Friday, May 14, 2010

Belasungkawa Abuya

Pemimpin kumpulan diharamkan, Al Arqam kemudiannya Rufaqa’ dan Ikhwan Global, Ashaari Muhammad, 73, meninggal dunia di Hospital Pakar Ipoh 2.10 petang pada Khamis, tiga hari selepas dimasukkan kerana jangkitan paru-paru.

Ashaari yang pernah diberi jolokan oleh pengikutnya sebagai Pemuda Bani Tamim, kemudiannya telah dibawa ke kampung asalnya oleh para pengikutnya di Kampung Pilin, Rembau, untuk dikebumikan.

Menurut seorang pengikutnya, Ashaari yang pernah ditahan di bawah ISA kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat itu, dikejarkan ke hospital Isnin lepas selepas mengadu sakit dada selepas melawat Thailand dan Kedah.

Rombongan yang membawa jenazah Allahyarham ke Rembau sampai di rumahnya jam 5.30 petang dan disembahyangkan kira-kira 200 pengikut Allahya di sebuah banglo milik syarikat kumpulan itu.

Kumpulan Al Arqam diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Ogos 1994. Apabila ajaran Al-Arqam diharamkan, Ashaari ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari 2 hingga 24 Sept 2004 sebelum ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad di Rawang dekat sini dan Wilayah Persekutuan Labuan selama 10 tahun.

Al-Arqam diasaskan oleh Ashaari pada 1968 bersama Akhbar Anang, Ustaz Mohktar Yaakob, isterinya Khadijah Aam. Juga dikenali sebagai Jamaah Aurad Muhammadiah. Pernah dua kali berlaku krisis kepimpinan tetapi berada di kemuncak sekitar lewat 80-an dan 90-an dan dilaporkan mempunyai lebih 10,000 pengikut dan berkembang hingga ke luar negara.

Antara pegangan mereka yang kontoversi ialah mengenai Imam Mahadi dari kalangan keturunan Arab di Asia Tenggara yang sepatutnya muncul pada 1979.

Kumpulan itu merupakan pelopor memperkenalkan sistem perkampungan Islam yang terdapat di seluruh negara dengan menyebarkan kegiatan dakwah Islam melalui bidang pendidikan, penerangan, penerbitan, ekonomi perusahaan dan perniagaan, perubatan serta pertanian.

Ashaari yang juga bekas seorang guru agama sekolah kerajaan dikatakan melalui hari-hari tuanya dengan kehidupan mewah kerana kumpulan mereka pesat menjalankan perniagaan.




No comments:

Post a Comment