TEMERLOH: Peneroka Felda di Pahang menyangkal dakwaan agensi berkenaan yang menafikan berlaku masalah bekalan air di tanah-tanah rancangan di negeri ini terutama pada hari raya lalu.
Mereka sebaliknya meminta pegawai tertinggi Felda turun ke penempatan-penempatan peneroka bagi menyaksikan sendiri kesukaran mereka mendapatkan air serta berusaha menyelesaikan masalah yang telah berlarutan puluhan tahun itu.
Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 September lalu menyiarkan kenyataan Pengarah Pembangunan Komuniti dan Koordinasi Felda, Mohamad Ibrahim yang menafikan laporan akhbar Siasah bahawa bekalan air di Felda Purun, Bukit Damar, Lakum dan Jengka di Pahang berada di tahap kritikal.
Kenyataan tersebut bagi menafikan laporan berita Siasah yang bertajuk 'Peneroka derita beraya tanpa air' bertarikh 12 hingga 18 September dan menganggapnya tidak benar. Menurutnya, berita yang disiarkan itu hanya bertujuan memberi gambaran buruk terhadap Felda.
Siasah sebelum itu menyiarkan kenyataan peneroka-peneroka di tanah rancangan Felda di Pahang, sambutan hari raya biasanya akan menimbulkan fobia kepada mereka kerana pada ketika itu bekalan air akan menjadi begitu kritikal dan terputus kerana penggunaannya yang meningkat.
Laporan tersebut memetik kenyataan peneroka, masalah terputus bekalan air seolah-olah sudah menjadi “kewajipan”, di mana setiap kali Aidilfitri menjelma, kebanyakan kawasan akan dihantui masalah ketiadaan air dan berlarutan disebabkan tekanan air rendah akibat penggunaan meningkat.
Ini mengakibatkan generasi kedua Felda yang tinggal di perantauan tidak selesa untuk pulang cuti berhari raya lebih lama. Selain kesukaran untuk mendapatkan air minum dan mandi manda, penduduk juga menghadapi masalah untuk mengadakan rumah terbuka.
Anak peneroka Felda Purun, Bera, Che Zuhar Haron, 49, kesal dengan penafian yang dibuat oleh pegawai tinggi Felda tentang masalah air di tanah rancangan itu seraya mempelawa pegawai yang bertugas di ibu pejabat Felda turun sendiri melihat masalah peneroka yang sering terputus bekalan air.
Tambahnya, musibah tersebut bukannya baru malah sudah berlanjutan sejak 30 tahun terutama melibatkan Felda Purun, Mayam dan Kumai dalam Gugusan Bera.
“Sejak awal raya lalu kami sudah ditimpa masalah terputus bekalan air dan saya nafikan kenyataan pegawai berkenaan yang mengatakan masalah air di Felda ini selesai. Memang ada diletakkan tangki air Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) di simpang-simpang di sini, tetapi ia tidak menyelesaikan masalah peneroka.
“Bayangkan bagi peneroka yang dah tua, bagaimana mereka mampu untuk memunggah air? Dalam masa yang sama bil air paip kena bayar juga.
“Sebab itu saya minta pegawai dari ibu pejabat Felda turun sendiri dan bermalam di sini. Jangan dengar cakap pihak tertentu saja... mari jumpa dengan kami yang menghadapi musibah bekalan air ini yang sudah berlarutan sejak 30 tahun,” jelasnya.
Che Zuhar menambah, selain tangki yang sudah uzur di Felda Purun, beliau diberitahu saluran paip bawah tanah sudah diganti baru tetapi yang menghairankan masalah bekalan air tetap tidak pernah selesai justeru meminta pegawai tinggi Felda turun untuk menyelesaikan masalah penduduk bersama Jabatan Bekalan Air (JBA).
Masalah bekalan air di Felda Gugusan Bera sebelum ini sudah beberapa kali disiarkan dalam televisyen dan akhbar yang membuat tinjauan terhadap masalah tradisi yang dihadapi peneroka itu.
Sementara itu, akhbar Sinar Harian edisi Pahang bertarikh 15 September bertajuk ‘Bengang masalah air berulang’ turut menyiarkan rungutan penduduk sekitar Felda Purun, Mayam dan Kumai yang terpaksa merayakan Aidilfitri baru-baru ini dalam suasana ketiadaan bekalan air paip.
Ganguan bekalan air itu berlaku sejak sebelum raya dan berlarutan beberapa hari sehingga ramai peneroka yang terpaksa merayakan Aidilfitri di luar Felda.
Dalam pada itu Engku Norzaman Engku Mohamed, 41, dari Jengka juga turut bertegas bahawa masalah bekalan air memang berlaku terutama di kawasan bukit di Felda Jengka 8, 9 dan 12 dan pegawai tidak patut menafikannya.
“Bagi saya pegawai tinggi Felda di Kuala Lumpur tidak sepatutnya menafikan masalah utama yang menghantui peneroka ini. Lojiknya memang apabila kaum keluarga peneroka berkumpul tekanan air paip menjadi rendah terutama yang mendiami kawasan bukit.
“Pegawai dari Kuala Lumpur patut turun sendiri dan membuat kajian di mana puncanya supaya tidak ada pihak yang mengelak dengan menuding jari menuduh masalah bekalan air di Felda mahu dimanipulasikan. Ini penting supaya Felda tidak dipandang serong oleh masyarakat umum,” ujarnya.
Selamatkan Pahang akan meninjau dan mendedahkan lebih banyak kawasan Felda di negeri Pahang selepas ini bagi membuktikan wujud masalah bekalan air di kawasan berkenaan.
Gambar:
1. Keratan akhbar Sinar Harian 15 September
2. Keratan akhbar Utusan Malaysia
dulu, kini malah bertahun2...mungkin selamanya tiada tindakan dan perubahan pada masalah air di bera....raya kedua tahun ini, di felda bukit mendi dari petang hingga sekarang tak ada air setitik pun keluar dari paip....
ReplyDelete