Wednesday, September 22, 2010

Ribut landa 22 kampung

TEMERLOH: Sekurang-kurangnya 52 rumah di 22 kampung di daerah ini rosak teruk akibat dilanda ribut yang berlaku kira-kira jam 6.20 petang, kelmarin.

Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Dr Sallehuddin Ishak berkata, kebanyakan rumah yang terjejas, rosak pada bahagian bumbung apabila diterbangkan angin dan terdapat laporan mengatakan beberapa rumah dihempap pokok.

Menurutnya, kejadian itu antara yang terburuk pernah berlaku di daerah ini kerana membabitkan kawasan di lima mukim meliputi Sanggang 1, Sanggang 2, Jenderak 1, Jenderak 2 dan Kerdau.

“Kita telah menggerakkan semua agensi dan jabatan terlibat, antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi membantu penduduk yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau ditemui semasa melawat mangsa di setiap kampung yang terlibat tengah malam kelmarin, sebaik ribut mula reda.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah, Azran Deraman dan beberapa pegawai serta pembantu wakil-wakil rakyat kawasan terlibat.

Sallehuddin berkata, ribut itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa, namun seorang penduduk Kampung Kerai dilaporkan mengalami cedera ringan.

“Hanya cedera ringan dan mangsa tidak mahu ke klinik,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan JKR bertungkus lumus membersihkan 44 pokok yang tumbang menghalang jalan dari Kampung Bintang hingga ke Kampung Batu Sawar, di sini.

Sinar Harian difahamkan, kerja pembersihan yang dilakukan hanya berakhir kira-kira jam 5 pagi.



Bencana paling buruk pernah berlaku




Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kerai, Nordin Idrus berkata, kejadian ribut itu antara yang terburuk pernah berlaku.

Menurutnya, angin kencang berserta hujan dan petir berlaku dalam tempoh sangat lama.

“Ketika kejadian, saya bersama anak, cucu seramai 18 orang dalam rumah. Kebetulan kami baru selesai mengadakan kenduri arwah menantu yang meninggal Jumaat lepas.

“Anak dan cucu yang pulang beraya dan kenduri masih ada di sini, jadi kami semua berlindung dalam rumah semasa kejadian. Dalam kekalutan, tiba-tiba pokok mempelam di belakang rumah tumbang dan menghempap dapur rumah mengakibatkan banyak barang rosak teruk,” katanya.

Nordin berkata, turut rosak ialah dinding dan bumbung bilik tidurnya yang belum ditaksirkan jumlah kerugian sebenar.

Sementara itu, penduduk Kampung Sanggang Seberang, Hussin Mohamed Amin, 51, berkata, angin kencang bertiup dalam tempoh 20 minit.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang ketika saya sedang berehat bersama keluarga di rumah. Saya nampak atap rumah jiran diterbangkan angin. Saya sempat melaungkan azan dua kali sebelum sekali lagi angin kencang datang dan menerbangkan atap dapur saya.

“Komputer, televisyen dan beberapa barang elektrik rosak kena air hujan. Saya anggarkan kerugian lebih RM5,000,” katanya.

Jirannya, Mat Jasmi Nasir, 58, berkata, kejadian yang berlaku sangat menakutkan dia dan isteri.

Menurutnya, bunyi angin sangat kuat, tambahan pula belakang rumahnya tiada pokok yang menghalang menyebabkan tiupan angin terus mengenai rumahnya.

“Saya baru bina rumah ini kira-kira dua tahun lalu. Angin kuat menerbangkan atap rumah dan garaj kereta saya,” katanya.



Bantuan akan disalur



Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin yang melawat mangsa pagi semalam berkata, beliau akan berbincang dengan beberapa pihak bagi membantu mangsa ribut terbabit.

Menurutnya, semua yang terlibat tidak perlu bimbang kerana Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan kepada mereka berdasarkan nama yang disenaraikan.

“Saya juga nasihatkan mereka supaya menebang pokok-pokok di sekitar rumah yang berisiko tumbang jika berlaku ribut.

“Ini sekurang-kurangnya akan menyelamatkan rumah mereka jika berlaku kejadian seumpama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Pegawai Daerah, Azran Deraman berkata, seramai empat juruteknik dikerahkan menilai kerosakan yang berlaku di semua kawasan terlibat.


~ Sinar Harian


No comments:

Post a Comment