalu.

Anggota Unit Amal yang hanya mahu dikenali sebagai Lan, 30, mendakwa berada betul-betul di belakang Tian Chua bersama kira-kira 2,000 orang di KL Sentral ketika itu dan beliau sebenarnya sedang menyelamatkan diri daripada ditembak polis.

“Saya bertanggungjawab dengan kenyataan ini dan sanggup dipanggil jadi saksi jika diperlukan,” katanya ketika menemui Harakahdaily di sini.

Lan berkata, sebagai anggota Amal dari Pahang beliau ditugaskan untuk mengawal pemimpin di KL Sentral yang sedang membuat sidang media di Hotel Hilton untuk berarak ke Stadium merdeka.

Tambahnya, mereka menunggu pimpinan turun dari di Hotel Hilton, kira-kira pukul dua petang dan dianggap tempat yang paling strategik dan penting kerana menghimpunkan paling ramai pemimpin.

“Antara pimpinan yang ada di situ ialah Tuan Guru Haji Hadi Awang, Datuk Seri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah, Tian Chua, Khalid Samad, Dr Zul. Ambiga, Pak Samad dan AJK Bersih. Kami menanti pimpinan di KL Sentral dan saya lihat selepas itu entah dari mana datangnya, kurang lebih 2,000 orang anak muda mengelilingi pimpinan yang turun tadi.

“Lepas itu kami berarak masa itu tengah hujan renyai-renyai berhampiran terowong di situ. Sebenarnya kami ingin bergerak ke hadapan, tetapi FRU sudah menutup dan membuat provokasi dengan menembak gas pemedih mata kiri, kanan, depan dan belakang.

“Saya sendiri mendengar suara kuat seorang pegawai polis yang mengarahkan menembak gas pemedih mata tepat ke arah peserta, bukan seperti biasanya ditembak ke atas. Jelas tembakan itu untuk paling kurang mencederakan peserta jika tidak membunuh,” ceritanya.

Tambah Lan, oleh kerana kawasan tertutup dan polis menembak gas memedihkan mata jadi mereka terpaksa bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

Katanya, polis pula gunakan taktik merempuh peserta perhimpunan dan membantai dengan belantan supaya rebah lalu memberkas mereka. Namun ada yang berjaya meloloskan diri, ada yang melarikan diri ke kawasan pembinaan dan patah balik ke dalam kompleks KL Sentral.

“Dengan mata yang kabur kerana dilepaskan bom asap oleh polis, saya lihat seperti kiamat kecil. Depan mata saya lihat, Pak Samad terbaring, Khalid Samad berdarah kepala. Masa itu juga saya lihat pembantu Anwar, Fayaad tercedera.

“Saya bersama Pemuda Amal untuk menyelamatkan diri daripada polis yang mengejar untuk memberkas kami, terpaksa masuk semula ke dalam kompleks untuk menyorok. Jadi tidak langsung provokasi kami kepada polis, yang ada ialah untuk menyelamatkan diri termasuk Tian Chua,” ujarnya.

Lan menganggap di KL Sentral tempat paling teruk menerima tindakan keras daripada polis dan paling ramai anggota keselamatan yang lengkap dengan trak serta kenderaan lain kerana di situ paling ramai pemimpin Bersih.

“Tapi kami tidak pernah merasa serik dengan hambatan dan rintangan yang berlaku, bahkan jika dipanggil untuk memperjuangkan hak-hak rakyat seperti Bersih, saya bersedia untuk turun lagi ke Kuala Lumpur,” katanya bersemangat.

Harakahdaily

No comments:

Post a Comment