Monday, June 7, 2010

Kontroversi mematangkan Kerajaan Pakatan Selangor – Hassan Ali

Apabila negeri Selangor jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum (PRU) pada Mac 2008, sepanjang tempoh itu negeri paling kaya dan maju di negara ini itu tidak henti-henti dihujani dengan pelbagai isu dan kontroversi yang sengaja ditimbulkan media.

Sekecil-kecil perkara pun diungkit bagi menggambarkan PR tidak mampu memerintah, menyeleweng dan mendapat tentangan rakyat.

Keadaan ini sememangnya mencemaskan semua orang terutama penyokong PR di seluruh negara. Namun umpama guruh berdentum hujan tak jadi, tiada apa yang sebenarnya berlaku. Tidak ada pemimpin yang diseret ke mahkamah. Malah Kerajaan Pakatan Selangor terus mendapat sanjungan rakyat negeri itu.

Jika rakyat menikmati pelbagai kemudahan seperti air percuma, wang kebajikan dan pelbagai lagi, laporan Ketua Audit Negara 2008 pula mengesahkan kerajaan negeri di bawah pemerintahan PR mempunyai rekod pentadbiran yang baik dan bersih.

Persoalannya kenapa media masih meneropong keburukan-keburukan kecil tetapi memejamkan mata daripada melihat kebaikan yang besar-besar?

“Saya fikir media arus perdana sudah begitu lama berada di bawah pemerintahan BN sehingga belum dapat menyesuaikan dengan PR dalam masa dua tahun ini atau tidak biasa memberi liputan kepada PR sebagaimana mereka laporkan untuk BN. Kedua media-media ini sebenarnya milik parti-parti dalam BN seperti Umno, MCA dan MIC sehingga terpaksa menjaga kepentingan kumpulan masing-masing dan berusaha untuk mempertahankan BN.”

Demikian diucapkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur Dan Kemudahan Awam negeri Selangor yang juga Pesuruhjaya PAS Datuk Dr Hassan Mohd Ali, ketika diminta pendapatnya.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu ditemui semasa menyertai program PAS di Bera. Inilah kali kedua beliau bertandang ke Pahang selepas memenangi PRU yang lalu.

“Semua kontroversi yang timbul mematangkan Kerajaan Pakatan yang baru berusia dua tahun dua minggu ini,” ujarnya.

Pun begitu Dr Hassan yang juga Adun Gombak Setia itu tidak menolak beberapa isu yang sengaja diperbesarkan dan diadu domba menjadi sensasi. Contohnya baru-baru ini kecoh isu penyelewengan pasir di Selangor. Penyelewengan tersebut didedahkan oleh wakil rakyat Pakatan sendiri.

Apa sikap PAS Selangor mengenainya?

“Sebagaimana yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor menolak penyelewengan dan rasuah jadi PAS bersetuju dengan tindakan-tindakan yang diambil. Sumber dan khazanah negeri Selangor mesti diuruskan dengan baik supaya keuntungannya kembali kepada negeri dan rakyat”.

“Mungkinlah sesetengah sahabat kita ada yang ‘terlebih bersemangat’ sedikit sehingga ghairah mendedahkannya kepada media. Apa yang kurang disedari ialah perancangan musuh yang tidak habis-habis memasang strategi”.

“Saya selaku Pesuruhjaya PAS Selangor bersama teman-teman dalam PR dan rakyat mengalu-alukan sebarang pendedahan jika berlaku sesuatu yang tidak kena. Menteri Besar Tan Sri Khalid (Ibrahim) sendiri mengumumkan akan melaksanakan cadangan mewujudkan indeks integriti dalam usaha mengekalkan pentadbiran bersih untuk rakyat,” ujar Dr Hassan.

Cuma, kata Dr Hassan, buatlah aduan ikut saluran parti dan pentadbiran negeri, bukannya media.

“Bagi saya lebih banyak bukti didedahkan lebih baik untuk tunjukkan betapi telusnya kita. Tapi mestilah melalui saluran yang betul. Sebab kalau melalui media akan diambil kesempatan oleh musuh.”

Umno berusaha tawan Selangor

Sebagaimana diketahui umum Selangor merupakan negeri paling kaya dan maju di negara ini. Pendapatan dan hasil negerinya tinggi dan mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan. Rakyatnya pula mewah dan bermaklumat.

Justeru ‘kehilangan’ Selangor kepada BN sudah tentu seakan-akan kehilangan negara ini sendiri kepada pembangkang. Justeru Umno/BN berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk merampasnya kembali.

Kata orang lebih mudah merasuah atau membeli wakil rakyat untuk melompat daripada membeli rakyat untuk mengundi dalam pilihan raya. Ini antara sebab kejatuhan Kerajaan Pakatan Perak dahulu.

Menurut Dr Hassan, usaha demi usaha untuk merampas kuasa itu ada.

“Tetapi di Selangor ini sukar sedikit sebab majoriti PR besar iaitu 35 berbanding BN hanya 21. Ini bermakna kita mempunyai perbezaan 15 kerusi. Tidak seperti Kedah ynag hanya lebih 4 kerusi, jadi keadaan di negeri itu lebih membimbangkan berbanding Selangor. Di pihak PAS sahaja ada 8 kerusi. Dan kita PAS tiada sejarah melompat parti. Jadi rampasan sebelum PRU ini rasanya sukar.”

