Wednesday, June 9, 2010

Untuk pengunjung ke Muktamar PAS: Tempat-tempat di Kelantan


Bermula Rabu ini, PAS akan melaksanakan Muktamar Agung kali ke-56 di Pusat Tarbiyah
Nama Bachok dikatakan berasal dari dua perkataan Siam iaitu Ban dan Choh. Ban bererti kampung dan Choh pula bermakna jala/jaring untuk menangkap ikan. Orang Siam memanggil tempat itu Ban Choh kerana mata pencarian penduduknya tertumpu kepada menangkap ikan. Sebutan Ban Choh akhirnya bertukar menjadi Bachok mengikut loghat Kelantan.

Secara umumnya, Gua Musang bermaksud "gua atau tempat musang". Ia sebuah pekan kecil yang diselusuri oleh jalan keretapi. Terletak kira-kira 160 km di Ulu Kelantan di selatan Kuala Krai. Di bahagian timur pekan ini, ada sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Gua Musang setinggi 105 meter. Pada masa dahulu sebelum diterokai, kawasan ini dihuni oleh masyarakat orang asli yang hidup dengan memburu, suka berpindah-randah dan tidak bergaul dengan masyarakat lain.

Kejadian bermula apabila sekumpulan orang asli ini keluar berburu namun tidak mendapat hasil tangakapan. Mereka menanti seketika sehinggalah ternampak seekor ayam hutan yang berlari dengan pantas. Rupa-rupanya ayam hutan itu dikejar oleh musang dan mereka pun mengekori ayam itu. Namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila ayam tersebut hilang di dalam hutan tebal itu. Tidak lama selepas itu, mereka sekali lagi terserempak dengan seekor musang sedang mengejar ayam hutan tidak jauh dari tempat kejadian yang pertama tadi. Kali ini juga mereka tidak sempat menyumpit ayam hutan itu. Kedua-dua kejadian ini menghairankan mereka kerana sebelum ini kejadian seumpama itu tidak pernah berlaku. Biasanya mereka dapat menyumpit binatang yang diburu, akan tetapi pada hari itu mereka terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Pada hari berikutnya apabila mereka keluar berburu, kejadian yang sama juga berlaku di mana mereka ternampak musang sedang mengejar ayam hutan di tempat yang sama ditepi sebuah gua. Mereka cuba menyumpit ayam hutan itu tetapi gagal dan kejadian ini menambahkan lagi kehairanan mereka. Keesokkan harinya mereka keluar meramai-ramai untuk mengesan tempat hilangnya ayam-ayam hutan yang dikejar oleh musang sejak beberapa hari lalu. Mereka menjumpai satu lubang yang menyerupai seekor musang sedang mengejar seekor ayam.

Setelah melihat bentuk gua tersebut mereka berasa takut dan terus meninggalkan tempat itu. Mereka menamakan tempat itu Gua Musang. Sekarang gua tersebut menjadi daya tarikan pelancong kerana di dalam gua itu terdapat batu dengan pelbagai bentuk. Ada bentuk yang menyerupai ular, kepala gajah, gendang, telaga air terjun dan buah belimbing.

Kota Bharu ialah ibu kota negeri Kelantan telah dibuka secara rasminya oleh Sultan Muhammad II (Sultan Senik Mulut Merah) pada tahun 1844. Namun kawasan penempatan di situ dipercayai telah diterokai lama sebelum itu. Apabila Sultan Muhammad I (Long Muhammad bin Long Yunus) mangkat pada tahun 1837, Long Zainal (adinda kepada Sultan Muhammad I) dengan sokongan sejumlah kerabat Diraja mengisytiharkan dirinya sebagai Yang DiPertuan Kelantan. Manakala Long Senik Mulut Merah (anak saudara kepada Almarhum Sultan Muhammad I dan Long Zainal) yang dipersetujui bakal pengganti oleh Almarhum Sultan Muhammad I telah diketepikan.

Kota Bharu terletak tidak jauh dari Sungai Kelantan. Perkataan "Kota" bermaksud sesebuah Bandar dan "Kota Bharu" adalah sebuah bandar yang baru. Kota Bharu terletak di Tebing sebelah Timur Sungai Kelantan dan agak jauh dengan landasan keretapi yang terletak di Tebing sebelah Barat Sungai Kelantan.Bandar ini adalah pusat komersil dan ekonomi serta juga Bandar Diraja Kelantan.

Machang terletak 43.5 kilometer di selatan Kota Bharu. Sejarahnya bermula sebelum banjir besar pada tahun 1926, apabila negeri Kelantan dilanda suatu ribut yang dahsyat dan banjir besar. Ribut itu telah merosakkan hampir semua perkampungan di negeri Kelantan. Malapetaka tersebut telah memusnahkan semua tanaman penduduk kampung dan penduduk negeri Kelantan hidup dalam kesusahan. Ini menyebabkan kebanyakkan anak-anak muda terpaksa berhijrah ketempat lain bagi mencari tempat baru yang lebih selamat untuk memulakan kehidupan baru.

Antara anak muda yang keluar merantau itu adalah Senik Awang Kechik. Beliau merantau dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bertemu satu tempat yang subur untuk bercucuk tanam. Kian hari kian bertambah rezeki Senik dan berita kemewahannya telah tersebar ke kampung yang berdekatan. Tempat Senik telah menjadi sebuah kampung dan ia dinamakan sempena nama buah machang atau Mangifera Foetida yang tumbuh di kampung tersebut.

