Thursday, June 24, 2010

Rizab Felda susut: Laporan polis terhadap Najib, Ahmad Maslan

TEMERLOH: Berikutan penyusutan sehingga 65 peratus rizab tunai Felda, satu laporan polis telah dibuat terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan bagi disiasat sama ada terdapat unsur penyelewengan.

Laporan tersebut telah dibuat oleh Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman bersama lima orang peneroka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada 23 Jun, dengan diiringi kira-kira 50 orang penyokong.

Mazlan dalam sidang medianya selepas itu berkata, beliau membuat laporan polis berdasarkan jawapan Ahmad Maslan di parlimen pada 17 dan 18 jun lalu dan surat terbuka bekas Timbalan Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Dr Tan Kee Kwong sebelum ini.

“Berdasarkan pengakuan Ahmad Maslan status kewangan Felda merudum dari RM4.08 bilion pada 2004, kepada RM1.35 bilion pada 2009. Ini kejatuhan yang sangat dahsyat, iaitu kira-kira 65 % dalam tempoh lima tahun. Bagaimanapun penjelasan daripada Ahmad Maslan lebih banyak menimbulkan keraguan,” katanya.

Menurut Mazlan, antara alasan yang diberi oleh timbalan menteri itu ialah RM2 bilion digunakan untuk pembangunan tanam semula termasuk sara hidup dan pendahuluan hasil.
Sebanyak RM203 juta wang Felda juga digunakan untuk pinjaman rumah, RM253 untuk tabung kemiskinan Sabah dan RM662 untuk bangunan baru Felda.

“Semua alasan tersebut tidak logik dan menimbulkan banyak persoalan. Bagi setiap peneroka yang terlibat dengan tanam semula telah mencarum setiap bulan dan dipotong oleh pengurusan Felda selama 15 tahun dan dilaburkan pula. Mengikut kiraan kami, sebanyak RM3 bilion terkumpul untuk tujuan itu. Jadi mengapa perlu dibelanjakan sehingga RM2 bilion lagi?

“Bagi setiap pinjaman perumahan yang dibuat peneroka pula merupakan hutang yang dibayar balik setiap bulan. Mereka dikenakan kos pengurusan 2.5 peratus. Jadi mengapa perlu dikeluarkan RM603 juta itu. Ke mana wang tersebut dibelanjakan?,” soal Mazlan.
Mengenai wang Felda dibelanjakan untuk membiayai kemiskinan di Sabah, Mazlan berkata ia tidak relevan kerana jumlah penempatan peneroka di negeri tersebut terlalu kecil.

"Felda Plantation, Estet Felda yang terbesar di Malaysia terletak di Felda Gugusan Sahabat (Sabah). Kenapa tidak digunakan keuntungan dari Felda (Plantation)itu,'' soal Mazlan lagi.

Mazlan turut mempertikai harga bangunan baru Felda setinggi 50 tingkat yang dibina di Platinum Park KLCC yang mencecah RM662 juta kerana laporan sebuah akhbar harian sisipan khas pada 26 Februari 2008, menyebut bangunan tersebut ialah RM640.77 juta.

“Kenapa berlaku perbezaan harga yang sangat ketara?,” soal Mazlan.

“Isu ini sangat besar kerana membabitkan kepentingan 112,635 orang peneroka dan lebih 800,000 generasi baru Felda. Kita tidak mahu wang milik institusi pembangunan tanah bertujuan membasmi kemiskinan orang Melayu ini dibazirkan sesuka hati”.

“Sebab itu kami mendesak laporan polis ini disiasat dan tindakan segera termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat dilakukan segera,” ujarnya.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanudin Salim, Pengerusi Cabang PKR Kuala Krau, Haji Suhaimi Said, Timbalan Presiden ANAK Aris Fezul Ismail dan Pengerusi Cabang PKR Maran Bustamin Abu Bakar.


Gambar:

Sebahagian daripada kira-kira 50 orang yang hadir ke IPD Temerloh setelah membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Menteri Datuk Ahmad Maslan berkaitan kemerosotan 65 % rizab tunai Felda.





No comments:

Post a Comment