Sunday, May 9, 2010

Isu saman RM63 juta: Pegawai Kewangan Negeri kena bayar

KUANTAN: Kes saman RM63 juta oleh syarikat pembalakan Seruan Gemilang Makmur (SGM) terhadap Kerajaan Negeri Pahang memasuki perkembangan baru apabila tiga hakim Mahkamah Rayuan Malaysia menamakan Pegawai Kewangan Negeri Pahang sebagai penerima mandamus.

Perintah mandamus (memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) tersebut dikenakan bagi menggantikan Menteri Besar Pahang yang menerimanya dari mahkamah sebelum ini.

Hakim-hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang di Putrajaya Datuk Zaleha Zahari, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha memutuskan demikian baru-baru ini kerana Pegawai Kewangan Negeri merupakan pegawai berkuasa yang mengawal akaun bagi pihak kerajaan negeri dan Pengarah Hutan Negeri Pahang.

Menurut Pengarah SGM Syed Ali Badaruddin Syed Othman, keputusan dibuat berdasarkan kes Petrojasa Sdn. Bhd. lawan Kerajaan Negeri Sabah (2008) di mana Mahkamah Persekutuan mendapati bahawa kerajaan negeri yang membuat bayaran saman ialah Menteri Kewangan Sabah.

“Dalam konteks negeri Pahang orang yang bertanggungjawab ialah Pegawai Kewangan Negeri dan mandamus dari Mahkamah Tinggi Kuantan yang didapati dahulu patut ditujukan kepadanya sebagi perintah wajib bayar sebagaimana diputuskan mahkamah.”

“Jadi selepas ini kita berharap kes yang berlarutan sekian lama ini dapat diselesaikan secara baik kerana kes yang tertangguh ini memburukkan negeri sendiri juga termasuk di mata pelabur dalam dan luar negeri,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Episod SGM lawan Kerajaan Negeri Pahang ini telah berlarutan selama satu dekad.

SGM ialah syarikat kontraktor pembalakan yang telah menerima hak eksklusif mengeluarkan saki baki kayu balak di tanah milik Umno iaitu P.T. Lot 6959 Mukim Bebar, Pekan seluas 10,000 ekar pada tahun 2000.

Bagaimanapun, sebelum kerja-kerja pembalakan selesai Jabatan Perhutanan Pahang enggan melesenkan kepada SGM pada sebahagian kawasan tanah yang ditender. Tindakan tersebut telah menyebabkan syarikat berkenaan tidak dapat meneruskan kerja-kerja pembalakan yang telah ditender dan akibatnya telah mendakwa mengalami kerugian besar.

Ekoran itu SGM telah mengambil tindakan mahkamah sebagai jalan terakhir setelah kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri enggan melayan tuntutan SGM untuk mendapatkan lesen bagi meneruskan kerja-kerja pembalakan di kawasan tersebut.

Justeru itu Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 telah mengeluarkan suatu perintah kepada defendan (kerajaan negeri) supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37,127,471.60 kepada SGM berserta kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000.

Defendan diberi tempoh tiga bulan untuk membuat pembayaran (kesemuanya berjumlah sekitar RM60 juta) kepada SGM namun perintah tersebut tidak dipatuhi.

Dalam pada itu pihak defendan (Menteri Besar Datuk Seri Adnan dan kerajaan negeri) memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Bagaimanapun penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh pada 13 Februari 2008, kedua-dua defendan gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Kuantan yang memerintahkan pembayaran kepada SGM.

Pada 7 Mac 2008 pula, Mahkamah Tinggi Kuantan telah memperakukan sijil perintah dan amaun penghakiman terhadap kedua-dua defendan daripada Mahkamah Tinggi Kuantan terhadap keputusan penghakiman 25 Mei 2007.

Tarikh 7 April 2008 sepatutnya adalah hari wajib bayar iaitu tarikh akhir bagi pihak defendan membayar ganti rugi kepada SGM. Namun pihak defendan telah gagal membuat apa-apa bayaran ataupun menghubungi SGM. Maka secara automatik kedua-dua pihak dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Pada 20 April pula Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan perintah mandamus terhadap Adnan dan kerajaan negeri bagi melunaskan bayaran RM63 juta kepada SGM dalam tempoh 14 hari.

Adnan sekali lagi memohon mengenepikan kes melalui Mahkamah Rayuan dan keputusannya beliau ‘dilepaskan’.

Namun begitu mahkamah mengekalkan perintah pembayaran ganti rugi oleh Mahkamah Tinggi Kuantan. Ertinya, keputusan Mahkamah Rayuan 'melepaskan' Adnan daripada membayar hutang tersebut hanya bersifat teknikal sahaja sedangkan realitinya Kerajaan Negeri Pahang masih wajib membayarnya.

Kes ini terus berlarutan dan hakikatnya pada masa ini saman SGM terus berjalan dengan jumlah yang Kerajaan Negeri Pahang kena bayar terus meningkat lagi kerana wang faedah terus berjalan sebanyak RM8,000 sehari.

Gambar:
Syed Ali menunjukkan dokumen penghakiman baru yang diterimanya.





No comments:

Post a Comment