Mengikut sejarah kewujudan Pasir Mas, sebuah penempatan telah dibuka oleh Che Leh (Salleh) Ismail atau lebih dikenali sebagai Che Leh Tok Pendekar. Beliau telah dipaksa ke Pasir Mas setelah tanahnya di Kota Bharu diambil alih oleh Sultan bagi tujuan membina istana. Pada masa itu, terdapat seorang guru agama dari Bachok, datang untuk mengajar kelas agama di Pasir Mas.

Guru agama itu kemudiannya pulang semula ke Bachok setelah selesai mengajar tetapi selang beberapa hari setelah kepulangan guru itu, secara tiba-tiba muncul 3 biji mangkuk emas dari dalam semak. Mangkuk ini kemudiannya berpusing membentuk pusar di sekitar semak dan secara tidak langsung, penduduk yang melihat kejadian itu menjerit ‘Mas! Mas!’. Perkataan pasir terbit kerana berdekatan penempatan yang terletak di tebing sungai Kelantan, terdapat beberapa longgokkan pasir sehingga membentuk padang yang luas. Pasir Mas adalah cantuman dari perkataan Pasir dan Mas.

Bandar Pasir Puteh terletak di tebing Sungai Semerak, kira-kira 30 kilometer ke selatan Kota Bharu. Sebelum dikenali sebagai Pasir Puteh, tempat ini terkenal sebagai Pangkalan Limbungan. Bandar Pasir Puteh mendapat namanya setelah Sultan Muhammad IV melawat tempat berkenaan di mana baginda begitu kagum dengan keputihan dan kilauan pasir sepanjang pantainya. Pada tahun 1911, Sultan telah bersetuju menamakan tempat berkenaan Pasir Puteh yang bererti pasir pantai yang putih. Tempat ini juga merupakan tempat dimana, pahlawan Kelantan iaitu Tok Janggut membina pasukan kepahlawanan Melayu bagi menentang kewujudan cukai di Kelantan. Pada tahun sebelum 1911, Jeram dekat Pasir Puteh diperintah oleh seorang pembesar yang bergelar Seri Maharaja Tua.

Tumpat terletak 22.5 kilometer di barat laut Kota Bharu. Tumpat bermaksud tammat atau penyudah sesuatu tetapi bagi perkataan Melayu, tumpat juga bermakna suatu ruang kosong yang penuh terisi. Mengikut cerita orang-orang lama/tua, Tumpat telah terbina sejak 190 tahun yang lalu. Barang keperluan terpaksa dibawa dari Kota Bharu tanpa jalan perhubungan yang sempurna dan apa-apa jua keperluan yang ingin dibawa keluar terpaksa menggunakan sampan. Pelabuhan ini semakin sibuk apabila pada awal kurun pemerintahan British membawa beberapa pembaharuan yang membolehkan pengangkutan lebih besar keluar masuk.

Sebelum ini hanya pengangkutan antara 300 dan 400 tan yang mampu berlabuh tetapi setelah itu lebih banyak pengangkutan dapat singgah sebelum meneruskan perjalanan ke pelabuhan Singapura. Ketua pelabuhan yang pertama ialah William Kerr seorang pegawai Inggeris dalam Perkhidmatan Awam Siam yang ditempatkan di Kelantan sebelum tahun 1909 yang datang dari Bangkok.Potret beliau telah digantung pada dinding Kelab Tumpat. Tumpat mempunyai 5 buah pulau kecil iaitu Tanjong Dato, Tanjong Pak Jah, Tanjong Che Mas, Tanjung Che Tahir dan Tanjung Rulah yang terletak di kawasan Kuala Sungai Kelantan di sebelah barat. Setiap satunya terletak berdekatan antara satu sama lain.

Rantau Panjang terletak kira-kira 45 km di sebelah Kota Bharu dan merupakan sebuah tempat yang terkenal dan sentiasa menjadi tumpuan ramai. Rantau Panjang juga adalah salah satu pintu masuk ke Malaysia dari negeri Thai. Perkampungan ini dinamakan sempena susun atur perumahan panjang yang dibina semasa pembinaan landasan keretapi di Kelantan pada tahun 1915. Rantau Panjang membawa maksud "perjalanan pencapaian yang panjang/lama" .


2 comments:

  1. dekat rumah tan sri yahya di temerloh depa panggil sungai rabit pasal apa, lepas tu kat jln nak pi triang depa panggil kg pangsa nam macamnana mai nama ni..

    ReplyDelete
  2. Oh...
    Dalam bahasa Temerloh kalau rabak, koyak atau pecah itu di panggil rabit... macam telinga rabit, maknanya telinga yang koyak akibat kemalangan.

    Di situ ada satu anak sungai yang masuk ke bandar Temerloh. Sungai itu bentuknya terpecah-pecah... jadi nak mudah orang tempatan panggil saja Sungai Rabit.

    Rumah arwah Tan Sri Yahya itu betul2 di pinggir Sungai Rabit. Tapi rumah tu dah dijual kepada Cina.

    Ada pun kampung Pangsanam itu dikaitkan dengan buah durian di situ yang ada enam pangsanya.

    Kat Jalan Triang ada lagi kampung yang guna nama durian: Durian Tawar, Durian Tikus, Durian Daun dan Durian Duduk.

    Demikianlah adanya...

    ReplyDelete