KUALA LUMPUR: Akhirnya perjuangan peneroka Felda seluruh negara diiktiraf dan ditangani PAS secara fokus apabila parti itu membentuk pasukan petugas khas dan sekretariat untuk menangani isu-isu berkaitan peneroka dan dengan Felda secara lebih sistematik dan menyeluruh.
Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat jawatankuasa kerja pusat bulanan yang diadakan Ahad lalu.
Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh Naib Presiden Salahuddin Ayub manakala Sekretariat Khas Isu Felda pula diketuai oleh Mazlan Aliman, Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah.
Mazlan juga merupakan Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak).
“Penubuhan kedua-dua unit ini telah diputuskan Ahad lalu, PAS mahu lebih serius dalam isu-isu berkaitan dengan Felda... isu-isu menyentuh kepentingan peneroka Felda semakin serius dan lebih banyak isu baru timbul,” kata beliau seperti dipetik media.
“Ini keputusan penting kerana PAS mahu isu Felda ditangani dengan menyeluruh,” katanya lagi.
PAS selama ini mengetengahkan isu berkaitan dengan Felda menerusi biro tanah dan pembangunan wilayah.
Dalam pada itu, Mazlan pula berkata, sudah sampai masanya PAS menguruskan isu-isu berkaitan dengan Felda secara lebih tersusun dan lebih serius.
“Kami mendapati ia hanya dapat dilaksanakan dengan baik dan diselesaikan dengan baik jika kita mempunyai satu sekretariat khas dan pasukan petugas yang khusus,” kata beliau.
Jelas beliau, sekretariat khas ini akan menjadi badan pelaksana setiap isu atau masalah yang dibawa manakala pasukan petugas pula akan bertindak sebagai badan yang menangani isu-isu yang dibangkitkan.
“Sejak kebelakangan ini kita melihat bahawa isu-isu menyentuh peneroka Felda semakin banyak, contohnya kes saman... banyak kes saman mula dibawa ke atas Felda.
“Jadi kami melihat ada banyak lagi isu menyentuh kepentingan Felda, semua ini perlu ditangani dengan baik,” kata beliau lagi.
Akhir Julai lalu, Anak mengadakan pertemuan dengan pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah untuk membincangkan idea penubuhan kokus mengenai pengurusan dan pentadbiran Felda.
Antara isu yang pernah dibangkitkan ialah soal hak milik, pemberian pendapatan dan beberapa perjanjian antara agensi kerajaan itu dengan peneroka yang dilihat selama ini seperti menekan warga peneroka.
Akhir bulan lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan berhubung kes tuntutan manipulasi gred buah kelapa sawit.
Mereka menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.
Kes seumpama itu juga dibawa oleh peneroka Felda Maokil, Pagoh dan Felda Gugusan Raja Alias, Negeri Sembilan.
Sementara itu, ramai yang berpendapat jika PAS mahu memenangi undi Melayu maka parti itu mestilah memenangi sokongan pengundi Felda kerana di sesuatu pusat mengundi Felda terdapat tidak kurang 95 % Melayu.
Selama ini tanah-tanah rancangan tersebut sering dikaitkan dengan “simpanan tetap” Umno.
No comments:
Post a Comment