Namun begitu mentadbir negeri yang tidak sealiran dengan pusat memang merumitkan dan banyak kesulitan. Antaranya ialah tekanan daripada kerajaan pusat.

“Kita terpaksa menghadapi beberapa tekanan daripada Kerajaan Pusat, Pertamanya dari segi pembangunan. Kalau dulu semasa Kerajaan BN ada peruntukan daripada Kementerrian Luar Bandar dan Wilayah, sekarang sudah tidak ada lagi.”

“Keduanya banyak bajet yang diluluskan sebelum PRU 2008 tetapi ditarik balik atau dialihkan ke saluran-saluran lain. Ketiganya pendidikan. Ada 23 buah sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dulunya diserahkan oleh kerajaan BN kepada Kerajaan Persekutuan”.

Akhirnya kerajaan Selangor tidak ada kuasa lagi. Apa yang dapat dilakukan ialah melahirkan sekolah-sekolah beraliran vokasional dan maahad tahfiz yang baru.

“Selain itu kita juga sedang membangunkan sekolah agama rakyat (SAR). Jadi dengan sekatan-sekatan daripada pusat memang kita agak sedikit tergugat tetapi tidaklah sampai merencatkan sistem pendidikan kita.”

Suatu hal lagi, tindakan tidak demokratik pusat sangat ketara antaranya banyak mesyuarat-mesyuarat yang melibatkan Kerajaan Persekutuan dan wakil Kerajaan Negeri kita tidak dijemput. Akibatnya sering timbul kerumitan.

Hubungan erat antara parti Pakatan Selangor

Antara propaganda yang sering dimainkan ialah wujud pergeseran sesama parti dalam PR Selangor teruma melibatkan beberapa isu yang dikaitkan dengan kaum dan agama.

Dalam hal ini Dr Hassan dengan berterus terang berkata di peringkat kepimpinan hubungan sangat erat sehingga pelbagai isu yang timbul boleh dibincangkan duduk semeja. Ini sudah tentu amat memberangsangkan kerana dalam tempoh singkat permuafakatan menubuhkan kerajaan sudah kukuh.

Ini berbbeza dengan komponen BN yang meskipun lebih setengah abad duduk dalam satu gabungan, masih sering timbul percakaran sesama parti.

“Hubungan antara parti baik dan tidak ada masalah besar. Contoh terdekat ialah mesyuarat exco di mana semua wakil parti ada. Saya lihat mesyuarat lazimnya berlangsung dalam keadaan sangat murni dan meraikan antara satu sama lain sehingga tidak kenal dalam mesyuarat tersebut ada wakil PKR, DAP dan PAS.”

“Pada saya MB sendiri setakat ini sangat berjaya menyatukan pendapat-pendapat antara kita. Ini kehebatan beliau. Anggota exco melihat bahawa rancangan jangka panjang bersama kita, mengatasi kepentingan parti masing-masing, ialah untuk menyelamatkan rakyat dan negeri Selangor.”

‘Kami sama-sama sedar bahawa majoriti besar yang kita perolehi dalam PRU lalu merupakan amanah besar untuk kita pikul. Jadi dengan semangat ini kita rasakan PR di Selangor sukar digugat pada masa depan,” ujar Dr Hassan.

Namun suatu perkara yang tidak dapat dielakkan daripada tanggapan umum ialah sikap majoriti orang Melayu Selangor masih terus bersama Umno/BN. Berdasarkan pilihan raya kecil (PRK) Hulu Selangor baru-baru ini ternyata majoriti orang Melayu masih belum menyokong PR.

Meskipun ada yang berhujah Melayu di Hulu Selangor merupakan Melayu pinggir bandar dan kawasan Felda yang sudah sememangnya menjadi kubu terakhir kepada Umno/BN selama ini.

“Ya, itu kita terima. Dan kita sedar bahawa cabaran untuk memperoleh undi Melayu sudah tentu terletaknya lebih besar kepada PAS dan PAS ambil cabaran ini dan akan cuba dalam keadaan lebih bersiap sedia kali ini dengan beberapa strategi terutamanya informasi. Kita awal-awal lagi melaksanakan gerak kerja parti.”

“Sekadar memberitahu, di PRK Sibu membantu DAP baru-baru ini PAS Selangor menghantar kontingen paling besar berbanding PAS negeri-negeri lain. Ini bermakna kita sudah memulakan latihan untuk bersiap sedia ke arah pilihan raya.”

Jika pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kota Bharu baru-baru ini Tan Sri Khalid Ibrahim paling mendapat perhatian perwakilan, pada Muktamar Agung PAS akan datang apa pula isu-isu besar yang akan dibawa untuk dibahaskan oleh perwakilan PAS Selangor?

“Kita akan membawa pengalaman-pengalaman Selangor menangani orang-orang bukan Islam. Kerana ini sangat berguna bagi Johor, Negeri Sembilan dan Pahang sendiri. Kita juga akan berkongsi bagaimana untuk kukuhkan PR Selangor kepada negeri-negeri lain.”

“Kita juga akan brain-storming bagaimana untuk meletakkan PAS menjadi pilihan orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.PAS Selangor sudah ada menunya. Mungkin PAS dari negeri lain boleh menambah perencahnya.”



No comments:

Post a Comment