Thursday, December 6, 2018

1 tan dadah bernilai 35 j dirampas

Kampar, 6 Disember 2018: Polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket memproses dan mengedar pelbagai jenis dadah bernilai RM35 juta dalam dua serbuan di sebuah kilang dan pangsapuri masing-masing di Gopeng dan Kampar kelmarin. 

Serbuan yang bermula pada pukul 7.45 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu turut berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun. 

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu telah memproses dan mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa. 

"Dalam serbuan pertama di sebuah kilang kosong di Kawasan Perindustrian Gopeng, sejumlah 676 kilogram (kg) dadah disyaki syabu berjaya dirampas dan empat lelaki berjaya ditahan di kilang tersebut. 

"Serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Taman Kolej Perdana, Kampar pula, kita berjaya merampas pelbagai jenis dadah iaitu 20.4 disyaki heroin, syabu (2.6kg), bahan asas heroin (3.6kg), pil Eramin 5 (4,000 biji) dan 187 kg serbuk dan cecair kimia selain sejumlah peralatan memproses dadah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar di sini sebentar tadi. 

Menurut Mohmad, kesemua 702.6 kg dadah, 187 kg serbuk dan cecair bahan kimia dan 4,000 pil Eramin 5 yang bernilai RM35 juta itu boleh diproses dan diedarkan kepada 3.2 juta penagih dadah. 

Katanya, polis turut menyita tiga buah kenderaan iaitu Perodua Myvi, Nissan Cerato dan Nissan Navara serta pelbagai barangan kemas yang bernilai RM320,000.

"Semakan mendapati dua daripada empat suspek tersebut mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan dadah dan ujian air kencing terhadap keempat-empat mereka mendapati kesemuanya negatif dadah.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 11 Disember depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum gantung mandatori jika sabit kesalahan," katanya. 

Sementara itu, Mohmad turut memaklumkan rampasan dadah jenis syabu sebanyak 3.8 tan pada tahun ini merupakan rekod tertinggi dan ia melebihi jumlah rampasan syabu empat tahun sebelumnya iaitu 3.6 tan.

No comments:

Post a Comment