Penyanyi, pelakon serta pengacara terkenal AC Mizal atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 39 tahun, bakal bergelar Datuk. Pangkat tersebut bakal dikurniakannya mungkin pada hari keputeraan S ultan Pahang nanti.
Demikian dilaporkan oleh akhbar Berita Harian hari ini.
“Gelaran itu membuatkan saya takut. Saya tak tahu macam mana nak buat. Apabila membawakan gelaran seperti ini, saya perlu bersedia untuk menerima pelbagai dugaan. Sekarang saya hanya tunggu saja apa dugaan itu.
”Saya berdiam diri bukan untuk berahsia tetapi berada dalam tempoh bersedia kerana gelaran ini terlalu besar. Saya berada dalam bidang seni selama 24 tahun, manakala perniagaan saya baru bertapak sejak 10 bulan lalu.
Walaupun gelaran ini membuatkan saya takut, tetapi itu bukan bermakna tidak menghargai kurniaan Sultan Pahang. Saya berterima kasih kerana secara tidak langsung anugerah itu membawa kebaikan kepada perniagaan saya.
”Saya bangga sekurang-kurangnya pembabitan artis dalam bidang perniagaan diiktiraf dan berharap ini menjadi positif dan lebih ramai artis yang dapat mengikut jejak langkah saya, katanya yang masih belum menggunakan gelaran Datuk selagi belum menerima surat kurniaan secara rasmi.”
AC yang kini bergelar pengarah di Ikhtiar Destinasi Sdn Bhd (IDSB) iaitu syarikat yang mengeluarkan produk kesihatan berasaskan gelang tangan serta produk lain seperti aksesori, pakaian, barangan elektrikal dan elektronik berkata, sekalipun perniagaannya kini semakin maju tetapi dia tidak berhasrat meninggalkan dunia seni yang sudah menjadi darah dagingnya.
Malah kontraknya bersama Astro masih berbaki dua tahun dan dia kini sedang menanti projek yang akan disambung tidak lama lagi. Bagaimanapun katanya, dia akan lebih selektif dalam menerima tawaran bersesuaian dengan faktor umurnya.
No comments:
Post a Comment