Wednesday, September 29, 2010

Patin Pekan ancam Patin Temerloh

Ikan patin (nama saintifiknya Pangasius Sutchi) dari daerah Temerloh, Pahang sememangnya sudah terkenal kerana keenakan rasanyanya terutama apabila digulai dengan tempoyak. Sehingga mampu menarik penggemar-penggemar dari luar datang untuk menikmatinya.

Sebab itu boleh dikatakan di Temerloh, tidak ada kedai makan yang tidak menjual gulai ikan patin. Sehinggalah tag-line daerah ini sendiri ialah ‘Temerloh Bandar Ikan Patin’.

Spesis ikan air tawar ini pernah mencetuskan kontroversi di negara ini kerana harganya yang mencecah ratusan ringgit sekilogram kerana permintaannya yang tinggi, keenakan rasanya dan tidak serupa dengan jenis terdapat di tempat lain.

Terdapat tiga jenis ikan yang bernilai komersial tinggi dan membiak dalam Sungai Pahang itu iaitu Patin Emas, Patin Buah dan Patin Muncung. Harga bagi sekilo Patin Emas ialah RM35, Patin Buah (RM80) dan Patin Muncung pula mencecah RM250 sekilo.

Harga yang begitu tinggi pada masa ini adalah disebabkan kesukaran menemui ikan berkenaan kerana faktor antaranya kualiti air yang makin menurun serta kepupusan.

Sejak kira-kira 10 tahun yang lalu, terdapat usaha menternak Patin dalam sangkar di Temerloh. Pada masa ini terdapat kira-kira 100 penternak Patin dengan lebih 1,000 sangkar peliharaan sepanjang Sungai Pahang dan Sungai Semantan di daerah ini.

Pada masa ini Patin sangkar boleh didapati dengan harga RM14 sekilo. Meskipun rasanya tidak setanding dengan Patin sungai yang asli kerana hanya diberi makan pelet berprotin, namun pasarannya tetap laris kerana mudah didapati dan masih berkhasiat tinggi.

Patin sangkar Temerloh juga mendapat sambutan daripada pembeli luar terutama dari Lembah Klang. Ini disebabkan jarak perjalanan dari Tol Gombak ke Tol Temerloh mengikut Lebuhraya Pantai Timur (LPT) hanya mengambil masa kurang daripada satu setengah jam. Ini membuatkan permintaan patin meningkat dan ada kalanya tidak cukup.

Akhir-akhir ini terdapat pula rungutan, terutama daripada pelanggan luar, bahawa rasa ikan Patin sangkar Temerloh tidak seenak dulu. Sebenarnya Patin yang mereka beli itu bukannya Patin Temerloh tetapi Patin yang didatangkan dari luar.

Permintaan tinggi Patin Temerloh telah diambil kesempatan oleh peniaga-peniaga di Temerloh bagi mengimport Patin dari tempat lain, terutamanya dari Pekan. Patin Pekan pula, dikatakan jauh beza rasanya daripada Patin Temerloh. Selain rasa yang kurang enak, ada yang berkata pemakanan Patin Pekan juga turut diragui kebersihannya.

Menurut seorang yang pernah “terbeli” Patin Pekan, dagingnya agak lembik, isi kekuningan dan rasanya tidak manis. Ini berbeza dengan Patin Temerloh yang dagingnya pejal, isi jernih dan rasanya sedap.

Lambakan Patin luar di Temerloh tanpa dikategorikan atau tidak diberitahu oleh peniaga kepada pelanggan menyebabkan ada yang merasa tertipu kerana mereka menyangka ikan tersebut datangnya daripada sangkar di daerah tersebut.

Seorang penternak Patin sangkar Temerloh, Shahrul Abu Samah, 37, mengakui ada peniaga yang menjual ikan Patin Pekan. Katanya, ini disebabkan peniaga mahukan untung lebih dan permintaan pelanggan sendiri.

“Peniaga nak untung lebih... Patin luar harga tolak hanya RM8 saja, sedangkan Patin sini RM10, mereka jual harga RM14. Jadi dapatlah untung lebih.

