Thursday, May 6, 2010

Pak Andak Manaf kembali...

Oleh SYED PUTRA SYED AHMAD

Saya menerima panggilan telefon daripada Kak Ti atau Puan Fakriyatie Lotfie pada jam 11.29 pagi tadi memberitahu bahawa bapa mertuanya, Hj Abd Manaf Arif@Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Andak Manaf, telah kembali ke rahmatullah beberapa minit sebelum itu di rumahnya di kampung Buntut Pulau, temerloh.

Pak Andak Manaf adalah bapa kepada kawan-kawan sekolah saya, iaitu Hj Amir Roslan, arwah Amirul Azam dan Abu Bakar. saya mempunyai sejarah persahabatan yang panjang dengan ketiga-tiga adik beradik ini, terutama Amir Roslan (suami kak ti) dan arwah Amirul Azam.

Semasa hayatnya, pak andak bertugas sebagai pemandu di Klinik Kesihatan Temerloh sehingga pencen. Namun beliau bukan sebarangan pemandu. Beliau juga merupakan aktivis masyarakat dan kesatuan sekerja yang komited dan bersuara lantang.

Sikap dan fikrah itu berkekalan sehinggalah beliau pencen dan dilantik sebagai imam masjid kampungnya itu. Malah ia kekal hingga ke hujung hayat beliau.

Pak andak pernah mencetuskan 'kecoh besar' sedikit masa lalu di daerah Temerloh apabila beliau tidak membaca khutbah mahupun doa yang disediakan oleh Jabatan Agama Islam Pahang ketika menjadi khatib di situ, tetapi sebaliknya membaca siri khutbah dari Masjid Rusila.

Pak andak merupakan pengagum soekarno dan para pemimpin berani lain yang pernah mencabar kebobrokan dunia masing-masing demi kebaikan dan keadilan masyarakat mereka.

Ini tidaklah memeranjatkan kerana ketika pasukan tentera semut, angkatan pemuda insaf, berlatih berkawad di padang kampungnya - yang berkebetulan terletak betul-betul di hadapan rumah beliau - di bawah pimpinan Ishak Hj Muhammad Dan Ibrahim Hj Yaakob, pak andak sudah remaja belia.

Beliau disahkan mengidap barah paru-paru pada 30 disember tahun lepas dan hari ini pak andak telah kembali menemui tuhannya sewaktu berusia 78 tahun dengan aman dan reda.

Kali terakhir saya bertemu beliau ialah ketika saya datang menziarahinya di rumah beliau sedikit masa lalu. saya berkesempatan berborak dan melayannya makan dan minum. Beliau mengadu tidak selera makan. Saya cuba menggiatnya supaya makan, walaupun sedikit.

Pak andak adalah 'orang masyarakat'. Dia biasa bersama-sama orang banyak. Justeru, terlantar di katil sakit dan 'keseorangan' begitu, bukanlah idea atau keadaan yang serasi dengannya, fikir saya ketika itu.

Beliau bercerita bahawa ketika di hospital, selera makannya ada dan setiap hari para misi akan datang bertanyakan menu makan yang diingininya. saya sempat berseloroh dengan isteri beliau, mak andak, supaya melakukan perkara yang sama, iaitu bertanyakan menu makan yang beliau ingini setiap hari sebegitu.

Sewaktu beliau masih boleh bergerak bebas dan memandu, saya berkesempatan minum bersama-samanya di Restoran Al-Jalal, Jalan Bahagia. Beliau sentiasa bersemangat dan lantang bercakap tentang masyarakat, politik dan negara seperti selalu. Itu kali terakhir saya minum dengannya.

Beliau disemadikan selepas solat asar di tanah perkuburan kampung Buntut Pulau yang terletak menghadap padang kawad api itu bersama-sama ramai anak tempatan lain yang pernah mencabar dunia dengan cara masing-masing.

Di situ jugalah disemadikan arwah tarmizi mat zain@mizi dengkot dan kang dua beradik, iaitu firdaus@tasan dan aizat@segar. Mereka juga pernah mencabar dunia dengan cara mereka sendiri.

Duduk tepi perigi
ingat jangan leka
hidup biar berani
tanda kita jaga.

Duduk tepi perigi
ingat jangan alpa
ambil suluh hati
terangi kampung kita.


Selamat jalan pak andak dan anak-anak dunia yang berani. sehingga berjumpa lagi.

-----------------------------
Nota foto: padang kampung buntut pulau. tanah perkuburan terletak di sebelah kiri, sementara rumah arwah di sebelah kanan, di belakang barisan pokok kelapa.





No comments:

Post a Comment