Wednesday, May 19, 2010

Pak De Pa dipanggil menemui Allah

Pagi ini kira-kira jam 8 pagi, saya dikejutkan dengan panggilan telefon oleh bapa saudara saya, yang saya panggil Cu Ark, mengatakan Cikgu Mustapha Mohd Nor (Pak De Pa) dalam keadaan dan nazak dan kritikal di Hospital Ampang.

Adik beradik, anak-anak dan sanak saudara mereka telah berkumpul.

Pada masa itu saya masih berada dalam kereta dan Cu Ark meminta saya memberi tahu Mak kerana dia tidak mahu memaklumkan hal tersebut bimbang-bimbang Mak terkejut.

Pak De Pa telah dimasukkan ke Wad ICU hospital berkenaan sejak seminggu lalu kerana jangkitan paru-paru.

Setengah jam kemudian ketika saya berjumpa Mak di rumah Tik, Umar menelefon dari Kedah mengatakan Pak De Pa telah kembali ke rahmatullah.

Pak De Pa, 60-an, bapa saudara pupu saya ialah anak kepada bekas wakil rakyat Padang Tengku, Cikgu Mohd Nor. Saya tidak sempat bertemunya, tapi sempat dengan ibu Pak De yang saya panggil Tok Arah.

Pada masa kecil dulu-dulu saya sering ke rumahnya di Kampung Telmin, Padang Tengku. Kebetulan adiknya, Azmi (Cu Mi), sebaya dengan saya jadi suka kami bemain. Seronok ke sana kerana dapat naik kereta api.

Rumah tersebut kini diduduki oleh Ayahngah Tar (Mokhtar Mohd Nor – bekas Sarjan Mejar tentera). Lama juga tak jumpa Pak De Pa, kerana setelah bersara dari dunia pendidikan dia menetap di Kuala Lumpur.

Kini Pak De Pa telah kembali ke rahmatullah. Menurut SMS yang saya terima daripada Cu Ark dan Umar, jenazah allahyarham akan disembahyangkan di Surau Mutmainnah, Pandan Perdana dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Baru hari ini juga.

Moga-moga Allah ampunkan segala dosa dan rohnya dicucuri rahmat.

Berehatlah Pak De. Hari ini giliran Pak De, esok-esok giliran kami pula... Begitulah resamnya hidup di dunia ini sebagai hamba Allah.



No comments:

Post a Comment