Tuesday, June 15, 2010

Kecoh, penduduk halang TNB ceroboh tanah

TEMERLOH, 15 Jun: Ketegangan tercetus apabila penduduk kampung Bangau Tanjung, dekat sini, telah bertindak membantah tindakan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) menceroboh tanah mereka dengan mengorek tanah untuk ditanam kabel elektrik.

Bagaimanapun kira-kira 30 orang polis dikerahkan berkawal di lokasi panas itu.

Menurut penduduk, walaupun arahan pemberhentian projek berkenaan telah dikeluarkan secara bersurat oleh Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh dan persetujuan telah dicapai antara tiga pihak melibatkan pejabat daerah, TNB dan penduduk kampung untuk menyelesaikannya, namun pihak penceroboh tidak patuh.

Tanah mereka telah dikorek oleh jentera bagi tujuan pemasangan laluan kabel daripada pencawang Songsang untuk membekalkan elektrik kepada bangunan kedai di tapak pasar lama yang baru siap di bandar ini.

Pengerusi jawatankuasa bertindak, Nazri Sulaiman, 55, ketika ditemui Selamatkan Pahang, memberitahu, pihak penduduk telah mendapat jaminan projek berkenaan dihentikan serta merta.

“Surat daripada pejabat daerah telah dikeluarkan mengarahkan pemberhentian serta merta projek mengorek tanah untuk menanam kabel di atas tanah penduduk itu. Tetapi mereka ingkar dan masuk menceroboh tanpa notis macam lanun”.

“Penduduk sedang berurusan dengan peguam untuk meminta pampasan,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk yang terlibat, Roslan Ishak, berkata TNB jelas menceroboh kerana tiada status sebenar projek berkenaan kerana tidak pernah diberi penerangan mahupun diberitahu sedangkan tanah yang dikorek merupakan tanah milik kekal penduduk kampung.

“Notis masuk kerja tidak ada dan papan tanda projek pun tidak ada. Notis daripada pejabat tanah juga tidak ada bahkan bila kami merujuk ke sana mereka tidak tahu menahu. Jadi kami tidak tahu status tanah yang diambil ini. Sebab itu kami mahu tahu siapa yang benarkan projek ini dijalankan atau atas arahan siapa kerja-kerja ini dibenarkan”.

“Kami mahu tahu adakah berlaku penyelewengan oleh mana-mana pihak sebab pihak kontraktor boleh bekerja tanpa merujuk kepada penduduk kampung sebagai tuan tanah. Kami mahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nasuk menyiasat,” jelasnya.

Gambar:
1. Kontraktor TNB sedang mengorek tanah dengan dikawal anggota polis.

2. Penghulu Mukim Bangau (kanan) cuba memberi penjelasan tetapi gagal mententeramkan keadaan.



5 comments:

  1. bukan ke tu bahu jalan.. rezab jalan. lagipon pas diorang korek, diorang timbus balek. utk bekalan kemudahan rakyat gak lektrik tu..

    ReplyDelete
  2. Jalan tu belum di gazet... pengambilan tanah dengan borang "K" pun tak pernah dibuat, dalam geran masih tunjukkan itu tanah mereka dan mereka bayar cukai sejak berpuluh tahun dulu. Ini diakui oleh pejabat tanah sendiri.

    Pampasan pengambilan tanah tak penah dibayar. korekan yg dibuat memusnahkan harta benda penduduk dan membahayakan kerana kerja dibuat terus menerus walaupun pada waktu malam.

    Bekalan elektrik utk penduduk dah cukup. Sebenarnya bekalan itu bukan utk penduduk di kampung itu... longkang dikorek utk tarik kabel bagi bekalan elektrik tambahan dari stesen Songsang ke tapak pasar lama Temerloh, iaitu projek milik seorang kapitalis.

    Persoalannya, penduduk tidak dibayar apa-apa dalam prosedur bagi menambah lagi kekayaan yang telah sangat kaya di bandar ini.

    Tindakan ini membelakangkan konsep: "Rakyat didahulukan". Pemimpin yg mendokong konsep ini yg sepatutnya turun padang menyelesaikan masalah.

