Monday, May 3, 2010

Suami belasah isteri berbual telefon dengan lelaki lain hingga mati

KUALA LIPIS: Gara-gara cemburu, seorang isteri dibelasah oleh suaminya sendiri hingga mati hanya kerana berbual dengan lelaki lain di telefon.

Dalam kejadian di Kampung Padang Tengku, dekat sini, kira-kira 5 petang semalam (Ahad), mangsa, Rosmawati Abd Rahman, 39, dipercayai dihentak di kepala serta dipijak di bahagian perut, dada dan paha oleh suaminya di hadapan anak pasangan itu yang berusia 12 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Lipis, Supt Abdul Razak Hassan, suspek dikatakan naik angin secara tiba-tiba selepas anak lelakinya itu mengadu yang ibunya berbual di telefon dengan lelaki lain.

"Suspek tiba-tiba naik angin sebelum bertindak agresif menolak mangsa. Mangsa kemudiannya dipijak di perut, dada dan paha. Seterusnya suspek mencekik mangsa dan menghentak kepala mangsa ke lantai," katanya kepada media di sini.

Katanya, suspek, 46, kemudiannya berterusan memukul mangsa sehingga mangsa tidak sedarkan diri.

"Anak mangsa kemudiannya meminta bantuan jiran, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital. Punca kematian masih disiasat," katanya.

Pihak polis masih memburu suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu bagi membantu siasatan, katanya.

No comments:

Post a Comment