Friday, May 28, 2010

Demi pembangunan Bera perlu jambatan


Dari: http://mediaguai.blogspot.com

Negeri Pahang mempunyai sebelas buah daerah. Bera adalah merupakan daerah yang kesebelas. Dari segi keluasan Daerah Bera mempunyai 2228 KM persegi.

Negeri Pahang adalah negeri terbesar di Semenanjung. Juga mempunyai sungai terpanjang di Semenanjung, iaitu Sungai Pahang.

Dengan panjang 459 KM Sungai Pahang hanya merentasi 6 daerah sahaja daripada 11 daerah. Daerah itu ialah Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan.

Ini bermakna keenam-enam daerah ini mempunyai dua daratan yang dipisahkan oleh Sungai Pahang. Kami telah meneliti hanya Daerah Bera sahaja yang tidak mempunyai Jambatan yang menghubungkan kedua-dua daratan daerah ini.

Keujudan jambatan banyak memberi kemudahan kepada rakyat untuk berurusan yang berkaitan pentadbiran , perkhidmatan dan lain-lain.

Jambatan yang terbaru siap dibina ialah Jambatan Kuala Krau, terletak di dalam daerah Temerloh (merupakan jambatan ke 3 di dalam daerah ini). Sebelum ini jambatan di Chenor (Maran).

Pihak kerajaan diseru agar mempercepatkan pembinaan jambatan di Daerah Bera, kata Musaniff ketika dihubungi selepas berceramah di Felda Purun sempena Karnival Warga Felda Bera 2010. Mungkin ada yang menyatakan oleh kerana tiadanya jalan yang sekurang-kurangnya bertaraf Jalan Negeri dikedua-dua tebing menyebabkan jambatan tidak boleh dilaksanakan, tambahnya.

Dengan nada yang bersungguh-sungguh Musaniff berkata, hendak seribu daya tak nak seribu dalih. Di sebelah daratan yang didirikan tulisan “ BERA” sekarang ini memang tidak mempunyai jalan yang bertaraf Jalan Negeri. Tetapi perlu diingat bahawa jika projek jalan yang ditinggalkan dengan peruntukkan oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka ( LKWJ ) diteruskan masalah ini boleh diselesaikan. Jalan yang dimaksudkan ialah Jalan dari Kg Lebak Seberang melalui Kg Guai-Kg Charuk Puting- Kg. Serindang – Kg Batu Bor - Kg. Durian Duduk – Kg. Lubuk Paku ( Maran ).

Jika ingin melihat Bera membangun seiring dengan daerah lain terutama dari segi pembangunan, pemikiran rakyat dan sikap proaktif pemimpin...rakyat dan pemimpin Bera perlu melakukan perubahan serta berani melakukan yang benar serta buangkan sifat duduk 'dibelakang orang'. Sejarah membuktikan bahawa pahlawan dan rakyat BERA adalah orang berilmu, berprinsip ,berani, gagah dan taat kepada agama.

Ahli Parlimen Bera merupakan seorang menteri dan tahu bahwa Bera merupakan daerah penghubung dengan selatan Tanah Air. Sebuah jambatan yang merentang Sungai Pahang sudah pasti dapat memacu kepesatan pembangunan.

No comments:

Post a Comment