Wednesday, May 19, 2010

Exco gagal bantu keluarga miskin luluskan permohonan SPNB

LANCHANG: Meskipun keluarganya merupakan pengundi kepada Adun Lanchang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin, namun Exco itu masih gagal membantunya meluluskan permohonan mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Bayangkan jika anda tinggal dalam sebuah rumah usang saban tahun ditenggelami air banjir dan hanya mempunyai pendapatan RM400 sebulan.

Dengan pendapatan di bawah paras kemiskinan itu anda terpaksa pula menyara enam anak termasuk dua anak Orang Kelainan Upaya (OKU).

Memang kita tidak sanggup melalui keperitan itu tetapi bagi Abdul Rahman Ibrahim, 60 dan isterinya Jelipah Tot, 51, itulah rutin hidup yang terpaksa mereka harungi untuk meneruskan hidup.

Tinggal dalam rumah usang dibina atas tanah rizab masjid ihsan penduduk kampung dalam kawasan kebun getah mereka juga terdedah kepada penyakit akibat persekitaran yang semak dan dipenuhi nyamuk.

Rumah yang didiami keluarga miskin itu juga saban tahun ditenggelami air banjir dan mereka terpaksa berpindah ke balai raya berhampiran sejak 10 tahun lalu setiap kali musim banjir tiba.

Abdul Rahman berkata, bukan mereka tidak memohon bantuan tetapi sampai kepada tahap merayu supaya Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Pahang meluluskan permohonan mereka untuk memiliki rumah sendiri.

Isterinya Jelipah berkata, setelah 10 tahun tinggal dalam kawasan mudah banjir di Kampung Kuala Kaung, dia dan keluarga tabah meneruskan hidup.

Saban hari rutin hariannya hanyalah mengambil upah menoreh getah penduduk kampung dengan pendapatan RM400 sebulan. Jika musim hujan pendapatannya tinggal separuh daripada jumlah itu.

Dengan pendapatan itulah dia menyara enam anaknya termasuk dua OKU kerana suami tidak mampu lagi bekerja setelah diserang strok dua tahun lalu.

Sebelum ini suaminya bekerja sebagai pencuci longkang dengan Alam Flora tetapi sekarang tugas mencari rezeki dipikul sepenuhnya Jelipah.

Menurutnya, permohonan untuk mendapatkan rumah telah dibuat melalui wakil rakyat dan pejabat daerah namun masih belum ada jawapan.

“Kami merayu kepada SPNB supaya meluluskan permohonan kami kerana tidak sanggup lagi tinggal dalam keadaan rumah yang uzur,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankusa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Kaung/Sempadan Mohd Norawi Abd Rani berkata, permohonan keluarga itu telah diajukan kepada wakil rakyat.

Menurutnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin beberapa kali merayu kepada SPNB supaya disegerakan pembinaan rumah bagi keluarga terbabit.

“Kami telah membantu keluarga terbabit mendapatkan sebidang tanah bagi pembinaan rumah keluarga Abdul Rahman.

“Masalah yang berlaku dipercayai di pihak SPNB sendiri kerana semua permohonan mengikut prosedur telah dibuat termasuk melalui pejabat daerah dan tanah Temerloh,” katanya.

Sehubungan itu mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghubungi keluarga Abdul Rahman melalui ketua kampung Mohd Norawi di talian 013-9605841.

Gambar ~
Jelipah melayan telatah anak keempatnya, seorang OKU Affendi Abdul Rahman, 27, di hadapan rumahnya




No comments:

Post a Comment