    Jangan tunggu bila pilihan raya kecil saja...!

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.. Sepengetahuan saya, sekiranya ingin mengenalpasti sama ada status tanah telah digazet atau belum, boleh semak kedudukan batu pancang yang di tanam oleh Jabatan Ukur. Biasanya, utk jalan yang telah gazet, batu pancang rezab jalan adalah 1 rantai dari tengah-tengah jalan. Dan sekiranya batu pancang ini dapat dipastikan telah ditanam, sememangnya tanah tersebut telah gazet dan bukannya tanah orang kampung lagi. Dan sepengetahuan saya, pihak TNB, mahupun jabatan-jabatan lain, seperti JBA, Telekom dan JKR tidak akan dengan sewenang-wenangnya mencoroboh tanah penduduk kerana mereka lebih tertakluk kepada undang-undang untuk menjalankan kerja-kerja korek gali. Dan sekiranya kerja-kerja korek-gali dijalankan, sememangnya segala kertas kerja kelulusan korek gali tersebut telah melalui pelbagai pihak untuk diluluskan. Secara ringkasnya, mengikut pandangan saya, sekiranya penduduk kampung tidak dirujuk mengenai perkara ini, dapatlah disimpulkan bahawa tanah tersebut bukan lagi milik penduduk dan pengambilan tanah oleh pihak kerajaan telah lengkap dan batu pancang rezab telah ditandakan. Secara mudahnya, tiada pampasan yg layak diberikan kepada penduduk kampung. Oleh yg demikian, berkemungkinan besar pihak TNB telah merujuk kepada pejabat tanah daerah ataupun JKR untuk kebenaran korek-gali tersebut.

    ReplyDelete
  4. Saya setuju bahawa TNB atau kontraktornya lebih tahu tentang undang-undang.

    Masalahnya, mencari batu pancang menetapkan sempadan tak pernah dibuat. Sebab itu dalam geran besar yang ditunjukkan penduduk, kedudukannya masih seperti tahun 1965 iaitu masa jajaran tanah penduduk di pinggir Sungai Pahang itu digerankan.

    Jalan itu berstatus PLB... bukan jalan JKR. Belum ada sebarang proses pengambilan seperti yang dimaklumi penduduk.

    Penduduk baru sahaja mengupah seorang juruukur berlesen, iaitu sewaktu termeterai satu perjanjian bersama antara Pejabat Tanah, JKR, TNB dan penduduk yang bersetuju tiada penerusan projek TNB diteruskan sehingga hal-hal berkaitan selesai.

    Tuntutan belum diselesaikan, sebab penduduk baru mengupah juruukur untuk meminta pampasan. Pampasan belum diperolehi. Peguam baru dilantik. Semua ini melaui prosedur undang-undang.

    Mungkin ada satu arahan lain yang membolehkan projek diteruskan... tetapi malangnya penduduk tidak pernah ditunjukkan notis arahan itu!

    Apa yang berlaku ialah kontraktor masuk dan kerja-kerja dijalankan dengan kawalan polis. Kenapa susah sangat untuk membuktikan bahawa tanah itu milik kerajaan? Kenapa ketika penduduk bertanya tentang hak-hak mereka, orang Melayu di kampungnya sendiri ini tidak dilayan?

    Kenapa bahasa diplomasi tidak dipakai. Kenapa konsep "rakyat didahulukan" tidak dipraktikkan.

    Menudukacitakan ialah kampung tersebut ialah lubuk Umno, di mana penduduk kampung yang kuat dan pekat birunya. Menteri Pelajaran yang pertama iaitu Datuk Abdul Rahman Talib (ayah Datuk Fauzi) berasal dari kampung itu.

    Kalau kes ini berlaku di tempat Cina... beranikah kontraktor meneruskan kerja?

    Saya memang tak suka jika orang kampung melanggar undang-undang. Tetapi adakah orang Melayu seperti di Bangau Tamjung itu sudah hilang kuasanya ke atas

    ReplyDelete
  5. gambar koi pun ande terselit..haha

    ReplyDelete