Saturday, February 12, 2011

Mari doakan Ustaz Ismail Kamus sihat

Saya menyeru kepada semua pencinta Islam dan ilmu agar mendoakan kesejahteraan dan kesihatan pendakwah terkenal, Ustaz Datuk Ismail Kamus, 62, yang kini berada dalam kondisi yang tidak sihat.

Menurut sumber yang amat boleh dipercayai, bekas Adun PAS Gombak Setia itu kini masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Gleneagles Intan Medical Centre, Ampang, Kuala Lumpur.

Beliau dimasukkan ke situ akibat tekanan darah tinggi melampau (250), jantung bengkak serta kegagalan buah pinggang. Beliau juga dipercayai telah menghadapi diabetis sejak lama.

Sementara keadaannya dikatakan sudah stabil dan beliau telah sedar.

Ustaz Ismail yang terkenal ketika era ‘Forum Perdana’ dulu, dilahirkan pada 2 Dis 1948 di Kg. Batang Rening, Hulu Selangor. Mendapat pendidikan awal di Sek. Arab Batang Kali selama enam tahun sebelum ke Maahad Hisyamuddin, Kelang. Disana beliau sempat berguru dengan seorang ulama yang tersohor al-Syeikh Mahmood al-Arif al-Bukhari. Selepas menamatkan pengajian di sana, beliau melanjutkan pelajaran ke Kolej Islam Kelang dan Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) dan beliau memdapat Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan kepujian pada tahun 1976.

Ustaz Ismail Kamus pernah menimba pengalaman sebagai guru, pegawai penyelidik dan pegawai dakwah selain bertugas selama 15 tahun di Jabatan Islam Wilayah Persekutuan(JAWI), INTAN dan Pusat Islam. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai pakar rujuk Bahagian Hal Ehwal Islam(BAHEIS) Pusat Islam sebelum bersara secara pilihan.

Pada PRU 1999 Ustaz Ismail Kamus memenangi kerusi DUN Gombak Setia. Kini beliau berkhidmat sebagai perunding motivasi dan pendakwah bebas di samping menjadi penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia. Beliau juga giat membawa umat Islam Malaysia ke Tanah Suci Makkah.

Pada Ogos 2009 dulu, pernah tersebar SMS mengatakan Datuk Ismail Kamus yang ketika itu berada di Mekah, mengerjakan umrah.

Sesungguhnya dunia dakwah dan perjuangan Islam masih amat memerlukan kehadiran beliau. Marilah kita berdoa ke hadrat Ilahi moga-moga beliau segera pulih daripada sebarang kesakitan.

Amin....



1 comment: