Monday, June 14, 2010

Ustaz Hasan Shukri: Kembalinya seorang pejuang Islam tulen

Baru hari Rabu lepas (9 Jun), pada sebelah malamnya, Ustaz Dato’ Hassan Shukri menerima anugerah semasa perasmian Muktamar Dewan-Dewan Pas Pusat oleh Mursyidul Am di Pusat Tarbiyyah islamiyyah Kelantan (Putik) dan pada keesokannya beliau menyertai Muktamar Dewan Ulama di Markas Dewan Ulama (Madu) di Machang.

Semua yang menemui dan melihatnya pada ketika itu, mengatakan beliau kelihatan sihat dna ceria.

Hari ini (14 Jun), bekas Timbalan Presiden, bekas Naib Presiden dan bekas Setiausaha Agung PAS itu meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang dipercayai akibat serangan jantung.

Menurut Harakahdaily, veteran yang pernah digelar “Perlembagaan PAS Bergerak” itu dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini (Isnin) baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana. Turut serta bersama beliau malam tadi adalah Haji Subky Latif dan Haji Abdul Rahman.

Sesampai mereka di rumah jam 10.30 malam tadi, Ustaz Hassan terus mengadu sakit dada tetapi hanya mengesyaki akibat dari pajeri nenas yang beliau makan malam tadi.
Selepas tidak berhenti sakit, kira-kira jam 9.00 pagi tadi, Ustaz Hassan dihantar anak beliau ke Hospital Selayang. Selepas itu dibawa ke Unit Rawatan Jantung (CCU) dan meninggal dunia kira-kira jam 2.00 petang.

Jenazah allahyarham dibawa keluar dari hospital kira-kira jam 3.40 petang. Hadir sama di hospital ialah Ketua Penerangan dan bendahari PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Dr Mohd Hatta Ramli.

Sebelum ini Allahyarham pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) oleh Kerajaan PAS Terengganu selepas Pilihan raya Umum kesepuluh (1999) lalu.
Beliau dianggap arkitek kepada Markas Tarbiyah PAS Pusat, Taman Melewar dan rumah beliau juga adalah bersebelahan dengan markas yang menjadi pejabat PAS sejak sekian lama sebelum berpindah ke Jalan Raja Laut.

Ustaz Hassan juga adalah orang penting di belakang draf perlembagaan untuk memboleh tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Beliau ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal pindaan perlembagaan untuk membolehkan DHPP ditubuhkan.

Jenazah Ustaz Hassan akan disembahyangkan jam 8.30 pagi esok di Surau Taman Melewar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selaseh 2.
Semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin... Amin.

No comments:

Post a Comment