Wednesday, May 19, 2010

Laporan SPRM oleh pimpinan PR Pahang terhadap PM berkaitan rasuah dan ugutan PRK Sibu

TEMERLOH: Satu aduan salah laku membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan ini pada 19 Mei oleh Pakatan Rakyat (PR) Pahang.

Laporan dibuat berkaitan satu kenyataan Najib dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu yang didakwa melakukan ugutan rasuah dalam isu membabitkan kononnya untuk kelulusan membina mitigasi banjir bernilai RM5 juta sekiranya calon BN diberikan kemenangan oleh pengundi.

Naib Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai rombongan menyerahkan laporan kepada Pegawai Penyiasat SPRM dengan diiringi Timbalan Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah-Ngah dan Pengerusi Cabang PKR Temerloh, Ahmad Nizam Abdul Hamid.



Turut serta ialah Setiausaha DAP Pahang, Choong Siew Onn, Adun Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar dan kira-kira 30 penyokong PR.

Dalam laporan tersebut yang kemudiannya diedarkan kepada media antara lain berbunyi:

Kami dengan ini membuat laporan kepada SPRM bagi memohon satu penyiasatan dibuat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan pimpinan yang lain yang semasa berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu Sarawak telah melakukan berbagai perkara yang kami sifatkan mengandungi ugutan berbentuk rasuah.

“Kami ingin membuat aduan atas satu pendedahan yang disiarkan dalam laman Malaysiakini bertarikh 13 Mei 2010 jam, 6.37 yang kami sifatkan penyalahgunaan kuasa dan kedudukan secara jelas sebagai Perdana Menteri bagi menawarkan peruntukan untuk membina mitigasi banjir bernilai RM5 juta sekiranya rakyat Sibu memenangkan calon BN pada PRK tersebut.”

“Dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman tersebut telah menunjukkan secara jelas Najib telah membuat tawaran berbentuk rasuah dan salah guna kuasa apabila menyebutkan:

“Mari kita membuat perjanjian. Jika anda memberikan sokongan kepada Robert Lau Jr pada hari Ahad, saya akan menandatangani cek pada hari Isnin.”

“Mengikut penelitian yang kami terdapat sekurang-kurangnya 20 projek segera diumumkan yang menelan belanja berbilion ringgit diumumkan sepanjang tempoh berkempen.

“Sebagai contoh, pada 10 Mei 2010 (Utusan Online) melaporkan sejumlah RM1 bilion diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tebatan banjir di Sibu.

“Pada 15 Mei 2010 beliau mengumumkan penurunan bayaran premium tanah sehingga 50 peratus daripada kadar asal.

“Pada 12 Mei 2010 Perdana Menteri mengumumkan pemberian siaran televisyen satelit percuma di pedalaman Sabah dan Sarawak. Najib turut memberikan sumbangan sebanyak 50 unit komputer kepada para pelajar yang layak di Parlimen Sibu.

“Apa yang mendukacitakan kami ialah pada setiap kali pilihan raya terutamanya pada PRK pemimpin Umno/BN telah membudayakan anasir rasuah melalui pelbagai cara termasuk ugutan sehingga mencemarkan amalan ketelusan demokrasi di negara ini.

“Selain daripada itu kami amat risau tentang perjalanan kewangan negara yang tidak sihat apabila pemimpin kerajaan menyalurkan bantuan bersifat ‘segera’ yang memungkinkan berlakunya ketirisan dalam penyaluran dana awam.

“Sebagai pemimpin pertubuhan politik yang sah kami amat prihatin dan bertanggungjawab atas perjalanan dana awam di negeri agar ianya diurus secara telus dan berintegriti.

“Oleh kerana isu ini telah didedahkan oleh media berulang kali dan telah menjadi perhatian umum yang ada kepentingan awam maka di sana telah wujud banyak keraguan yang sehingga kini tidak mampu diperjelaskan.

“Maka kami dari Pakatan Rakyat memohon pihak SPRM menggunakan kuasa menyiasat i bawah peruntukan undang-undang Seksyen 21 (1) Akta Pencegahan Rasuah atau lain-lain seksyen yang ada pada bidang SPRM.

“Kami memohon suatu bentuk penyiasatan yang terperinci dilakukan bagi menjaga kepentingan rakyat dan kewangan negara.”

Gambar:

1. Pimpinan PR Pahang bergambar ramai di hadapan pejabat SPRM Temerloh

2. Mohon disiasat... Tuan Ibrahim (tiga, kiri) menyerahkan aduan kepada Pegawai Penyiasat SPRM Temerloh




No comments:

Post a Comment