Tuesday, May 18, 2010

Umno hantar bahan fitnah melalui pos

TEMERLOH: Kerana terdesak dan bimbang dengan kemaraan PAS, Umno dipercayai kembali menggunakan taktik menghantar bahan fitnah terus ke sasaran melalui pos.

Terbaru bahan-bahan dokumen yang mengandungi fitnah terhadap pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat telah diterima oleh Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim tanpa alamat pengirim.

Menurut Hasanuddin, antara bahan yang terkandung dalam sampul surat besar yang diterimanya ialah dokumen yang menuduh DAP anti Melayu, fatwa mufti Datuk Seri Harussani, CD dokumentari berkaitan Nizar Jamaluddin dan sebuah buku bertajuk 50 kemusykilan tentang manusia bernama Anwar Ibrahim tanpa nama penulis, penerbit dan pencetaknya.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali menerima bahan pos yang dihantar ke rumah iaitu majalah Ekspresi yang mana isi kandungannya melaga-lagakan pandangan kumpulan-kumpulan dalam PAS dan dalam Pakatan Rakyat yang kebanyakannya dipetik dari blog-blog tertentu”.

“Dulu saya ingatkan mungkin bahan tersebut dihantar daripada kelompok tertentu dalam PAS atau Pakatan, sekarang dah jelas dari Umno yang tujuan utamanya cubaan untuk menceraikan PAS daripada Pakatan,” katanya ketika menemui SelamatkanPahang di sini.

Menurut Hasanuddin yang juga Setiausaha PAS Kawasan Temerloh, bahan yang dicop di Mersing, Johor itu dipercayai telah dihantar kepada semua Setiausaha PAS Kawasan-Kawasan seluruh Pahang berdasarkan maklumat yang diterimanya.

“Ingatan saya kepada lain-lain penerima, ini jelas propaganda dan taktik jahat Umno yang seolah-olah hilang punca dan sebenarnya timbul rasa ketakutan yang amat sangat apabila Pakatan kelihatan mendahului BN”.

“Contohnya program-program penerangan yang kita anjurkan di Kerdau dan Sungai Gau baru-baru ini telah berjaya menarik puluhan ribu rakyat. Jadi mereka gunakan taktik bacul ini kerana terdesak’.

Tambah Hasanuddin, daripada membazir sehingga terpaksa berhabisan duit untuk menghadapi kemaraan PAS ini lebih baiklah mereka menumpukan pembangunan sebagaimana yang diamanahkan rakyat.




No comments:

Post a Comment