Tuesday, July 26, 2011

Media baru akan kuasai penduduk


Kira-kira 98 peratus daripada 26 juta penduduk negara ini akan beralih kepada sumber media baru dan laman sosial seperti blog, Facebook serta Twitter sebelum November tahun ini.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, jumlah itu tidak mustahil dicapai kerana saluran media baru merupakan landasan paling berpengaruh yang berupaya melakukan perubahan sosial di negara ini.

"Perkara itu bukan mitos tetapi realiti. Saluran media baru berjaya mencetuskan revolusi sosial di Mesir, Tunisia, Amenia dan Ukraine. Kini media mempunyai kuasa sepenuhnya malah ia begitu kompleks dan boleh menyebarkan maklumat kepada sesiapa saja setiap saat. Perkara itu turut diakui kebanyakan ahli falsafah," katanya.

Menurut beliau, peralihan tersebut turut didorong oleh beberapa faktor seperti rakyat mahukan ruang untuk berkongsi pendapat dan terlibat dalam sesuatu perkara kerana dunia sekarang bersifat terbuka.

"Kita perlu menerima perubahan ini. Kita sudah memasuki era perundingan... media moden mesti mengamalkan kepelbagaian. Stesen radio sudah melalui proses perubahan ini. Pelbagai topik turut dibincangkan oleh penyampai radio. Mereka akan berinteraksi secara interaktif bersama pendengar menerusi telefon," jelasnya.

"Oleh itu, kita perlu menerima Internet sebagai peradaban manusia yang positif. Kita perlu berkongsi emosi, karakter, teknologi sains dan menerima kehadiran media baru. Saya yakin anda merujuk kepada Internet kerana ia dapat menjimatkan masa, ruang dan kos.

"Orang pertama yang menyebarkan maklumat akan dapat menguasai dunia. Saya pasti media konvensional tidak dapat mengatasinya kerana perlu melalui proses cetakan dan edaran," katanya.

~ Penangdaily

1 comment:

  1. Saya lihat ada benarnya bahawa media baru iaitu internet sudah semakin berkesan dan memberi impak besar sekarang. Bahkan kalau dilihat sekitar jawapan, respons dan hujah yang diutarakan oleh media prokerajaan dan pak menteri sendiri, sesetengahnya adalah reaksi kepada persoalan yang diutarakan oleh media baru seperti blog, web dan facebook.

    Umpamanya Rosmah terpaksa menjawap isu cincin RM24 juta, Najib terpaksa berhempas pulas menjawap isu Altantuya, Rais Yatim bermati-matian menyaman di mahkamah dalam isu Robengah.

    Dan banyak lagi!

    Ini boleh dibayangkan betapa besarnya kuasa media baru ini pada masa akan datang.

    Malangnya saya lihat peluang ini kurang digunakan atau dimanfaatkan oleh pemimpin pembangkang. Sedangkan mereka tahu bahawa pengguna dan pelayar internet adalah golongan muda, iaitu entiti yang bakal memenuhi ruang bumi Malaysia ini pada masa akan datang.

    Sebagai contoh, pimpinan PAS Pahang sendiri amat kurang menjadikan medium internet sebagai perkakas penerangan, propaganda dan gerak saraf parti. Mungkin yang adapun hanyalah secara individu, kelompok tertentu atau secara terpecah-pecah. Secara solo-soloan adalah aktiviti memenuhi masa lapang, berseronok dan berhubung dengan member-member sahaja!

    Sedangkan bagi menguasai medium tersebut perlu ada agenda dan perancangan khusus daripada parti. Serius. Mungkin yang duduk di kerusi tertinggi PAS Pahang masih ramai yang 'buta' IT. tetapi apa salahnya diserahkan kepada budak-budak muda yang menguasai media baru itu.

    Pemimpin perlu ingat bahawa medium ceramah pada masa ini kebanyakannya hanya sebagai adat sahaja sekadar ada program. Tanpa menafikan ianya perlu kerana ia adalah tradisional parti. Banyak pula program tersebut yang ada kalanya 'tak lepas kos'.

    Tahukah pemimpin bahawa kos menggerakkan jentera media baru jauh lebih rendah kosnya? Dan jauh lebih berkesan jika terancang?

    Pemimpin PAS selalu berucap bahawa sejarah revolusi Mesir dan Tunisia yang mutakhir ialah hasil daripada gerakan di facebook?

    Akan tetapi adakah pemimpin PAS (khususnya di Pahang) sedar dan bertindak daripada apa yang dicelotehkan itu???

    ReplyDelete