Wednesday, June 9, 2010

“Kerajaan dan peniaga berlaga, rakyat mati di tengah-tengah”


Balik-balik, rakyat jugalah yang akan menjadi mangsa.

Jika dahulu rakyat sering terpaksa menghadapi kekurangan bekalan barangan kawalan di pasaran akibat pertembungan antara peniaga dengan kerajaan, kini suasana getir itu akan muncul lagi.



Dulu apabila para peniaga mahu menaikkan harga sesuatu barang kawalan kerana mendakwa kos meningkat dan pihak kerajaan pula menghalangnya, maka berlakulah ketiadaan barangan tersebut di pasaran sehinggakan menjadi kerumitan kepada orang ramai untuk mendapatkannya.

Lazimnya setelah harga jualan dinaikkan, barangan tersebut akan berlambak semula.

Kini 20,000 peruncit seluruh Negara mengugut akan menghentikan jualan gula, minyak masak dan tepung mulai 15 Jun ini.

Tindakan tersebut diambil berikutan peraturan baru yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Pengguna (KPDKP) yang mahu peruncit mengambil lesen atau permit penjualan setiap jenis barangan.

Peruncit membantah dan mendakwa, mereka sehingga kini terpaksa mengambil 11 jenis lesen tahunan dengan bayaran sebanyak RM1,107. Sedangkan, dakwa mereka, untung bagi barangan kawalan sangat sedikit.

Menteri (KPDKP) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula bertegas peniaga mesti mengambil lesen runcit setiap barangan kawalan itu berkuatkuasa 15 Jun ini, dengan alasan bagi memudahkan pihaknya membuat pemantauan.

Sambil kita tidak menafikan kepentingan kedua-dua pihak, kita juga ingin bertanya di manakah hak dan keutamaan kepada rakyat? Sebab apa saja tindakan yang diambil kedua-dua pihak nanti kesannya pasti akan membebankan rakyat.

Selalunya begitulah.

Di mana konsep “rakyat diutamakan”?

Sepanjang 50 tahun ini rakyat selaku pembeli dan pengguna utama sering dipermainkan apabila peruncit mahu bertindak sesuatu. Rakyat akan menjadi separuh gila apabila barangan dicatu atau disorok.

Setiap kali berlaku demikian, umpamanya kepayahan gula di pasaran, kerajaan akan tampil dengan kenyataan bodoh “kurangkan pengambilan gula... kerana ia merbahaya untuk kesihatan...”

Atau, “Gula cukup sebenarnya tetapi salah orang ramai membuat pembelian panik”.

Begitulah alasan standard yang sering diberikan.

Penulis masih ingat, pada tahun-tahun 1960-an ketika berlaku ketiadaan gula atau lain-lain barangan, kerajaan akan melancarkan operasi “anti-sorok”. Sehingga kini, jika peniaga mahu memprotes kerajaan melalui sorokan barang, kerajaan akan mengalah.

Nampaknya sepanjang lebih separuh abad merdeka ini, Kerajaan Umno/BN masih gagal mengawal barangan di pasaran walaupun barangan tersebut diisytiharkan sebagai “barangan kawalan”.

Siapa yang lebih berkuasa di negara ini sebenarnya, kerajaan atau peniaga?


No comments:

Post a Comment