DAP sila keluar dari kerajaan: Cabaran terbuka buat Lim KIt Siang
Oleh : DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ugutan Lim Kit Siang untuk menarik DAP keluar dari gabungan kerajaan Pakatan Harapan (PH) jika objektif Malaysia Baru tidak tercapai dilihat sebagai suara terdesak parti untuk untuk mendominasi PH. Masyarakat melihat ancaman itu agar parti beliau menjadi ketua, suara mereka didengari, hak mereka dipenuhi dan tuntutan mereka diikuti. Namun mungkin juga ia dilihat DAP sudah mula disanggah, diketepikan dan mungkin dibuang dari politik massa era Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Lebih lagi dalam keadaan berbondong-bondong pemimpin UMNO keluar parti dan mengisytiharkan diri menyokong PM serta Parti Bersatu. Kelicikan Tun sebagai Pengerusi Pakatan Harapan yang mahu mengimbangi kekuatan DAP dengan membawa masuk Ahli-ahli Parlimen dan ADUN UMNO dilihat sebagai ancaman terhadap survival DAP. Justeru, sebagai pemimpin veteran Lim Kit Siang mengeluarkan nada seperti kecewa dan marah dengan apa yang berlaku dan mengugut untuk menarik DAP dari daripada kerajaan PH.
Sebenarnya nada sebegini bukan sesuatu yang janggal diucapkan oleh pemimpin DAP. Mereka sering bersuara lantang dengan memberi kata dua kepada mana-mana pemimpin yang dilihat tidak mahu terikat dengan mereka. Lihatlah kepada parti-parti komponen PH dan umum boleh mengagak di mana ngauman Mohd Sabu, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Rafizi Ramli, Datuk Seri Mohd Azmin Ali, bahkan pemimpin besar lain mereka ketika ini. Dalam satu-satu isu, jika DAP mengeluarkan pandangan dan dasar mereka, jarang benar ada pemimpin lain berani berusara menyanggah pendapat DAP. Sebaliknya jika ada pemimpin lain dalam PH bercakap dan bersuara, mereka berani menentang dan menyanggah secara terbuka.
Kenyataan Lim Kit Siang membuka lebih banyak pekung mereka di dada masyarakat. Rakyat semakin mengenali politik sepak terajang parti tersebut. Jika mereka berjaya mengikat kaki dan mulut pemimpin lain dalam PH, hari ini mereka cuba mengikat Tun Dr Mahathir Mohamad.
Soalnya, apa lagi yang Lim Kita Siang mahukan? Menteri kanan banyak disapu oleh pemimpin partinya. Malah, Tabung Haji juga dianggap selamat di bawah kaki Lim Guang Eng sebagai Menteri Kewangan. Apakah mereka juga mahukan FELDA, FELCRA, MARA, dan lain-lain institusi milik bumiputera dibawah kelolaan mereka? Itu belum lagi senarai penceramah yang bersiaran di kaca TV, boleh ditauliahkan atau dibenarkan bila-bila masa oleh pemimpin partinya. Siapa yang berani menyatakan sikap secara terang-terangan, akan ada surat ‘menghadkan’ penampilan para ulamak tersebut.
Langkah Tun juga bukan calang-calang. Meskipun di mamah usia, otak politik Tun ligat berputar. DAP boleh menarik diri dari kerajaan PH, tetapi Tun telah menyediakan pelan B untuk politik negara. Yang keluar UMNO dan memohon masuk Parti Bersatu juga bukan sebarangan orang. Ada bekas menteri, exco kerajaan negeri, pemimpin tinggi dalam organsiasi setiap peringkat.
Politik pasca PRU ke 14 menarik untuk diteliti. Sejauh mana keberanian Lim Kit Siang mengarahkan anak-anak buahnya keluar dari kerajaan PH jika objektif Malaysia Baru gagal dipenuhi seperti yang dikatanya. Sampai masa juga rakyat Malaysia perlu mendesak beliau dan DAP keluar dari kerajaan atas sikap politik suka memonopoli, mengongkong dan mengugut itu. Elok juga rakyat mencabar DAP mengotakan janjinya itu jika beliau benar-benar ahli politik tulen dan berpegang pada kata-katanya.
(Penulis adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI)
No comments:
Post a Comment