“Bekalan juga berkurangan berbanding permintaan terutama daripada orang Kuala Lumpur. Sebab kebanyakan Patin sangkar yang ada sudah ada pelanggan-pelanggan restoran,” katanya.

Shahrul berkata, anak ikan patin yang dilepaskan dalam sangkar mengambil masa sehingga enam bulan baru boleh dijual. Dalam tempoh itu banyak musibah yang boleh menyebabkan penternak rugi antaranya banjir dan ikan mati akibat pencemaran.

Shahrul sendiri pernah kerugian RM15 ribu apabila Patin dalam sangkarnya mati. Baginya, risiko menternak Patin membuatkan lebih ramai yang memilih menjadi peniaga patin daripada menternak ikan tersebut.

“Tetapi masalah Patin dari luar ini jika tidak dibendung boleh menyebabkan salah tanggapan orang ramai. Dengan itu saya harap pihak berkuasa mengambil inisiatif mengawal peniaga dengan isytiharkan atau letak penanda sama ada yang dijual itu Patin Temerloh asli atau Patin luar. Ini bagi mengelakkan nama patin dari daerah tercemar,” jelasnya.

Pendapat Shahrul turut dikongsi sama oleh peniaga restoran, Jaffry Ramli, 42, yang mengakui tidak pernah membeli Patin luar, mahukan pihak berkuasa seperti Jabatan Perikanan dan Majlis Daerah bertindak bagi menjaga reputasi dan identiti Temerloh Bandar Ikan Patin.

“Sikap peniaga ini boleh pada masa depan jika tidak ditangani boleh mematikan industri Patin sangkar Temerloh kerana hilang kepercayaan. Bukan saja penternak bahkan juga peniaga kedai makan. Bila orang dah takut tertipu tidak mustahil ada yang akan boikot makan ikan air tawar ini.

“Kalau tak mahu menjejaskan reputasi Patin Temerloh pihak berkuasa mesti memantau supaya peniaga meletakkan tanda sama ada yang dijual itu Patin Temerloh atau sebaliknya. Bagi mereka tempoh, kalau engkar ambil tindakan,” tegasnya.

Tambah Jaffry, boleh dikatakan 100 peratus pengusahan Patin sangkar Temerloh terdiri daripada orang Melayu. Jadi jika pihak berkuasa tindak mengambil inisiatif atau sebarang tindakan, nasib dan masa depan mereka boleh terjejas.

Selain daripada itu, Patin Temerloh yang selama ini dianggap hidangan istimewa akan dikira biasa sahaja di samping identiti Temerloh Bandar Ikan Patin hanya akan menjadi sebutan sinis pada masa depan.

Nelayan Sungai Pahang, Sidi Maarof, 48, berkata pemborong ikan Patin dari luar Temerloh tidak boleh disalahkan karana baginya, mereka datang kerana ada permintaan.

“Saya diberitahu satu hari tidak kurang sebuah lori besar yang datang dari luar menurunkan Patin Pekan di sini. Saya fikir kerajaan pun tak boleh sekat, yang berkesannya ialah pembeli boleh memainkan peranan. Tapi Jabatan Perikanan kena pantau kemasukan Patin luar.

“Jika tidak, saya nampak persaingan dari Patin luar boleh mengakibatkan penternak Patin sangkar Temerloh gulung tikar. Sekarangpun dah banyak penternak yang tak larat apabila bahan makan ikan mahal menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil,” katanya.

Sidi menegaskan, pihak kerajaan juga bersalah kerana mengisytiharkan tag-line Temerloh sebagai Bandar ikan Patin tetapi tidak ada fokus atau insiatif untuk menjadikan spesis ikan tersebut benar-benar dapat memenuhi permintaan semua pihak.

Katanya, penternak tetap terpaksa mendapatkan benih Patin dan makanan ikan pada harga terlalu tinggi. Sedangkan jika kerajaan serius, kilang memproses makanan ikan dan pusat pembenihan Patin boleh dibina dan dipusatkan di Temerloh sehingga boleh menjadi pusat kajian dan rujukan seantero dunia.







No comments:

Post a Comment