Sunday, May 23, 2010

Datuk Zaha kritikal semula, penduduk Kerdau kembali gelisah...

TEMERLOH: Setelah beberapa hari dikeluarkan ke wad biasa, Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang (Adun) kawasan Kerdau Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, kembali berada dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke ICU Institut Jantung Negara (IJN) kerana koma.

Menurut laporan, keadaan organ jantung dan paru-paru beliau juga dikatakan berada dalam keadaan lemah. Laporan yang baru diterima dari sumber yang boleh dipercayai, buah pinggang dan hatinya dikatakan gagal berfungsi dengan baik.

Pada 9 Mei lalu bekas anggota skuad "James Bond Malaysia" ini telah dimasukkan ke Hospital Temerloh akibat komplikasi jantung selepas pembedahan ulser usus.Akibat makin kritikal, beliau kemudiannya telah dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Sebelum ini, beliau yang merupakan berstatus duda, telah menjalani pembedahan tetapi akibat penyakit-penyakit lain yang dihadapinya seperti serangan jantung dan kencing manis, membuatkan keadaannya bertambah teruk.

Beliau sebelum ini dikatakan telah banyak kali keluar masuk hospital termasuk tiga kali dimasukkan ke ICU. Keadaan ini menyebabkan beliau tidak banyak dapat menumpukan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Suasana baru ini telah menimbulkan spekulasi negara mungkin terpaksa menghadapi satu lagi pilihan raya kecil (PRK).

Pada PRU 12 2008, Zaharuddin yang pertama kali bertanding sebagai calon BN menggantikan Datuk Redzuan Harun, mengalahkan calon PAS Hasanuddin Salim (Ketua Penerangan PAS Pahang) dengan majoriti 1,615 undi. Zaharuddin mendapat 8,451 undi berbanding Hasanuddin (6,789).

N. 28 Kerdau terletak dalam Parlimen Kuala Krau di mana YDP Kawasannya ialah Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Peratusan pengundi terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus Orang Asli.



No comments:

Post a Comment