Wednesday, January 19, 2011

Guru KAFA kerja lebih elaun kurang

KERAJAAN DIGESA BAYAR ELAUN GURU KAFA SEWAJARNYA

Pakatan Rakyat Negeri Pahang bersimpati dengan nasib guru-guru KAFA yang kini terpaksa memberikan khidmat lebih masa dengan bayaran elaun yang tidak setimpal. Ini kerana pada sesi persekolahan 2011, mereka telah diarahkan bekerja 60 jam sebulan (3 jam sehari / 5 hari seminggu) berbanding 24 jam sebulan (2 jam sehari / 3 hari seminggu) pada sesi tahun sebelumnya. Arahan tersebut terkandung di dalam surat pekeliling Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) yang dikeluarkan pada 3 Disember 2010.

Menurut surat tersebut, penambahan masa bertugas itu sejajar dengan kenaikan elaun guru KAFA yang diluluskan kerajaan sebanyak RM800.00 sebulan berbanding RM500.00 sebulan sebelum ini. Kenaikan ini sekilas pandang dilihat banyak tetapi apabila diagihkan kepada jumlah waktu bekerja ia merupakan suatu penindasan kepada guru KAFA. Ketika elaun bulanan mereka RM500.00 sebulan, kadar upah mereka ialah RM20.83 sejam berbanding ketika elaun mereka RM800.00 sebulan, kadar upah mereka merosot sehingga RM13.33 sejam sedangkan bebanan kerja mereka bertambah lebih 100%.

Sehubungan itu mengambil kira bebanan tugas yang bertambah di samping himpitan kos sara hidup yang meningkat mendadak akibat kenaikan harga minyak sekarang ini, Pakatan Rakyat Negeri Pahang menggesa pihak kerajaan mengkaji semula kadar elaun tersebut dan membuat pembayaran elaun guru KAFA sekurang-kurangnya pada kadar asal RM20.83 sejam. Ini bermakna guru KAFA sepatutnya menerima bayaran elaun RM1249.80 sebulan!

Pakatan Rakyat Negeri Pahang juga menggesa kerajaan negeri menyediakan premis khusus yang lebih baik untuk KAFA di seluruh negeri Pahang seperti mana di negeri-negeri lain di Semenanjung. Ini untuk memberikan keselesaan pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada warga KAFA di samping tidak mengganggu aktiviti ko-kurikulum di sekolah-sekolah kebangsaan yang ditumpang oleh KAFA sekarang ini.

Senario pembelajaran KAFA hari ini khasnya di negeri Pahang memberikan gambaran bahawa kerajaan negeri tidak memberikan perhatian serius untuk penyediaan sumber manusia mukmin berkualiti untuk negeri ini. Justeru rakyat negeri Pahang diseru membuat perubahan kerajaan melalui Pilihan Raya Umum Ke 13 dengan memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat Negeri Pahang akan menjadikan agenda pemerkasaan sektor pendidikan di negeri ini termasuk sektor pendidikan Islam sebagai salah satu agenda utama untuk melahirkan sumber manusia berkualiti untuk membangunkan negara.


ROSLAN BIN ZAINAL AL-AHMADI

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Pahang






No comments:

Post a Comment