Monday, September 20, 2010

Peneroka tuntut janji Felda

SELENDANG: Seramai 132 peneroka Felda Selendang 2, merayu kepada kerajaan dan Felda supaya menyerahkan segera geran hak milik tanah kepada peneroka yang menjelaskan hutang Bayaran Kembali (BK).

Peneroka mendakwa, Felda sebagai agensi bertanggungjawab perlu mengeluarkan geran itu kepada peneroka yang menyelesaikan BK sejak beberapa tahun lalu.

Geran tanah itu penting sebagai jaminan pada masa depan terutama kepada mereka yang bersama Felda sejak 22 tahun lalu.

Mereka bimbang sekiranya geran itu tidak diserahkan, taraf atau keistimewaan mereka sebagai peneroka boleh dilucutkan serta-merta.

Justeru, peneroka berharap geran tanah itu diberikan segera supaya tidak menimbulkan masalah pada kemudian hari memandangkan mereka sudah selesa tinggal di tanah rancangan itu.



BK selesai penduduk tuntut rumah



Seorang peneroka, Absah Daud, 56, berkata, kebanyakan penduduk di Felda Selendang 2 sudah menyelesaikan hutang pembangunan tanah masing-masing.

Bagaimanapun katanya, terdapat penduduk yang belum menyelesaikan hutang mereka kepada Felda, namun diharapkan supaya Felda memberi pertimbangan kepada penduduk yang sudah menjelaskan BK.

“Kebanyakan penduduk sudah menjelaskan BK kepada Felda dan kami merayu kepada kerajaan dan Felda supaya dapat menyegerakan pemberian tanah kepada kami.

“Kami amat khuatir dan bimbang mengenai nasib kami pada masa depan dan berharap dapat menikmati geran tanah ini sebelum kami menutup mata (meninggal dunia),” katanya kepada Sinar Harian.

Absah berkata, peneroka di Felda itu sering ditabur dengan janji-janji manis yang mendakwa Felda akan menyerahkan hak milik geran tidak lama lagi seperti yang dinikmati Felda Selendang 1.

“Saya tidak nampak usaha ini akan menunjukkan sebarang hasil dalam masa terdekat,” katanya.



Tanah diukur tetapi tiada serahan



Seorang lagi peneroka, Ahmad Syukri Abdul Wahid, 47, berkata, mereka juga dimaklumkan tanah sawit dan kawasan rumah peneroka di Selendang 2 sudah diukur pihak bertanggungjawab.

Bagaimanapun katanya, geran tanah sehingga ke hari ini belum menunjukkan tanda-tanda akan diserahkan kepada peneroka dalam masa terdekat.

“Kami bimbang dengan situasi ini kerana apa yang penting adalah untuk memiliki hak milik kekal tanah supaya nasib kami terjamin pada masa depan,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Othman Dolah, 47, berkata, peneroka di situ menanam semula sawit bersama Felda atau menanam secara bersendirian.

“Kebanyakan peneroka memasuki fasa menanam semula sawit, ada di antara mereka memilih untuk bersama Felda dan ada juga yang menanam sendiri sawit.

“Sehingga kini, peneroka yang melunaskan hutang mereka masih tertunggu-tunggu penyerahan hak milik itu dilakukan Felda,” katanya.



Bimbang masa depan generasi kedua



Seorang peneroka, Mohd Khir Idris, 53, berkata, pengeluaran hak milik tanah kepada peserta tanah rancangan itu adalah penting memandangkan kebanyakan peserta uzur malah sebahagiannya meninggal dunia.

Tanah rancangan itu memasuki peringkat penanaman semula dan perlu mendapatkan geran hak milik untuk menerima kemudahan,” katanya.

Menurutnya, Felda perlu membuat pertimbangan sewajarnya untuk memberi geran hak milik tanah kepada mereka yang sudah menjelaskan BK dan tidak menyerahkan geran kepada yang belum melunaskan hutang.

“Jika tidak, ia tidak adil kepada kami yang bermati-matian melangsaikan hutang, sedangkan orang yang tidak menjelaskan hutang Felda juga mendapat faedah yang sama,” katanya.

Seorang lagi peneroka, Ramli Hasan, 63, berkata, apa yang dibimbangkan bukan sahaja masa depan mereka, malahan nasib anak-anak peneroka di Felda Selendang itu yang masih tidak mempunyai rumah.

Menurutnya, perumahan generasi kedua Felda perlu dibina di kawasan itu untuk menjamin masa depan anak-anak peneroka terutama mereka yang sudah berkahwin.

“Kami amat berharap Felda dapat membina perumahan generasi kedua di kawasan ini supaya nasib anak-anak peneroka terus diberi perhatian serius,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Felda Selendang 1 dan 2, Zainal Abidin Abdul Hamid berkata, masalah itu masih dalam penelitian dan tindakan pihaknya memandangkan sesetengah peneroka masih belum menyelesaikan BK.

“Kita hanya akan proses apabila semua peneroka menjelaskan BK dan sekiranya ada peneroka yang belum menyelesaikannya, ia tentu menyukarkan peneroka untuk mendapatkan geran tanah secepat mungkin,” katanya.

No comments:

Post a Comment